Tuesday, 23 July 2013

Terbang Tinggi


Pada malam itu, aku dan Luqman akan berangkat ke bumi Australia.  Mengetahui aku akan pergi jauh, emakku berdoa lebih panjang daripada kebiasaannya. Aku tahu, sebahagian hatinya tak ingin aku pergi. Namun dia mengerti, anak lelakinya perlu keluar bagi meluaskan horizon mindanya daripada hanya terkongkong kaku di negara sendiri. Sedangkan dia masih belum tercapai cita-citanya sedari kecil, untuk memegang salji.

Walaupun sudah larut malam, namun suasana di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (LCCT) masih tetap berteriak bising. Berbeza dengan suasana kampungku yang aman dan hening sekali. Kami agak tergesa-gesa mendaftar masuk bagasi kami di kaunter ditemani Zack.

Pada awalnya, Zack memang termasuk dalam sebahagian perancangan untuk turut serta ke sana. Namun, apakah kita mampu untuk mengubah takdir Tuhan yang tidak menjodohkan Zack bagi turut serta. Tetapi dia tetap bersemangat mengiringi kami ke lapangan terbang.

Sedang aku mendaftar, aku mendapat satu panggilan masuk – Emak.

“Abang ada dekat mana, sebab mak ada kat luar juga ni.”

Terkejut, bercampur gembira kerana emak turut serta menghantar aku pergi. Aku ingatkan dia hanya dapat menghantar aku dari rumah.

“Abang baru nak check-in beg. Mak ada dekat mana?”

“Mak baru nak sampai ni. Tak apa, abang check-in dulu. Nanti mak cari abang.”

Begitulah emak. Insan yang Tuhan hadiahkan supaya kita tetap bersyukur kepada Dia.  Disebalik semua peristiwa kejayaan atau kegagalan, emak pasti akan tetap di sisi memberikan sokongan penuh kepada anaknya.

*****

Aku mencari emak di luar. Mataku melilau mencari kereta sedan buatan Malaysia yang parkir ditepi jalan. Akhirnya aku terjumpanya jauh daripada pintu masuk pelepasan antarabangsa lapangan terbang.

Hanya ayah dan adik lelakiku sahaja yang berada dalam kereta. Emak, hilang.

“Ayah, mak pergi mana?”

“Tadi mak cari abang. Cuba tengok dekat pintu masuk sana.”

Oh, apalah nasib. Boarding time hanya berbaki 10 minit daripada sekarang. Aku terus bergegas ke pintu masuk semula. Di pertengahan jalan, aku terjumpa emak.

Aku bersalaman dengan emak. Emak melepaskan aku seperti tak akan melihat aku lagi. Aku, setiap kali berpisah dengan emak pasti akan menahan sebak. Aku tak tahu kenapa. Aura emak sangat kuat. Apabila setiap kali aku meninggalkan emak, pasti aku terasa sesuatu yang hilang. Emak menatapku, seakan Australia akan merampasku daripadanya. Aku memeluk emak,  emak yang aku cintai melebihi apa pun.

Kapal terbang airbus berwarna merah itu akhirnya terangkat. Kelihatan lapangan terbang itu akhirnya mengecil dan aku telah mencecah ke langit putih.

1 comment: