Sunday, 21 July 2013

Siapakah Muslim?



Apakah kita dipanggil muslim kerana ibu dan ayah kita muslim?
Apakah seseorang muslim terlahir sebagaimana seorang putera lahir daripada permaisuri?

Saya kira jawapan yang anda akan berikan adalah “TIDAK”. Seseorang tidak disebut muslim kerana tergolong dalam kelompok bangsa tertentu, bahkan mereka dikatakan muslim kerana menerima Islam. Sebaliknya mereka akan dikeluarkan daripada masyarakat muslim jika mereka melepaskan Islam sebagai agama walaupun mereka adalah anak seorang ‘alim atau ustaz.

Seseorang itu juga akan menjadi bangsawan jika lahir daripada rahim bangsawan, seterusnya dia akan tetap dipanggil bangsawan sehingga akhir hayatnya - tetapi tidak bagi seorang muslim. Islam itu adalah agama ilmu. Seseorang tidak akan menjadi seorang muslim tanpa memiliki pengetahuan kerana Islam tidak diperoleh kerana faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan.

Bagaimana mungkin seseorang yang tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi SAW boleh mengatakan dia beriman dan dapat mempraktikkannya? Adalah sesuatu yang mustahil jikalau sesorang itu mengaku muslim tanpa mengetahui apa-apa tentang agamanya.

Selain itu, perbezaan sebenar bagi seorang muslim bukanlah ada pada nama semata-mata. Nama Justin tidaklah bermakna bahawa pemilik nama ini adalah seorang kafir dan nama ‘Abdullah itu pemiliknya Islam.

Begitu juga dengan orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia adalah seorang kafir dan mereka yang memakai baju melayu adalah Islam.

Tidak, bukan disebabkan ini kita Islam!

Perbezaan yang sebenar antara kafir dan muslim itu adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana dia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan bagaimana hubungan Tuhan dengan dirinya. Dia juga tidak tahu cara hidup mana yang harus dijalaninya di dunia ini sesuai dengan kehendak Tuhan.

Kerana seorang muslim yang sebenar adalah seorang yang tahu apa makna Islam yang sebenar dan menyatakan keimanannya kepada Islam dengan penuh kesedaran dan keyakinan.

Maka apabila seorang anak daripada orang tua yang muslim, tetapi tidak mengetahui pengetahuan dalam Islam, maka apakah alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya seorang muslim?

No comments:

Post a Comment