Showing posts with label Travelog Australia. Show all posts
Showing posts with label Travelog Australia. Show all posts

Saturday, 27 July 2013

Bas


Bangunan Central Station sangat persis dengan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bezanya, ia tiada kubah bersamanya. Seni bina tinggalan kolonial British di sini sangat banyak. Seperti sahaja kami sedang berada di kota London.

Di hadapan Bangunan Central Station, ada sebuah taman cantik yang aku tak berapa pasti namanya. Belmore Park mungkin. Ia dipenuhi burung putih yang sibuk mematuk makanan. Ada juga mereka yang hanya berjalan-jalan senang, tanpa ada masalah. Ada juga mereka yang berkelahi, lagak seperti sedang bergaduh dalam mengawan bagi memenangi hati si betina.

Aku dan Luqman menunggu bas di satu bus stop, berdekatan taman itu. Di sana, ada dua jenis bas, percuma dan berbayar. Bas percuma akan membawa ke tempat-tempat terkenal dan tempat-tempat yang lain akan dikenakan bayaran. Di samping itu, untuk ke sesuatu tempat, kami perlu tahu jalan yang dilalui bas tersebut. Dan aku sekarang ingin ke Darlinghurst Road, di kawasan King Cross. Di situ adalah tempat penginapan kami, tempat kami melepaskan penat, kesan daripada jet leg yang belum sirna.


*****

Akhirnya bas yang kami tunggu-tunggu kunjung tiba. Di dalam bas, setiap pengguna perlu memasukkan kad MyBus yang telah dibeli ke dalam satu mesin berwarna hijau. Kemudian, mesin itu akan mencetak masa dan tarikh perjalanan di belakang kad tersebut.

Aku dan Luqman masih belum biasa dengan sistem ini. Jadi, kami agak kelam-kabut. Di dalam bas itu, cuma ada kami dan seorang wanita tua, berbaju sejuk kelabu dan ada blouse ungu di dalamnya. Dia juga bercermin mata besar, gaya retro 60an, sambil warna putih memenuhi rambutnya. Bersama-sama dengan wanita tua itu ada satu beg besar berwarna hitam, kotak.

“Where’re you goin’ boys?” wanita tua menegur kami, mesra. Kedut-kedut tua di mukanya hilang apabila dia mula berbicara kepada kami.

“We want to go to King Cross, near Darlinghurst Road” kata Luqman, dengan sedikit gaya Malaysian English.

“Tetapi kamu sebenarnya dah tersalah ambil bas.”

Kami mula kehairanan. Tadi kami sudah mengkaji laluan bas, dan bertanya kepada salah seorang lelaki di bus stop bagi mendapatkan kepastian.

“Sekejap. Kamu tak tersalah jalan, tetapi saya yang tersalah ambil bas. Saya ingat ini bas 301, rupa-rupanya ini bas 311." Dia sedikit mengeluh dan terkilan.

"Tak apa, nanti bas ni akan belok ke kiri, dan dalam 100 meter bas ini akan ke kanan. Daripada simpang itu, cuba cari King Cross Station, dan berhenti di situ.”

Beliau cuba menerangkan jalan tersebut kepada kami. Aku lebih suka memanggilnya mak cik ramah. Ya, kalau kamu bersama-samaku ketika itu, pasti kamu akan terlihat cara beliau berinteraksi dengan kami dengan gaya yang begitu menyenangkan dan peramah, ditambah loghat Australian English yang agak pekat.

Di Taylor Square, makcik tersebut turun daripada bas dan dia berpesan sesuatu kepada pemandu bas,

“Sorry. These boys are goin’ to King Cross Station. Please drop them there, huh.”

Pemandu bas hanya mengangguk faham. Mak cik ramah berpaling kepada kami, tersenyum sambil berkata, “Have a lofly day, boys.”

Senyuman di mukaku terkoyak sama. Hingga ke pipi. Jasamu mak cik ramah tak akan aku lupa.

******

Di Sydney, pemandu bas tidak dipanggil sebagai bus driver, tetapi lebih dikenali sebagai transport officer (pegawai pemandu). Hebat bunyinya bukan?

Di sini, pemandu bas tidak boleh bercakap semasa memandu. Maka, mereka hanya boleh berkomunikasi ketika bas sedang berhenti. Manakan tidak, kamera litar tertutup (CCTV) terpasang 24 jam di atas kepala mereka bagi mengelakkan mereka daripada hilang fokus semasa memandu, atau kelewatan tiba di destinasi.

“Here you are, mate” sambil pemandu bas itu memalingkan mukanya memandang kami. Sebutan ‘mate’ nya agak berlainanan, seakan-akan kita mendengar sebutan ‘maid’.

Kami sudah sampai di King Cross. Turun daripada bas, kami terngaga luas.

Rupa-rupanya, tempat penginapan kami berdekatan tempat hiburan, atau bak kata pak ustaz: tempat maksiat! Bar dan pub berselang seli di antara kedai. ‘Hiburan dewasa’ juga turut mengambil tempat. Ianya sah dan berlesen. Kami turut dijemput masuk sama. Ya Tuhan, aku menepuk dahi.

Kami masih tercari-cari destinasi utama – tempat penginapan kami. Ia agak sukar dijumpai kerana cuma ada satu pintu masuk kecil, berwarna putih tanpa ada sebarang papan tanda yang jelas. Yang ada hanya nombor 66-A. Di dalamnya, kami disambut mesra wanita penjaga kaunter yang tertera Brando's Backpackers Hostel di dinding belakangnya. Wanita penjaga kaunter itu berambut blonde dan mukanya tak ubah seperti Gwyneth Paltrow, heroin filem Iron Man.

Kemudian kami diberikan kunci dorm dan penerangan ringkas. Sampai di dalam dorm, aku dapat melepaskan bebanan beg besar yang lama mencengkam kuat di bahu. Dan badanku terasa meringan secara tiba-tiba seperti kura-kura tercabut cengkerang. Lega!

Wednesday, 24 July 2013

Sydney


Aku akan ke Sydney dahulu, tanpa dijemput oleh sesiapa. Tiga puluh ribu kaki daripada aras permukaan laut melintasi lautan pasifik.  Lapan jam, diam dan terapung-apung  di awangan. Di dalam kapal terbang, kelihatan ramai muka yang sama dan sukar untuk dibezakan. Semuanya kelihatan seperti Prince William dan Kate Middleton sahaja. Anda tahu kan? Selebriti diraja Britain yang baru mendapat anak itu.

Malang bagiku, kerana aku duduk di hadapan seorang Caucasian dalam 190 sentimeter tingginya. Berbadan sasa seperti seorang penggusti professional dan kakinya juga sangat besar. Mungkin kerusi yang disediakan syarikat penerbangan sangat kecil baginya, sehingga aku tidak boleh untuk menolak kerusiku ke belakang. Beberapa kali kerusiku disondol kuat oleh kakinya yang tegap itu. Ditambah dengan gegaran kapal terbang yang maha dahsyat, aku tak dapat tidur dengan tenang.

“Excuse me. Could you give me some space to have a seat?” begitulah ingin kukatakan kepadanya. Namun, terfikir akan mendapat lebam di mata, aku simpan sahaja kata-kata itu. Jadi, aku hanya sempat terlelap sekejap. Bakinya, mataku hanya tercelik menunggu sehingga sampai ke destinasi.

Tiba di Lapangan Terbang Kingsford Smith, kami diperiksa dengan begitu ketat, seperti ada penjenayah yang baru terlepas daripada penjara terdekat. Namun, itulah polisi mereka, bagi mengelakkan sebarang penyakit menular kerana mereka begitu melindungi kehidupan di sana. Kata mereka, kerana pulau Australia terpisah daripada mana-mana benua besar, jadi mereka agak tersisih daripada pendedahan penyakit.

Usai pemeriksaan, aku dan Luqman segera keluar daripada bangunan lapangan terbang. Kelihatan ramai yang berbaju tebal, dan ada juga yang berbaju fesyen musim panas. Mungkin sudah biasa dengan cuacanya. Seperti kebiasaan, di Malaysia kita akan rasa sejuk di dalam bangunan dan panas di luarnya. Berbeza di Sydney, di dalam lapangan terbang terasa agak panas dan di luarnya begitu dingin seperti aku sedang berada di dalam pendingin hawa. Sangat selesa. Tetapi di mana salji yang aku bayangkan menimpa bumi seperti imaginasi kanak-kanakku? Bukankah ini musim salju?

*****


Aku meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api. Kereta apinya ada tiga tingkat, sukar untuk aku ceritakan kepadamu kawan. Antara tingkat dan tingkat yang lain, ia dihubungi tangga pendek. Pintu masuknya berada di tingkat tengah. Namun harga tiketnya tetap sahaja mahal seperti perjalanan bas Kuala Lumpur ke Kelantan, walaupun kereta api itu kami naiki hanya selama 15 minit.

Daripada International Airport, kereta api meluncur laju melintasi Domestic airport, Mascot dan Green square sebelum sampai ke Central Station. Aku dan Luqman perlu ke sini dahulu sebelum ke tempat penginapan, untuk mencari tiket bas ke Melbourne keesokan harinya.

Tiba di Central Station, kami terpinga-pinga. Tidak kelihatan seperti tempat menjual tiket bas. Yang ada hanya ramai orang yang berjalan laju seperti mengejar sesuatu. Kami menaiki tangga, keluar daripada bangunan Central Station. Tiba-tiba kami disapa oleh sekumpulan manusia yang memakai baju biru. Tertera logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di atas dada mereka.

“Hello, where are you come from?” Salah seorang lelaki daripada kumpulan itu menyapa. Dia mula menyalami kami, mesra. Bola matanya berwarna biru dan kulitnya putih kemerah-merahan. Tetapi bahasa Inggeris lelaki itu kelihatan sedikit berbeza, ada sedikit dialek Perancis.

“Oh, we’re from Malaysia.” Aku cuba membalas.

“Malaysia? Negara yang menarik itu. Jadi kamu mahu ke mana?”

“Kami sebenarnya nak mencari kaunter tiket bas. Dekat mana agaknya ya?”

Dia kelihatan berfikir sebentar. Kemudian membalas, “Kamu sebenarnya dah keluar jalan yang salah. Sepatutnya semasa kamu keluar, kamu perlu keluar ke pintu kiri. Bukan di pintu kanan ini.”

Alamak. Rasanya tadi kami sudah mengikut arah yang betul, simbol bas ke kanan.

“Tak apa, macam ni. Kamu ambil jalan lurus ni. Dan di akhir simpang nanti, kamu ambil ke kiri. Nanti, cuba tanya orang di sana.”

Nampaknya kami terpaksa berjalan jauh. Rasanya seperti kami mengelilingi Central Station itu. Keluar di pintu timur, dan harus ke pintu barat. Dalam perjalanan, kami terjumpa monument-monumen kepala manusia yang diukir cantik. Sederet tegak dan berwarna gangsa. Kelihatan nama-nama orang Argentina, Portugis dan Sepanyol di bawah patung-patung mereka. Orang-orang penting mungkin.


Akhirnya kami tiba di Sydney Coach Terminal. Dan kami berjaya mendapatkan tiket bas ke Melbourne, AUD 60. Mungkin angka kelihatan 60 kelihatan kecil dalam matawang Dollar Australia, tetapi dalam kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia, ianya berjumlah RM180.

Dalam masa sama, kami juga membeli tiket MyBus, berharga AUD28.50 bagi 10 kali guna. Sistem pengangkutan bas di sana sangat cekap dan mesra pengguna. Tetapi kalau ditukar kepada duit Malaysia, ianya berharga kira-kira RM10 sekali guna. Sangat mahal.

Tuesday, 23 July 2013

Terbang Tinggi


Pada malam itu, aku dan Luqman akan berangkat ke bumi Australia.  Mengetahui aku akan pergi jauh, emakku berdoa lebih panjang daripada kebiasaannya. Aku tahu, sebahagian hatinya tak ingin aku pergi. Namun dia mengerti, anak lelakinya perlu keluar bagi meluaskan horizon mindanya daripada hanya terkongkong kaku di negara sendiri. Sedangkan dia masih belum tercapai cita-citanya sedari kecil, untuk memegang salji.

Walaupun sudah larut malam, namun suasana di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (LCCT) masih tetap berteriak bising. Berbeza dengan suasana kampungku yang aman dan hening sekali. Kami agak tergesa-gesa mendaftar masuk bagasi kami di kaunter ditemani Zack.

Pada awalnya, Zack memang termasuk dalam sebahagian perancangan untuk turut serta ke sana. Namun, apakah kita mampu untuk mengubah takdir Tuhan yang tidak menjodohkan Zack bagi turut serta. Tetapi dia tetap bersemangat mengiringi kami ke lapangan terbang.

Sedang aku mendaftar, aku mendapat satu panggilan masuk – Emak.

“Abang ada dekat mana, sebab mak ada kat luar juga ni.”

Terkejut, bercampur gembira kerana emak turut serta menghantar aku pergi. Aku ingatkan dia hanya dapat menghantar aku dari rumah.

“Abang baru nak check-in beg. Mak ada dekat mana?”

“Mak baru nak sampai ni. Tak apa, abang check-in dulu. Nanti mak cari abang.”

Begitulah emak. Insan yang Tuhan hadiahkan supaya kita tetap bersyukur kepada Dia.  Disebalik semua peristiwa kejayaan atau kegagalan, emak pasti akan tetap di sisi memberikan sokongan penuh kepada anaknya.

*****

Aku mencari emak di luar. Mataku melilau mencari kereta sedan buatan Malaysia yang parkir ditepi jalan. Akhirnya aku terjumpanya jauh daripada pintu masuk pelepasan antarabangsa lapangan terbang.

Hanya ayah dan adik lelakiku sahaja yang berada dalam kereta. Emak, hilang.

“Ayah, mak pergi mana?”

“Tadi mak cari abang. Cuba tengok dekat pintu masuk sana.”

Oh, apalah nasib. Boarding time hanya berbaki 10 minit daripada sekarang. Aku terus bergegas ke pintu masuk semula. Di pertengahan jalan, aku terjumpa emak.

Aku bersalaman dengan emak. Emak melepaskan aku seperti tak akan melihat aku lagi. Aku, setiap kali berpisah dengan emak pasti akan menahan sebak. Aku tak tahu kenapa. Aura emak sangat kuat. Apabila setiap kali aku meninggalkan emak, pasti aku terasa sesuatu yang hilang. Emak menatapku, seakan Australia akan merampasku daripadanya. Aku memeluk emak,  emak yang aku cintai melebihi apa pun.

Kapal terbang airbus berwarna merah itu akhirnya terangkat. Kelihatan lapangan terbang itu akhirnya mengecil dan aku telah mencecah ke langit putih.

Monday, 22 July 2013

Langkah Pertama



Hidup adalah cantuman mozek-mozek pengalaman lepas yang membentuk diri kita pada hari ini. Kita memperoleh pengalaman itu melalui berbagai cara – pengetahuan yang dicari, pemerhatian teliti atau penglibatan langsung kepada sesuatu realiti. Boleh aku katakan bahawa pengalaman adalah satu pengetahuan empirikal yang dipanggil ‘a posteriori’.

Pengalaman yang sama mampu menggempur sesiapa sahaja. Namun, sejauh mana dan secepat mana pengalaman yang sama memberi kesan kepada seseorang itu adalah bersifat relatif.

Ada orang yang mempunyai pengalaman luas, tetapi tidak pernah belajar. Tetapi ada juga mereka yang tertumbuk dengan sakitnya pengalaman – walaupun sekali – dan pengalamannya memberikan impak yang hebat dalam hidup mereka. Pengalaman semacam itu seperti intan berlian yang berkilau terang dan intan berlian dalam hidupku adalah peristiwa aku ke bumi kangaroo.

*****

“Luqman, bila kita nak beli tiket ke OZ ni?” aku cuba bertanya.

“Kau cari je dulu. Nanti kalau kau rasa sesuai, beritahu aku. Asalkan masa tu aku tak exam ok lah,” jawab Luqman. Mudah.

“Kalau bulan tujuh, lepas kita habis exam final, boleh?”

“Kan aku dah cakap. Aku ok je. Janji bukan tarikh aku exam.”

“Ok. Nanti aku belikan tiket. Lepas tu, jangan lupa kita kena buat perancangan perjalanan.”

Australia. Bumi yang tak dapat aku bayangkan rupa tempatnya. Mungkinkah ada sedikit gaya klasik eropah, atau mungkin juga ada iras-iras bangunan moden seperti kota arab Dubai? Bagaimana pula dengan orang-orang di sana. Adakah semuanya berambut blonde dan bermata biru? Aku tak pasti.Yang pasti, aku wajib untuk menjelmakan apa yang aku dah ungkapkan. Talking is nothing, doing is something.

Akhirnya, kami berjaya mendapatkan tiket. Tak murah, tapi mungkin juga tidak terlalu mahal. Berbekalkan konsep now everyone can fly, maka kami sempat membuat pembelian yang sesuai bagi kami yang masih belajar. Ikut perancangan, kami sepatutnya akan berada di sana selama lebih kurang dua minggu.

*****

15 hari sebelum tarikh penerbangan, aku mendapat satu email daripada pihak syarikat penerbangan. Mereka 'memaksa' supaya aku re-schedule jadual perjalanan kami. Sebabnya? Jangan tanyakan aku. Boleh ditanya kepada bos mereka yang juga merupakan pemilik sebuah kelab bola sepak Eropah yang baru turun divisyen itu. Bagi aku, ini mungkin satu rahmat Tuhan yang tahu bahawa hamba-Nya tak mampu bertahan lama di bumi orang.

Sebarang keputusan untuk menukar jadual, aku tak boleh lakukan seorang diri. Aku perlu berbincang dengan Luqman terlebih dahulu. Ini bukannya keputusan sang tirani, jika keputusannya ‘A’ maka jangan diubah. Nanti hilang kepala daripada badan.

“Man, aku rasa kita dekat sana dua minggu ni macam lama sangat la.”

Luqman membalas pandangan aku. Kedua anak matanya mula bergerak ke kiri, atas.

“Aku pun rasa macam tu. Mana nak cekau duit lagi. Nak kerja, tapi rasa macam tak sempat nak cover balik duit belanja kita dekat sana.”

Makanya, kami membuat keputusan bahawa kami cuma akan berkampung di Australia dalam masa 6 hari, 2 hari di Sydney dan bakinya di Melbourne. Oh, dan kami juga buat keputusan yang Luqman akan merancang perjalanan di Sydney dan aku di Melbourne.

Gulp.

Melbourne?

Thursday, 11 July 2013

Visa ke Australia (ETA)


Oh, akhirnya visa yang aku tunggu-tunggu baru siap. Penantian satu penyiksaan kawan.

Kalau nak ke Australia, sememangnya wajib untuk dapatkan visa. Ada macam-macam cara untuk buat. Tapi tak perlu susah-payah isi borang di Visa Centre. So, aku pun memulakan pencarian tentang visa di internet. Akhirnya aku menemukan satu nama yang famous dan sinonim dengan visa Australia: Cik Intan (eta.australia@yahoo.com)

Aku pun email kepada beliau beberapa pertanyaan dan mendapat reply dengan cepat. Wah, impressive.

Maka, beliau minta aku emailkan 5 perkara kepadanya:

1- Copy passport
2- Mobile number
3- E-mail address
4- Flight details
5- Home address

Dan selang beberapa hari kemudian aku dapat reply sekali lagi:

Alhamdulillah all 2 pax ETA status OK TO BOARD, please check attachment details according to passport. Please check passport & ETA one by one ya.

Svc fee RM 20 x 2 pax = RM 40                      
INTAN AZLYNNA ABD RASHID                                                    
CIMB 1421  0064  3225 20

Tetapi kalau buat dengan beliau, tiada refference number online, kerana bukan buat di internet. 

Thursday, 27 June 2013

Awal Perjalanan



Petang tadi aku ketiduran. Mengorok, kata adikku yang bermaksud tidur dalam bahasanya. Bahasa apa, aku tak tahu. Usai tidur, aku segera solat asar. Ye la, takkan nak biarkan waktu berlalu macam tu sahaja kan?

Selepas solat, aku cuba mencapai telefon Samsung SIII yang sering dijadikan seperti PSP oleh adik aku.  

Satu message menginap dalam inbox aku. Tertera gambar mel di bahagian atas kanan handphone. Adakah ini perkhabaran yang aku tunggu-tunggu sejak semalam. Berdebar-debar juga rasanya. Atau mungkin kah hanya message celcom yang entah apa-apa.

Tahniah. Ko lulus. (Begitulah mafhumnya).

"Alhamdulillah.. Alhamdulillah.."

Bayangkan gaya Abdullah Khaerul Azzam dalam Ketika Cinta Bertasbih semasa mendapat result exam di Cairo, mungkin begitulah aku ketika itu.

Akhirnya result aku berbau seharum bunga. Dunia aku rasakan berputar ceria. Jerebu di sekitar rumah aku rasakan seperti kabus-kabus sejuk di waktu pagi.

Haha. Girang  tak terkata. Seronok kerana aku lulus semua subjek untuk semester ini.

Hei kawan. Mungkin kamu rasa pelik mengapa aku gembira tak terkata seperti ungka diberi bunga.

“Lulus je pun, bukan dapat Anugerah Dekan ke hape ke…”

Ok, tak apa.

Bayangkan kamu merupakan tahanan penjara (Abu Gharib). Di sana, kamu dilanyak, dilenyek, diseksa dengan begitu keras sekali. Namun, kamu berjaya melepaskan diri dan bebas. Bagaimana perasaannya?

Seperti itulah yang sedang aku rasakan sekarang. Oh, dan sememangnya kali ini aku wajib untuk lulus semua paper. Kenapa? Nanti akan aku ceritakan kepada kamu.

Nikmat Setelah Bebas

Ah... Indahnya dapat membebaskan diri daripada terkena seksaan sekali lagi. Belajar tidak menyeksa, tetapi keputusan yang terpapar itulah yang sangat menyiat hati kami para pelajar. Pedih!

Tetapi aku tak boleh lupakan sahabat-sahabat yang terkandas di sana. Maksud aku, ada sebilangan rakan seperjuangan aku yang kurang bernasib baik terpaksa mengulang kertas ujian pada akhir bulan Julai nanti. Ada yang terpaksa mengulang satu kertas sehinggakan ada yang kena mengulang lapan kertas.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Aku sentiasa mendoakan agar Allah mengurniakan apa yang terbaik buat mereka. Namun pada masa yang sama, aku juga memohon agar Allah mengasihani mereka semua semasa peperiksaan ulangan dan memberikan keputusan yang menggembirakan. Amin.

 Where is Aussie, Mate?



Sebelum exam final, aku sempat menghadiri satu program ke Sungai Congkak, Hulu Langat. Jadi di dalam bas aku membaca satu novel iaitu Contengan Jalanan karya Mr/Mrs Hlovate (aku tak tahu jantina beliau. Seriously, cuba google). Novel itu menceritakan tentang jaulah (bukan jauhlah tapi jaulah) dua orang manusia yang berbangsa Melayu ke Australia (Aussie).

Menariknya, mereka ke sana bukan untuk jalan-jalan cari makan atau makan-makan cari angin (baca: makan angin), tetapi mereka ke sana untuk mengenal diri. So kenapa mengembara ke Aussie?

Itu tanya mereka dengan membaca novel tersebut. Aha! Aku dah terpromote satu buku.

So, secara tak semena-mena terpacul daripada mulut aku beberapa perkataan yang bakal menyusahkan aku.

“Luqman, jom pi Australia.”

Luqman memandang aku. Anak matanya membesar, mula memberikan perhatian khusus kepada aku. Simptom-simptom simpatetik jelas kelihatan.

“Jom!”.

Otak aku sunyi sekejap.

“Tapi hang jangan nak sembang je la. Aku tak minat setakat orang yang pumpam pumpam tapi last-last tak jadi.”

Alamak. Menyesal pula aku rasa ajak si Luqman. Ingatkan cuma nak berangan-angan je. Nah, sekarang dah kena buat.

“Ok. Insya allah, aku akan pastikan benda ni jadi!”, hormone testosterone mula menguasai aku sebab rasa tercabar dengan kata-kata Luqman tadi. “Settle. Nanti balik program kita bincang balik pasal nak pergi Australia ni. Tapi kalau boleh, aku tak pergi Aussie just untuk makan angin, tapi aku nak tarbiyyah diri.”

“Ha.. Aku pun dah lama nak cari kawan pergi jalan-jalan oversea ni. Eloklah kau dah ajak.”, balas Luqman dengan senyuman excited tahap gaban.

Jadi, nak tak nak, projek ke Australia perlu jadi.
Sebab tu aku kena lulus semua paper!

Wednesday, 26 June 2013

Aku dan Pepesiksaan



Malam ini nampaknya aku tidak dapat tidur. Terganggu dengan khabar berita yang  mengatakan bahawa esok keputusan peperiksaan final akan keluar.

Peperiksaan adalah neraka bagi aku. Seriously.

Sepanjang exam week, kitaran tidur aku pasti terganggu. Aku hanya tidur dalam sejam sahaja untuk sehari sepanjang exam week kerana aku berfatwa bahawa dalam pra-klinikal (untuk medical school), short term memory sangat-sangat membantu bagi berjaya dalam peperiksaan. Kalau nak buat macam ni, kena ada dua kekuatan: kekuatan dalaman dan luaran.

Kekuatan Dalaman itu Apa?

Kekuatan dalaman seperti biasa kita dengar iaitu doa. Apa itu doa? Bagi aku doa adalah pengharapan dan kebergantungan kepada sesuatu yang kuat. So, dalam hidup kita sebagai orang yang beragama dan ada Tuhan, pastinya yang terkuat itu adalah Allah kan?

Jadi, kenalah berdoa. Upss.. Sebelum terlupa, dalam doa yang paling penting jangan lupa ucap syukur, minta ampun kepada Allah. Aku tahu itu ayat skema pendidikan Islam, tetapi itulah adabnya. Selepas itu, selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan tak dilupakan, doa kepada emak ayah.

Aku tak tahulah, tapi doa kepada mak ayah setiap kali lepas solat ni tersangat lah penting bagi aku. Kita ni bukannya sempurna, jadi salah satu cara yang aku buat adalah mendoakan parents aku dengan bersungguh-sungguh. Semoga dengan mendoakan mereka, aku bolehlah tergolong dalam kalangan orang yang Allah sayang dan dimudahkan hidup.

*****

Ok, dalam saat-saat akhir inilah pastinya kita akan cepat rasa nak putus asa. Sila jangan layan perasaan macam itu. Ini lah masanya untuk beraksi dengan agresif, intensif dan ____sif (sila sambung sendiri).

Jangan duk moody sangat layan perasaan. Perasaan itu bermula daripada otak. Otak boleh ‘ditipu’. Jadi, sila tipu otak anda dengan mengatakan anda telah prepare untuk exam ini walhal kita tahu, dalam medic ni, mana ada istilah cukup-cukup sedia. Yang biasa kita dengar, cukup-cukup makan adalah.

Oh, tapi aku teringat pesan seorang pensyarah Anatomi aku, Prof Srijit Das:

You must enter exam hall like you’re wearing a bullet proof!

Pergh! Dengar ayat dia masa tu meremang bulu roma. Tapi macam biasa, andai kata exam itu satu peperangan, pastinya aku dah lama mati. Mana tak nya, habis tu tertinggal baju kalis peluru dekat bilik.

Kedua: Kekuatan Luaran

Haha. Yang ini best sikit.

Aku akan pastikan setiap hari aku akan ambil redbull/livita 150 ml sebanyak dua botol setiap hari sepanjang exam week (amboi, dah macam prescription ubat). Ataupun aku akan minum kopi O, bukan Nescafe, tapi kopi O yang warna hitam pekat likat sedat sedap.

Ya, aku tahu beberapa side-effect yang tak best dan tak bagus. Tapi nak buat macam mana, aku terpaksa guna juga benda alah tu semua. Kalau tak dalam exam hall, mengantuk lah jawabnya.

Tapi aku perasan satu side effect yang sangat-sangat jelas iaitu rasa tak tahan untuk ke tandas (baca: buang air kecil). Ini sebenarnya satu benda yang bagus kerana dengan menahan daripada buang air, aku berteori bahawa ia dapat mengaktifkan rasa simpatetik (berjaga-jaga) walaupun tanpa bukti yang kukuh, valid atau thabit. Dengan ini, dapat lah aku mengelakkan rasa mengantuk sepanjang peperiksaan berjalan.

*****

Itulah serba-sedikit tentang bagaimana aku menghadapi exam di saat-saat akhir. Dan untuk exam yang sebelum-sebelum ni, ternyata ia berkesan. 

Tapi macam mana untuk result esok..?