Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Saturday, 24 January 2015

Maksiat Kemaluan


Aku perlu berterus-terang kerana langit mula terbuka luas. Manusia bebas meludah ke langit sesuka hati, tapi lupa yang ludah itu akan kena ke muka sendiri.

Zina: satu perkara yang orang tua kita malu-malu untuk bicarakan. Tapi barah nya mula menular ke setiap inci tubuh anak mereka. Barah yang bermula daripada mata (lelaki) dan jiwa (wanita), kemudian menghasilkan anak haram yang dicampak merata seperti bangkai. Sadis! Binatang jenis apakah yang mula menular di bumi Tuhan tanpa rasa malu dan kasihan.

Kita akan biasa dengar ayat ni bila discuss pasal zina, Surah al-Isra, ayat 32:


Kita perasan ada perkataan فاحشة (faahishah) dekat ayat quran yang mana translation bahasa melayu nya adalah perkataan perbuatan keji. Tapi tahukah kita bahawa perkataan faahishah itu adalah khusus untuk maksiat yang melibatkan syahwat / seksual.

Bahasa arab juga ada perkataan dasar yg berkaitan antara satu sama lain: وحش dan فحش (wahash dan fahash). Wahash bermaksud binatang liar dan fahash bermaksud sesorang yang berkelakuan macam binatang liar. Jadi, maksiat zina ini boleh digambarkan berakhlak kebinatangan.

Ketika Nabi Adam as dan Hawa dihukum atas kesalahan mereka dan dilucutkan baju, mereka dengan segera sedar supaya mereka perlu untuk menutup aurat mereka serta-merta. Jadi, menutup aurat bukan lah dipengaruhi oleh masyarakat setempat / menjadi ikut-ikutan, tapi ia adalah naluri semula jadi yang telah tertanam dalam jiwa manusia. Maka, sudah menjadi lumrah untuk manusia menutup aurat dengan berpakaian yang ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, kita harus menjaga diri daripada melihat aurat orang lain sebagai tanda menjaga kehormatan kita dan mereka. Tak sepatutnya kita melihat manusia lain sebagaimana binatang melihat binatang lain (dengan tujuan seksual).

Sekarang kita sedang berada pada zaman yang berterusan terdedah dengan maksiat. Bilamana kita terdedah terlalu banyak, akhirnya kita dah 'desensitized' atau pun dah tak ada rasa malu dengan maksiat ni. Sebagai contoh, anak dara kampung yang bila tak pakai tudung akan menyebabkan dia dikutuk satu kampung. Tapi di bandar, apakah perbuatan ini dirasakan satu dosa? Kita rasakan ia perkara biasa. Perempuan yang tak bertudung kita rasakan biasa sebab ada yang lagi teruk cara pemakaian nya. Akhirnya kita lupa yang walaupun memandang aurat rambut merupakan satu dosa untuk kita. Sampaikan kita merasakan "apa masalahnya tengok rambut perempuan. Bukan dosa sangat pun..?" Rambut adalah satu contoh. Banyak lagi benda lain yang lelaki akan tengok.

Fahamilah, bila perkara ini terjadi sebenarnya jiwa kita dah rosak. Sepatutnya mata tak berhak memandang perkara haram, kecuali kepada mereka yang halal. Sehinggakan hati kita keras dan merasakan dosa adalah biasa. Hubungan dengan Allah bergantung dengan sejauh mana hati kita ikhlas dan bersih. Setiap kali kita terdedah kepada maksiat, satu titik hitam bertompok di hati dan begitulah seterusnya. Ingin aku tanyakan kepada kamu sahabat, bila kali terakhir kamu menangis (sebab Allah)..? Kalau lah kamu tahu, Saidina Umar dulu hari-hari menangis minta Allah ampunkan dia walaupun Nabi SAW dah beritahu yang dia ni dijamin syurga. Kamu tahu, jiwa orang beriman akan berdegup kencang setiap kali berdepan dengan perkara yang menyebabkan murka Allah. Orang beriman akan rasa terbeban sepertimana gunung terhempap atas dadanya. Kalau mereka yang behati keras, mereka akan merasakan dosa maksiat seperti lalat. Dia akan kibas-kibas lalat tu dan akan buat dek macam tak ada apa-apa berlaku.

Kembalilah ke Jalan Kebenaran

Dalam ayat 32 surah al-isra', Allah kata jangan dekati/hampiri zina. Macam-macam jalan yang boleh mendekatkan kita kepada zina: kawan-kawan, internet, persekitaran dan macam-macam lagi. Mendekatkankan pun Allah dah larang, apatah lagi zina! Ketahuilah apa yang membawa boleh membawa kita terjerumus ke kancah maksiat. Kita harus jauhi. Kita harus lari, tinggalkan dia.


Ada satu benda yang aku tertarik. Kalaulah kamu perasan, apakah ayat selepas ayat 32 ni? Ayat dia adalah berkenaan ayat bunuh. Dalam ayat ni Allah nak beritahu jangan "bunuh" manusia yang tak bersalah. Jadi, Allah menceritakan tentang dosa maksiat kemudian tentang dosa bunuh manusia lain.

Apakah kita perasan, bilamana kita menzalimi maruah manusia lain (dengan melihat) itulah fahisyah! Kita melihat dalam perasaan bernafsu telah menyebabkan kita menzalimi diri sendiri dan maruah mereka. Dan bilamana kita membunuh manusia lain, kita telah menzalimi hak mereka untuk hidup. Jadi di sini, kita ada pembunuhan spiritual/rohani (فاحشة) dan juga pembunuhan fizikal (قتل). Ada dua jenis pembunuhan, tetapi Allah ceritakan tentang pembunuhan spiritual dulu.

Standard kita sebenarnya sudah semakin rendah apabila kita bercakap soal maksiat ni. Movie sebagai contoh. Apa yang sepatutnya 18 SX sepuluh tahun dulu, sekarang dah jadi PG 13. Apa yang jadi PG 13 dulu, sekarang dah jadi PG/U. Mereka meletakkan babak-babak keji dalam kebanyakan movie sama ada yang ringan-ringan atau yang berat-berat. Begitu juga dengan internet yang kita surf. Apatah lagi apabila surfing, ketika itu cuma hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.

Harga yang perlu dibayar oleh seorang Muslim apabila maksiat ini mula menyerang?

Roh kita tergadai!
Doa kita terhijab!
Akhlak kita rosak!
Hidup kita porak-peranda!
Tetapi kita masih tak peduli.. Kita tetap tersenyum dan berkata: "Biasalah tu.."

Solusi Kepada Masalah

Ni ubat pertama kepada ketagihan maksiat. Allah pesan siap-siap dalam surah al-Anakabut ayat 45:


"Solat dapat cegah perbuatan keji (فاحشة)"

Itulah ubatnya. Solat. Tapi bukan sembarangan solat. Solat yang disertakan dengan khusyuk (fokus) dan diawal waktu (rujuk surah al-mukminun). Solat merupakan gold standard for management of zina.

Ubat kedua adalah menjaga mata. Pernah suatu ketika, Nabi SAW terus menolak pipi seorang sahabat yang muda apabila ada seorang muslimat melintas dihapannya kerana sahabat tersebut tak tundukkan pandangan. Jadi, kita seharusnya menjaga diri kita dengan menahan diri daripada melihat perkara-perkara terlarang. Mereka juga makhluk Tuhan dan perlu dijaga maruahnya. Kita perlu memberi respect kepada diri kita supaya tidak memandang manusia lain sebagaimana binatang. 

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita rohani yang kuat dan menghindarkan kita daripada masalah yang berpunca daripada kurangnya menundukkan pandangan. Moga mata ini tak membawa kita ke neraka. 

Sumber Rujukan:
Ustaz Nouman Ali Khan

Thursday, 13 March 2014

Kesedaran



Jerebu yang memenuhi bumi HUKM menyebabkan aku terbatuk-batuk. Mata meradang merah dan tekak terasa panas. Di kala ini, penglihatanku hanya seperti orang yang sedang kelemasan dalam asap. Rupa-rupanya, indeks pencemaran udara mencanak naik ke paras 170. Sangat tidak sihat.

Minggu ini juga, kecoh dan heboh tentang berita kehilangan kapal terbang MH370 Kuala Lumpur – Beijing . Rakyat Malaysia menunjukkan belang, bertarung mengetap papan kekunci menjadi keyboard warrior. Pada aku, doa lebih penting daripada bising.

*****

Malam. Bulan seperti segan sipu untuk keluar menceritakan kisah gembiranya. Aku tercari-cari kelibat bulan, mengagumi kecantikan dan keputihan yang sering menghiasai dirinya. Namun bulan tak muncul tiba. Aku menunggu sang bulan sehingga kepanasan. Ditambah awan kumulonimbus yang tebal memenuhi strata langit menyebabkan haba panas terkumpul, sehingga mencetuskan fenomena pulau haba di Kuala Lumpur. Akhirnya aku akur. Setelah sekian lama menunggu bulan, aku putus asa.

Aku kemudiannya membatalkan temu janjiku dengan sang bulan dan keluar makan bersama dengan pendidik yang aku kagum dan teman-teman lainnya. Susuk tubuh pendidik ini 5’7”. Berdada bidang, kulit sawo matang.  Dia memang terkenal di seantero dunia, namun sayang bumi Malaysia tak cukup menghargai kepakarannya.

Kami berbual-bual. Gendang perbincangan mula dipalu. Tapi tiba-tiba topik kapal terbang MH370 terpacul keluar. Aku tak dapat pastikan siapa yang mula memukul perkara ini ke dalam diskusi.

“Cuba bayangkan, masa naik kapal terbang kita biasanya tidur kan? Tiba-tiba bila bangun, tengok-tengok duduk dalam kubur.”

Satu ayat yang keluar daripada mulut pendidikku.

Aku tergamam. 

Rasa takut. Mati.

*****

Mati adalah pintu yang menghubungkan antara hamba dan tuannya. Ketika inilah kita akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan di atas bumi.

Aku tahu kawan, kita terlupa yang kita akan mati. Kita leka dan terus terleka dengan nikmat. Seharusnya, nikmat itu kita hirup seadanya. Bukan sehingga mabuk dan terlupa jalan pulang ke syurga, rumah asal tok nenek pertama.

Mati adalah suatu makhluk Tuhan yang dicipta untuk memisahkan roh dari badan. Kamu faham kan kawan? Kerana di akhirat nanti, mati ini akan “disembelih” dan makhluk bernama mati ini sudah tiada. Jadi, ketika itu kepala boleh berkecai berulang-ulang-ulang-ulang tanpa ada kematian.

Ingin aku kongsikan kawan, tentang kematian. Panglima Perang Islam, Khalid al-Walid Sang Pedang Allah pernah berteriak lantang ketika berjumpa musuh:

“Kami cintakan kematian sepertimana kamu mencintai hidup!”

Ali bin Abu Talib yang dimuliakan Allah pun berbicara tentang kematian. Katanya:

"Manusia ini sebenarnya sedang tidur. Mereka cuma terjaga apabila telah mati".

Allahurabbi.

Begitu jauh aku dengan paradigma hidup sahabat Nabi ini. Ya Allah, cabutlah rasa cintaku pada dunia dan kembalikanlah rasa cintaku kepada akhirat. Jauhkan kami dari fitnah dunia dan rasa takut mati (al-Wahn).

Semoga kita sentiasa mendapat hidayah daripada Allah, Tuhan dan Tuan sekalian bangsa alam.


P/s: Sampai sekarang aku terfikir. Sebenarnya orang takut hantu, atau takut mati sebab kena cekik dengan hantu?

Sunday, 21 July 2013

Siapakah Muslim?



Apakah kita dipanggil muslim kerana ibu dan ayah kita muslim?
Apakah seseorang muslim terlahir sebagaimana seorang putera lahir daripada permaisuri?

Saya kira jawapan yang anda akan berikan adalah “TIDAK”. Seseorang tidak disebut muslim kerana tergolong dalam kelompok bangsa tertentu, bahkan mereka dikatakan muslim kerana menerima Islam. Sebaliknya mereka akan dikeluarkan daripada masyarakat muslim jika mereka melepaskan Islam sebagai agama walaupun mereka adalah anak seorang ‘alim atau ustaz.

Seseorang itu juga akan menjadi bangsawan jika lahir daripada rahim bangsawan, seterusnya dia akan tetap dipanggil bangsawan sehingga akhir hayatnya - tetapi tidak bagi seorang muslim. Islam itu adalah agama ilmu. Seseorang tidak akan menjadi seorang muslim tanpa memiliki pengetahuan kerana Islam tidak diperoleh kerana faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan.

Bagaimana mungkin seseorang yang tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi SAW boleh mengatakan dia beriman dan dapat mempraktikkannya? Adalah sesuatu yang mustahil jikalau sesorang itu mengaku muslim tanpa mengetahui apa-apa tentang agamanya.

Selain itu, perbezaan sebenar bagi seorang muslim bukanlah ada pada nama semata-mata. Nama Justin tidaklah bermakna bahawa pemilik nama ini adalah seorang kafir dan nama ‘Abdullah itu pemiliknya Islam.

Begitu juga dengan orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia adalah seorang kafir dan mereka yang memakai baju melayu adalah Islam.

Tidak, bukan disebabkan ini kita Islam!

Perbezaan yang sebenar antara kafir dan muslim itu adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana dia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan bagaimana hubungan Tuhan dengan dirinya. Dia juga tidak tahu cara hidup mana yang harus dijalaninya di dunia ini sesuai dengan kehendak Tuhan.

Kerana seorang muslim yang sebenar adalah seorang yang tahu apa makna Islam yang sebenar dan menyatakan keimanannya kepada Islam dengan penuh kesedaran dan keyakinan.

Maka apabila seorang anak daripada orang tua yang muslim, tetapi tidak mengetahui pengetahuan dalam Islam, maka apakah alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya seorang muslim?

Monday, 1 July 2013

Ramadhan Membentuk Tabiat



Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan.

Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).

Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan sebagai neuroplasticity.

Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia, ia sering dikaitkan dengan neuroplasticity. Basal ganglia sebenarnya bertindak sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya  melibatkan aktiviti rutin, tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia, kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita.

Hadiah Tuhan kepada Kita

Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.

Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.

Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?

Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah, maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.

Eidulfitri Hari Graduasi

Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk.

Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)

Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.