Jerebu yang memenuhi bumi HUKM menyebabkan aku terbatuk-batuk. Mata meradang merah dan tekak terasa panas. Di kala ini, penglihatanku hanya seperti orang yang sedang kelemasan dalam asap. Rupa-rupanya, indeks pencemaran udara mencanak naik ke paras 170. Sangat tidak sihat.
Minggu ini juga, kecoh dan
heboh tentang berita kehilangan kapal terbang MH370 Kuala Lumpur – Beijing .
Rakyat Malaysia menunjukkan belang, bertarung mengetap papan kekunci menjadi
keyboard warrior. Pada aku, doa lebih penting daripada bising.
*****
Malam. Bulan seperti segan
sipu untuk keluar menceritakan kisah gembiranya. Aku tercari-cari kelibat
bulan, mengagumi kecantikan dan keputihan yang sering menghiasai dirinya. Namun
bulan tak muncul tiba. Aku menunggu sang bulan sehingga kepanasan. Ditambah awan
kumulonimbus yang tebal memenuhi strata langit menyebabkan haba panas terkumpul, sehingga
mencetuskan fenomena pulau haba di Kuala Lumpur. Akhirnya aku akur.
Setelah sekian lama menunggu bulan, aku putus asa.
Aku kemudiannya membatalkan
temu janjiku dengan sang bulan dan keluar makan bersama dengan pendidik yang
aku kagum dan teman-teman lainnya. Susuk tubuh pendidik ini 5’7”. Berdada
bidang, kulit sawo matang. Dia memang
terkenal di seantero dunia, namun sayang bumi Malaysia tak cukup menghargai
kepakarannya.
Kami berbual-bual. Gendang
perbincangan mula dipalu. Tapi tiba-tiba topik kapal terbang MH370 terpacul
keluar. Aku tak dapat pastikan siapa yang mula memukul perkara ini ke dalam
diskusi.
“Cuba bayangkan, masa naik
kapal terbang kita biasanya tidur kan? Tiba-tiba bila bangun, tengok-tengok
duduk dalam kubur.”
Satu ayat yang keluar
daripada mulut pendidikku.
Aku tergamam.
Rasa takut.
Mati.
*****
Mati adalah pintu yang
menghubungkan antara hamba dan tuannya. Ketika inilah kita akan mendapat
balasan yang setimpal dengan perbuatan di atas bumi.
Aku tahu kawan, kita
terlupa yang kita akan mati. Kita leka dan terus terleka dengan nikmat.
Seharusnya, nikmat itu kita hirup seadanya. Bukan sehingga mabuk dan terlupa
jalan pulang ke syurga, rumah asal tok nenek pertama.
Mati adalah suatu makhluk Tuhan yang dicipta untuk
memisahkan roh dari badan. Kamu faham kan kawan? Kerana di akhirat nanti, mati
ini akan “disembelih” dan makhluk bernama mati ini sudah tiada. Jadi, ketika
itu kepala boleh berkecai berulang-ulang-ulang-ulang tanpa ada kematian.
Ingin aku kongsikan kawan, tentang kematian. Panglima
Perang Islam, Khalid al-Walid Sang Pedang Allah pernah berteriak lantang ketika berjumpa musuh:
“Kami cintakan kematian sepertimana kamu mencintai
hidup!”
Ali bin Abu Talib yang dimuliakan Allah pun berbicara tentang kematian. Katanya:
"Manusia ini sebenarnya sedang tidur. Mereka cuma terjaga apabila telah mati".
Allahurabbi.
"Manusia ini sebenarnya sedang tidur. Mereka cuma terjaga apabila telah mati".
Allahurabbi.
Begitu jauh aku dengan paradigma hidup sahabat Nabi ini. Ya Allah, cabutlah rasa cintaku pada dunia dan kembalikanlah rasa cintaku kepada akhirat. Jauhkan kami dari fitnah dunia dan rasa takut mati (al-Wahn).
Semoga
kita sentiasa mendapat hidayah daripada Allah, Tuhan dan Tuan sekalian bangsa
alam.
No comments:
Post a Comment