Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara
berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar
juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan.
Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak
bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis
lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).
Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan
menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan
sebagai neuroplasticity.
Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia,
ia sering dikaitkan dengan neuroplasticity. Basal ganglia sebenarnya bertindak
sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya melibatkan aktiviti rutin,
tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia,
kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita.
Hadiah Tuhan kepada Kita
Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah
mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita
mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.
Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of
Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk
membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya
Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita
gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara
iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk
baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.
Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?
Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah,
maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan
semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang
dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna
jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.
Eidulfitri Hari Graduasi
Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk.
Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana
firmannya:
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)
Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.
No comments:
Post a Comment