Aku akan ke Sydney dahulu, tanpa dijemput oleh sesiapa. Tiga puluh ribu kaki daripada aras permukaan laut melintasi lautan pasifik. Lapan jam, diam dan terapung-apung di awangan. Di dalam kapal terbang, kelihatan ramai muka yang sama dan sukar untuk dibezakan. Semuanya kelihatan seperti Prince William dan Kate Middleton sahaja. Anda tahu kan? Selebriti diraja Britain yang baru mendapat anak itu.
Malang bagiku, kerana aku duduk di hadapan seorang
Caucasian dalam 190 sentimeter tingginya. Berbadan sasa seperti seorang
penggusti professional dan kakinya juga sangat besar. Mungkin kerusi yang
disediakan syarikat penerbangan sangat kecil baginya, sehingga aku tidak boleh
untuk menolak kerusiku ke belakang. Beberapa kali kerusiku disondol kuat oleh
kakinya yang tegap itu. Ditambah dengan gegaran kapal terbang yang maha dahsyat,
aku tak dapat tidur dengan tenang.
“Excuse me. Could you give me some space to have a seat?”
begitulah ingin kukatakan kepadanya. Namun, terfikir akan mendapat lebam di
mata, aku simpan sahaja kata-kata itu. Jadi, aku hanya sempat terlelap sekejap.
Bakinya, mataku hanya tercelik menunggu sehingga sampai ke destinasi.
Tiba di Lapangan Terbang Kingsford Smith, kami diperiksa
dengan begitu ketat, seperti ada penjenayah yang baru terlepas daripada penjara
terdekat. Namun, itulah polisi mereka, bagi mengelakkan sebarang penyakit
menular kerana mereka begitu melindungi kehidupan di sana. Kata mereka, kerana
pulau Australia terpisah daripada mana-mana benua besar, jadi mereka agak
tersisih daripada pendedahan penyakit.
Usai pemeriksaan, aku dan Luqman segera keluar daripada bangunan
lapangan terbang. Kelihatan ramai yang berbaju tebal, dan ada juga yang berbaju
fesyen musim panas. Mungkin sudah biasa dengan cuacanya. Seperti kebiasaan, di
Malaysia kita akan rasa sejuk di dalam bangunan dan panas di luarnya. Berbeza
di Sydney, di dalam lapangan terbang terasa agak panas dan di luarnya begitu
dingin seperti aku sedang berada di dalam pendingin hawa. Sangat selesa. Tetapi di mana salji yang aku bayangkan menimpa bumi seperti imaginasi kanak-kanakku? Bukankah ini musim
salju?
Aku meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api. Kereta
apinya ada tiga tingkat, sukar untuk aku ceritakan kepadamu kawan. Antara
tingkat dan tingkat yang lain, ia dihubungi tangga pendek. Pintu masuknya
berada di tingkat tengah. Namun harga tiketnya tetap sahaja mahal seperti perjalanan
bas Kuala Lumpur ke Kelantan, walaupun kereta api itu kami naiki hanya selama 15 minit.
Daripada International Airport, kereta api meluncur laju
melintasi Domestic airport, Mascot dan Green square sebelum sampai ke Central
Station. Aku dan Luqman perlu ke sini dahulu sebelum ke tempat penginapan, untuk
mencari tiket bas ke Melbourne keesokan harinya.
Tiba di Central Station, kami terpinga-pinga. Tidak
kelihatan seperti tempat menjual tiket bas. Yang ada hanya ramai orang yang
berjalan laju seperti mengejar sesuatu. Kami menaiki tangga, keluar daripada
bangunan Central Station. Tiba-tiba kami
disapa oleh sekumpulan manusia yang memakai baju biru. Tertera logo Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di atas dada mereka.
“Hello, where are you come from?” Salah seorang
lelaki daripada kumpulan itu menyapa. Dia mula menyalami kami, mesra. Bola
matanya berwarna biru dan kulitnya putih kemerah-merahan. Tetapi bahasa
Inggeris lelaki itu kelihatan sedikit berbeza, ada sedikit dialek Perancis.
“Oh, we’re from Malaysia.” Aku cuba membalas.
“Malaysia? Negara yang menarik itu. Jadi kamu mahu ke
mana?”
“Kami sebenarnya nak mencari kaunter tiket bas. Dekat
mana agaknya ya?”
Dia kelihatan berfikir sebentar. Kemudian membalas, “Kamu
sebenarnya dah keluar jalan yang salah. Sepatutnya semasa kamu keluar, kamu
perlu keluar ke pintu kiri. Bukan di pintu kanan ini.”
Alamak. Rasanya tadi kami sudah mengikut arah yang betul,
simbol bas ke kanan.
“Tak apa, macam ni. Kamu ambil jalan lurus ni. Dan di
akhir simpang nanti, kamu ambil ke kiri. Nanti, cuba tanya orang di sana.”
Nampaknya kami terpaksa berjalan jauh. Rasanya seperti kami
mengelilingi Central Station itu. Keluar di pintu timur, dan harus ke pintu
barat. Dalam perjalanan, kami terjumpa monument-monumen kepala manusia yang
diukir cantik. Sederet tegak dan berwarna gangsa. Kelihatan nama-nama orang
Argentina, Portugis dan Sepanyol di bawah patung-patung mereka. Orang-orang penting mungkin.
Akhirnya kami tiba di Sydney Coach Terminal. Dan kami
berjaya mendapatkan tiket bas ke Melbourne, AUD 60. Mungkin angka kelihatan 60
kelihatan kecil dalam matawang Dollar Australia, tetapi dalam kadar tukaran
matawang Ringgit Malaysia, ianya berjumlah RM180.
Dalam masa sama, kami juga membeli tiket MyBus, berharga
AUD28.50 bagi 10 kali guna. Sistem pengangkutan bas di sana sangat cekap dan
mesra pengguna. Tetapi kalau ditukar kepada duit Malaysia, ianya berharga
kira-kira RM10 sekali guna. Sangat mahal.
Aku ibarat menari2 dalam kedinginan winter di klinik ENT ini. First time pakai jeannnnn. Hheheh
ReplyDelete