Monday 22 July 2013

Langkah Pertama



Hidup adalah cantuman mozek-mozek pengalaman lepas yang membentuk diri kita pada hari ini. Kita memperoleh pengalaman itu melalui berbagai cara – pengetahuan yang dicari, pemerhatian teliti atau penglibatan langsung kepada sesuatu realiti. Boleh aku katakan bahawa pengalaman adalah satu pengetahuan empirikal yang dipanggil ‘a posteriori’.

Pengalaman yang sama mampu menggempur sesiapa sahaja. Namun, sejauh mana dan secepat mana pengalaman yang sama memberi kesan kepada seseorang itu adalah bersifat relatif.

Ada orang yang mempunyai pengalaman luas, tetapi tidak pernah belajar. Tetapi ada juga mereka yang tertumbuk dengan sakitnya pengalaman – walaupun sekali – dan pengalamannya memberikan impak yang hebat dalam hidup mereka. Pengalaman semacam itu seperti intan berlian yang berkilau terang dan intan berlian dalam hidupku adalah peristiwa aku ke bumi kangaroo.

*****

“Luqman, bila kita nak beli tiket ke OZ ni?” aku cuba bertanya.

“Kau cari je dulu. Nanti kalau kau rasa sesuai, beritahu aku. Asalkan masa tu aku tak exam ok lah,” jawab Luqman. Mudah.

“Kalau bulan tujuh, lepas kita habis exam final, boleh?”

“Kan aku dah cakap. Aku ok je. Janji bukan tarikh aku exam.”

“Ok. Nanti aku belikan tiket. Lepas tu, jangan lupa kita kena buat perancangan perjalanan.”

Australia. Bumi yang tak dapat aku bayangkan rupa tempatnya. Mungkinkah ada sedikit gaya klasik eropah, atau mungkin juga ada iras-iras bangunan moden seperti kota arab Dubai? Bagaimana pula dengan orang-orang di sana. Adakah semuanya berambut blonde dan bermata biru? Aku tak pasti.Yang pasti, aku wajib untuk menjelmakan apa yang aku dah ungkapkan. Talking is nothing, doing is something.

Akhirnya, kami berjaya mendapatkan tiket. Tak murah, tapi mungkin juga tidak terlalu mahal. Berbekalkan konsep now everyone can fly, maka kami sempat membuat pembelian yang sesuai bagi kami yang masih belajar. Ikut perancangan, kami sepatutnya akan berada di sana selama lebih kurang dua minggu.

*****

15 hari sebelum tarikh penerbangan, aku mendapat satu email daripada pihak syarikat penerbangan. Mereka 'memaksa' supaya aku re-schedule jadual perjalanan kami. Sebabnya? Jangan tanyakan aku. Boleh ditanya kepada bos mereka yang juga merupakan pemilik sebuah kelab bola sepak Eropah yang baru turun divisyen itu. Bagi aku, ini mungkin satu rahmat Tuhan yang tahu bahawa hamba-Nya tak mampu bertahan lama di bumi orang.

Sebarang keputusan untuk menukar jadual, aku tak boleh lakukan seorang diri. Aku perlu berbincang dengan Luqman terlebih dahulu. Ini bukannya keputusan sang tirani, jika keputusannya ‘A’ maka jangan diubah. Nanti hilang kepala daripada badan.

“Man, aku rasa kita dekat sana dua minggu ni macam lama sangat la.”

Luqman membalas pandangan aku. Kedua anak matanya mula bergerak ke kiri, atas.

“Aku pun rasa macam tu. Mana nak cekau duit lagi. Nak kerja, tapi rasa macam tak sempat nak cover balik duit belanja kita dekat sana.”

Makanya, kami membuat keputusan bahawa kami cuma akan berkampung di Australia dalam masa 6 hari, 2 hari di Sydney dan bakinya di Melbourne. Oh, dan kami juga buat keputusan yang Luqman akan merancang perjalanan di Sydney dan aku di Melbourne.

Gulp.

Melbourne?

2 comments:

  1. yahhhhh dah kluar dah kluar. wakakka. gambor takde lip??? ohohoho

    ReplyDelete
  2. Sabau. Nanti kat kolej aku tunjuk. :)

    ReplyDelete