Tuesday 7 July 2015

Politik-King



Kalau kau tak minat politik tak apa, sebab politik sentiasa minat dengan kau. Dalam hidup, semua benda adalah politik. Kau sebenarnya berpolitik dngan diri sendiri untuk tentukan kau itu macam mana. Kau yang mentadbir diri sendiri. Sebab itu Nabi beritahu yang setiap manusia adalah pemimpin. Macam mana kau nak memimpin kalau kau tak tahu makna politik?

Aku sebut politik, dan orang muda akan kata, "Politik itu Kotor". Tapi kau kena tahu, politik tu adalah usaha satu pihak secara bersama untuk capai satu tujuan. Kalau perkataan arabnya, politik diterjemahkan kepada siasah atau kata asalnya daripada perkataan “Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai ( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah). Politik ini tujuan asalnya adalah untuk membentuk masyarakat yang terang dan aman daripada kacau-bilau. Mengawas manusia daripada melepasi sempadan yang ditetapkan.

Bila aku sebut politik, kau cuma boleh bayang Pro-Mahasiswa dan Aspirasi, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Democrat dan Republican. Itu sahaja. Sedangkan skop politik itu lebih besar. Aristotle pun ada cakap yang politic science is master for all sciences. Sebab? Politiklah yang ada decision-making power untuk tentukan ilmu apa yang masyarakat perlu dan ilmu apa yang utama. Sebagai contoh, era kepimpinan Tun Mahathir, beliau meletakkan Sains dan Matematik di tempat yang lebih kedepan berbanding ilmu lain. Budak lepasan SRP/PMR/PT3 yang cemerlang akan dinasihatkan supaya meneruskan pelajaran dalam kelas-kelas Sains Tulen. Apakah keparat ini? Kau tahu, bright student tak sepatutnya dipaksa ke kelas Sains sebab dia mendapat keputusan yang cemerlang. Tapi atas desakan keluarga, nasihat cikgu dan pandangan masyarakat, maka anak pintar ini terpaksa juga berada di kelas itu. Jadi kau nak salahkan siapa? Sedangkan kita perlu manusia pintar untuk mendalami bidang agama agar tak jadi macam sekarang. Kita juga perlukan manusia pintar untuk mengembangkan bakat dalam art.

Tapi itulah politik. Policy maker have power to decide. Tapi dalam sistem demokrasi, kita adalah tuan kepada policy maker. Cuma kita kena cerdik sikit. Kena selalu update isu semasa, tahu apa yang terjadi dalam negara, review sikit bajet negara. Tak susah mana. Tapi ingat, ada beza sembang kopi dengan pemerhatian teliti. Kalau setakat sembang kopi, fitnah sana-sini, aku tak rasa itu yang kita persetujukan kat sini.

Aku impikan satu benda. Aku harap politik di Malaysia bukan lagi berdasarkan politik perkauman. Aku dah rasa muak dan bosan. Hak istimewa rakyat bumiputera dah termaktub dalam perlembagaan dan kau perlukan banyak "kunci" untuk membukanya. Jadi, kenapa rasa takut sangat? Atau kita memang dah dimomokkan yang DAP ni Cina dan mereka ni jahat sebab warisan PAP Lee Kuan Yeuw? Atau Pas ni parti extremist yang lebih kurang Taliban di Afghanistan? Haha. Kelakar. 

Dalam politik zaman moden, satu benda yang sangat dititikberatkan. Apa dia? Persepsi.

Siapa yang berjaya menang persepsi rakyat, mereka akan menang. Tengok macam mana Pak Lah menang bergaya PRU 2004 apabila rakyat diberi persepsi yang dia adalah orang yang "bersih", nak-nak ayat dia, "Bekerjalah bersama saya, bukan untuk saya" dengan ayat "Cemerlang, Gemilang, Temberang Terbilang". Pergh, mahu tak respek orang dengar. Kau tengok juga macam mana persepsi masyarakat berubah apabila Pak Lah dikatakan memberikan muka kepada menantunya KJ tall, dark and handsome dan orang jatuhkan imej Pak Lah dengan kata dia kaki tidur. Itu tak termasuk campurtangan Dr M. Akhirnya tahun 2008, terus letak jawatan (walaupun Najib lagi teruk daripada dia).

Aku sangat kesal bilamana rasa politik di IPTA dicabut dan disentap dengan penggantian Student Union kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Kerajaan juga memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mengekang pelajar daripada terlibat aktif dalam politik untuk menjaga kantung emas mereka. Apabila mahasiswa dipisahkan dengan politik, secara tak langsung mereka berpisah dengan masyarakat. Tak dinafikan, operasi khidmat masyarakat masih ada. Tapi ia cuma ada pada tahap volunteerism. Bukan mengubah policy dan menggugat sang penguasa raksasa.

Tapi syukur. Kes UKM4 pada tahun 2011 memberikan sedikit ruang kepada mahasiswa untuk bergiat sama. Mereka berempat telah mencabar constitulity peraturan AUKU di Mahkamah Tinggi kerana melanggar kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Akhirnya, kerajaan terpaksa membuang Seksyen 15 dalam AUKU kerana melanggar prinsip perlembagaan.

Kalau kau masih rasa politik ini layak dibakulsampahkan, baik kau bersedia sebelum kau akan bau busuknya.

Monday 22 June 2015

Mujahid Agung Fadzil Noor




Ketika aku menulis ini, hatiku terhiris pilu seperti merindukan sosok-sosok tubuh yang aku tak pernah berjumpa, tapi kenal melalui nama. 

Khulafa' ar-Rasyidun ada Umar al-Khattab sebagai reformis dan rasionalis. Ijtihad Umar menjadi rujukan dalam membuat percaturan. Bani Ummayah ada Umar Abdul Aziz, yang mana serigala dan haiwan buruan dapat hidup aman. Empayar Agung Abbasiyyah munculnya Harun ar-Rasyid, sang pencinta ilmu pengetahuan. Daripada rahim kerajaan seljuk yang membentuk Dinasti Uthmaniah, lahirnya putera nakal yang akhirnya menakluk kota kebal Constantinople. Kerajaan kecil Mesir Fatimiyyah yang mencatatkan seorang raja yang tidak duduk di singgahsana tetapi berada di kem tentera untuk perjuangan jihad -Salahuddin al-Ayyubi namanya.

Apa yang ku pasti, dalam Parti Islam Se-Malaysia juga terukir satu sejarah yang mencatatkan seorang mujahid agung dilahirkan agung untuk memikul amanah mengepalai gerakan Islam di Malaysia - Ustaz Fadzil Noor.

Ku belek semula nama ini dalam sirah perjuangannya. Boleh aku katakan dia ini the true playmaker, the unsung hero and the genius politician. Pandangan dan ijtihadnya melepasi zaman. Peel dan fikiran orang Pas (melayu) berada dalam genggaman.

Kelemahannya usah dikira. Semua ahli Pas tahu, dia seorang pelambat bahkan lebih lambat daripada isterinya dalam bersiap sehinggakan Tok Guru Nik Aziz pernah meminta Subky Latif untuk menegurnya, tapi tidak ada siapa yang mampu mengubahnya. Sehinggakan kapal terbang terakhir untuk haji juga beliau telat, pekerja MAS melihatnya dan berkata, "Macam ni baru betul pemimpin. Dia buat tak tahu saja. Semua orang tunggu dia." Semua tahu tabiat lambatnya. Kelemahan ini bukanlah mengaibkan kerana rahsia ini diketahui umum. Malah sesiapa sahaja akan tertawa mendengarkan cerita kelewatannya. Walaupun kadang-kadang ada yang marah, tapi merka tidak mempedulikan kelemahan yang satu itu, bahkan rasa kasih kepadanya tidak berkurang.

Pakatan Rakyat adalah natijah daripada idea beliau yang menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) seterusnya pemuafakatan parti pembangkang Malaysia dalam menubuhkan Barisan Alternatif yang mana Ustaz Fadzil Noor adalah arkiteknya. Cuba kau bayangkan, macam mana dua kutub yang sama sifatnya dapat bercantum? Satu ultra-Islamis, satu lagi dimomokkan dengan parti kaum Cina yang mengamalkan Malaysian Malaysia. Ustaz Fadzil sangat pakar dalam menarik rambut dalam tepung. Beliau tahu sensitifnya masyarakat Melayu (terutamanya Pas) dalam mendepani DAP. Akhirnya pada pilihanraya 1999, Allah telah mengangkat seorang ulama ke dalam Dewan Parlimen untuk mewakili rakyat sebagai ketua pembangkang. Takdir Allah juga menentukan pada pilihanraya itu, ketua pembangkang sebelumnya, Lim Kit Siang kalah bertanding di tempatnya. Maka, Ustaz Fadzil Noor dengan rasa amanah menggalas tanggungjawab itu selama 2 tahun 7 bulan. Berkat hasil idea beliau juga, Konsep Negara Berkebajikan dalam Pas dibawakan ketengah medan masyarakat membuka mata ramai pihak. Tapi sayangnya, aku nampak pimpinan sekarang seolah-olah lupa dengannya dan terus bercakaran sesama sendiri. 

Kau tahu, berapa banyak agaknya aliran fikrah yang terdapat dalam Pas? Tapi boleh tak kau bayangkan macam mana Ustaz Fadzil Noor mencantumkan puzzle fikiran ini sehingga menjadi satu hasil yang menakjubkan, seperti batu tersusun kukuh.

Lewat tahun 80an, idea Kepimpinan Ulama dilontarkan oleh Dewan Pemuda Pas, yang mana secara tepatnya datang daripada Haji Mustafa Ali, Mutalib Embong dan Subky Abdul Latif. Beliau diam. Nak kata sokong pun tidak, nak kata tolak pun tidak. Tapi strategi beliau menjadi. Ketika mana idea itu dibawa ke dalam kelompok masyarakat Islam yang mana mendapat tempias daripada Revolusi Iran, apa agaknya rasa hati ahli Pas yang mendiami kelompok Profesional? Adakah mereka berkecil hati (seperti yang berlaku sekarang)? Tidak! Bahkan beliau berjaya mengintegrasikan ulama dan profesional sehinggakan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Tidak tergambar sedikit pun keresahan antara ahli tentang hal ini, bahkan mereka bersatu setuju. Aku merasakan keajaiban seorang tokoh dalam mengikat hati masyarakat waima berbeza pendapat. Ingin kutambahkan rencahnya, bahawa pendaftaran keahlian yang datang daripada golongan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan profesyen lain berduyun-duyun mendaftarkan diri ke dalam Pas. Pas bukan lagi parti kampungan, bahkan menjadi sumber rujukan.

Kalaulah kamu bisa tahu, apa bukti Ustaz Fadzil Noor merasakan Pas bersedia memerintah Malaysia yang berbilang kaum ini? Beliau mengeluarkan arahan agar ibu pejabat pas yang banyak bergiat di Taman Melewar, Gombak bermajoriti Melayu dibawa ke tengah ibu kota Jalan Raja Laut Kuala Lumpur supaya Pas belajar untuk duduk bersama-sama masyarakat majmuk. 

Aku suka juga mendapatkan cerita bagaimana beliau menangani isu "Hak Istimewa Orang Melayu". Ketika ramai pihak terkejut dengan isu tiada hak istimewa dalam Islam, Ustaz Fadzil Noor dengan yakin dan kukuh bertanya, "Adakah tak ada hak istimewa dalam Islam? Adakah sudah dikaji betul-betul? Kita kaji betul-betul dulu."

Beliau membawakan sirah ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, dakwah tersebar luas sehingga ke Parsi. Orang Arab yang ke Parsi pada ketika itu adalah golangan kaya dan berharta di mana mereka banyak membeli tanah-tanah orang Parsi yang miskin. Jadi, pada pandangan Saidina Umar, orang Parsi perlu dilindungi, jadi Saidina Umar membuat peraturan larangan membeli tanah orang Parsi. Tujuannya adalah untuk melindungi orang Parsi. Itulah hak istimewa orang Parsi!

Aku merasakan hujahnya logik, mantiknya sentap dan kata-katanya menyengat. 

Ketika Anwar Ibrahim difitnah dengan tuduhan liwat, beliau dengan segeranya menemui Anwar tanpa diketahui sesiapa pun hatta isterinya. Beliau mahukan penjelasan daripada mulut Anwar sendiri. Aku sekali lagi tak dapat membayangkan apa respons orang-orang Pas ketika itu. Kau lihat sahaja isu Unity Government, sampai sekarang pahat masih berbunyi. Tapi tidak untuk Ustaz Fadzil Noor. Ahli tunduk dan akur dengannya. Mereka mempunyai rasa hormat yang tinggi kepadanya.

Tarikh 23 Jun 2002, beliau pergi meninggalkan manusia yang masih memerlukan kalibernya dalam mentadbir hidup masyarakat yang masih carca-merba. Pemergiannya bukan sahaja ditangisi penduduk langit, bahkan 300,000 lautan manusia membanjiri segenap ruang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau. Seperti padamnya cahaya pelita, bumi terasa gelap. Dan aku masih menunggu Fadzil Noor yang seterusnya untuk menerangi semula bumi yang kian kelam. Walaupun aku tak pernah berjumpa dengan beliau, tapi aku rasa rindu dengan kredibilitinya sebagai penyatu ummat. 

Sunday 14 June 2015

Mengubah Tabiat Dalam Ramadhan




Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan. Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).

Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan sebagai neuroplasticity. Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia, ia sering dikaitkan dengan neuroplasticityBasal ganglia sebenarnya bertindak sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya  melibatkan aktiviti rutin, tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia, kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita. 

Hadiah Tuhan kepada Kita

Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.

Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.

Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?

Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah, maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.

Eidulfitri Hari Graduasi

Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk. Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)

Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.

Pindah



Aku dah pindah rumah lain. Jemput datang. Ni alamat baru:

http://atifect.blogspot.com/

Saturday 13 June 2015

Jatuh dan Bangun Semula


Berada dalam dunia maya membuatkan kau terapung-apung leka sehingga menghabiskan masa dan usia. Sebenarnya kau itu lemas! Otak kau dihujani beribu-beribu info tanpa tapisan kewarasan, yang ada hanyalah emosi yang membakar diri daripada keyboard warrior. Sesak dan cengkam membungkam jiwa sehingga kau rasa dada mendesak ketat. Cuba kau bandingkan dirimu dengan pak cik lewat usia senja yang kelihatan lebih tenang ke masjid tanpa mempedulikan hal dunia. Bandingkan dengan dirimu yang kusut, tak terurus dan seolah-olah mengetahui semua maklumat. Tapi kamu itu kosong. Umpama rumah tak berpenghuni. Fizikal wujud, rohnya kelaut.

Aku? Turut larut sama dalam apungan yang menyebabkan diriku lemas. Masakan tidak, hidup seperti lembu yang terikat tali. Yang membezakan cuma aku terikat dengan wayar charger gadget. Tapi masih terikat dan tertambat seperti lembu itu.

Ini adalah pecubaan kali keempat dalam membangunkan idea aku melalui wadah blog. Yang pertama, aku lupa passwordnya. Yang kedua, rasa namanya buruk benar. Isinya kontang, updatenya kurang. yang ketiga aku dah rasa jauh hati. Maka, aku berharap yang keempat ini menjadi. Berbunga seri kembang pagi. Orang Jepun kata, "Jatuh tujuh kali, bangunnya lapan."

"Atifect" adalah satu pinjaman kata perkataan inggeris "artifact" yang bermaksud tinggalan lama. Cuma aku bezakan sedikit ejaannya supaya perkataan "atif" terletak molek di situ. Aku banyak berdiskusi idea dengan mereka yang aku rasakan punyai kebebasan berfikir, tidak tersorok dibawah tempurung, tidak terkurung di dalam kotak. Lagi seronok ideaku dicabar, supaya ia menghasilkan idea yang lebih mapan. Orang berjiwa kecil mengata, orang berjiwa biasa berbicara peristiwa, orang berjiwa besar berbincang idea. Idea-idea ini aku tak mahu ia terlepas ke udara dan hilang dalam zarah-zarah halus, jadi aku tuliskan supaya ia membeku di dalam alam yang dapat menjadikan aku "kekal". Aku seperti masih hidup walaupun jasadku di dalam perut bumi.

Aku merasakan tulisan itu adalah lukisan kata-kata. Dan kadang-kala, cuma kertas yang mendengarkan aku. Ianya indah dan puitis. Setiap aksara kususun menjadikan satu perkataan. Perkataan itu kucantumkan agar menjadi satu prosa ayat dan akhirnya ayat itu kuhimpunkan membentuk pemikiran. Pemikiran inilah yang menggerakkan tubuh dan menggembleng kudrat untuk beramal. Pohon tanpa buah apalah guna, sama seperti ilmu-idea tanpa amal. Sia-sia.

Semoga kali ini aku berjaya. Doa-doakan. Aku tak perlu tembakan doa, aku hanya perlu doa yang ikhlas daripada kamu.

Saturday 7 March 2015

Tangan Terikat



Menjerit dalam vakuum.

Kedap.

Aku hanya bisa nampak mulut-mulut yang bergerak tanpa dapat mendengar sebarang gelombang bunyi yang melantun. Sangat senyap. Mulut-mulut itu seperti meminta tolong sesuatu. Tidak berbunyi, tapi aku faham kumat-kamit mulut itu.

Junjungan mulia berpesan, cegahlah dengan tangan! Namun apakan daya, tanganku terikat ketat.

Versi kepimpinan demokrasi memerlukan suara majoriti untuk menjadi sakti. Bukan sewenang-wenangnya mengubah sesuka hati. Kuasa tunggal tak memberi erti.

Aku baru pulang daripada majlis dinner kolej. Yup, seperti biasa kau akan baca banyak komen puji dan keji. Tapi aku tersepit di keduanya. Aku kebas dan deria hati ku hilang.

Kau diajarkan kefahaman Islam itu ini, begitu begini. Mereka yang mukmin akan menghentam sedalam 6 kaki sehingga kau tak bisa berbunyi. Namun apakah alternatif yang dah kau sediakan? Hanya mampu astaghfirullah, kemudian isu berlalu tanpa usaha jitu. 

Kita perlukan ketumbukan yang kuat. Makan itu tidak salah, tetapi persembahan itu perlu diolah semula supaya menjadi lebih syarie'.

Aku harap kau mengerti.

Kalau kau mencari aku, aku sedang berada di hujung penjuru. Meratap dan menangis dengan apa yang berlaku.

Tuesday 3 March 2015

Strata Berbeza



Dia berlari jauh
Pergi ke aras yang berbeza

Aku tertinggal
Adakah sebab terlambat atau
Tidak mampu mengejar

Dulu janjinya 
Bersama

Sekarang?
Jasadmu kekal
Jiwamu disana

Selamat menempuh hidup
Terbang ke langit
Di strata berbeza

Horizon menggembirakan
Meninggalkan tempat lama

Thursday 5 February 2015

Masa




Wal-asr.

Demi masa. 
Demi (waktu) asar.

Kalau kamu dan aku perasan, antara waktu solat yang pendek dalam hidup kita adalah waktu asar. Ditambah masa tu orang sedang kepenatan dan berebut-rebut untuk pulang ke rumah setelah belajar / bekerja seharian. Waktu petang juga adalah waktu riadah, waktu yg kita ambil masa untuk bersantai-santai. 

Kenapa Tuhan bersumpah dgn masa/waktu asar? Ulamak berpandangan bahawa ia bertujuan untuk menarik perhatian dan mengingatkan manusia dengan kebesaran, manfaat dan kesan-akibat sesuatu perkara.

Hidup kita ni Allah dah susun cantik dengan senggat-senggat pembahagian masa.

Waktu harian kita dipecah dengan lima waktu solat. Antara satu waktu dengan waktu yang lain perlu kita rancang dan fikir untuk kita penuhkan dengan aktiviti yang Allah redha.

Waktu mingguan kita Allah pecahkan dengan hari Jummat dengan Jumaat seterusnya.

Waktu bulanan kita Allah bahagikan dengan perjumpaan anak bulan dengan anak bulan seterusnya.

Waktu tahunan Allah jumpakan antara Ramadhan dengan Ramadhan tahun seterusnya.

Ada satu benda yang kita kena tahu. Dekat akhirat nanti, manusia akan ditanya secara umum pasal seluruh umur dia. Tapi Allah akan tanya secara detail tentang masa muda dia. Sebab masa muda adalah waktu kita paling aktif dan naluri inkuiri yang kuat. Masa muda juga adalah di antara dua peringkat kelemahan: waktu kanak-kanak dan waktu tua (Surah ar-Rum, ayat 54).

Nabi pun ada pesan:
Dua nikmat yang sering dilupakan adalah nikmat masa lapang dan nikmat kesihatan.

Jaga-jaga anak muda.
Marilah menjadi anak muda yang sibuk supaya tak menjadi orang tua yang membosankan!

Saturday 24 January 2015

Maksiat Kemaluan


Aku perlu berterus-terang kerana langit mula terbuka luas. Manusia bebas meludah ke langit sesuka hati, tapi lupa yang ludah itu akan kena ke muka sendiri.

Zina: satu perkara yang orang tua kita malu-malu untuk bicarakan. Tapi barah nya mula menular ke setiap inci tubuh anak mereka. Barah yang bermula daripada mata (lelaki) dan jiwa (wanita), kemudian menghasilkan anak haram yang dicampak merata seperti bangkai. Sadis! Binatang jenis apakah yang mula menular di bumi Tuhan tanpa rasa malu dan kasihan.

Kita akan biasa dengar ayat ni bila discuss pasal zina, Surah al-Isra, ayat 32:


Kita perasan ada perkataan فاحشة (faahishah) dekat ayat quran yang mana translation bahasa melayu nya adalah perkataan perbuatan keji. Tapi tahukah kita bahawa perkataan faahishah itu adalah khusus untuk maksiat yang melibatkan syahwat / seksual.

Bahasa arab juga ada perkataan dasar yg berkaitan antara satu sama lain: وحش dan فحش (wahash dan fahash). Wahash bermaksud binatang liar dan fahash bermaksud sesorang yang berkelakuan macam binatang liar. Jadi, maksiat zina ini boleh digambarkan berakhlak kebinatangan.

Ketika Nabi Adam as dan Hawa dihukum atas kesalahan mereka dan dilucutkan baju, mereka dengan segera sedar supaya mereka perlu untuk menutup aurat mereka serta-merta. Jadi, menutup aurat bukan lah dipengaruhi oleh masyarakat setempat / menjadi ikut-ikutan, tapi ia adalah naluri semula jadi yang telah tertanam dalam jiwa manusia. Maka, sudah menjadi lumrah untuk manusia menutup aurat dengan berpakaian yang ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, kita harus menjaga diri daripada melihat aurat orang lain sebagai tanda menjaga kehormatan kita dan mereka. Tak sepatutnya kita melihat manusia lain sebagaimana binatang melihat binatang lain (dengan tujuan seksual).

Sekarang kita sedang berada pada zaman yang berterusan terdedah dengan maksiat. Bilamana kita terdedah terlalu banyak, akhirnya kita dah 'desensitized' atau pun dah tak ada rasa malu dengan maksiat ni. Sebagai contoh, anak dara kampung yang bila tak pakai tudung akan menyebabkan dia dikutuk satu kampung. Tapi di bandar, apakah perbuatan ini dirasakan satu dosa? Kita rasakan ia perkara biasa. Perempuan yang tak bertudung kita rasakan biasa sebab ada yang lagi teruk cara pemakaian nya. Akhirnya kita lupa yang walaupun memandang aurat rambut merupakan satu dosa untuk kita. Sampaikan kita merasakan "apa masalahnya tengok rambut perempuan. Bukan dosa sangat pun..?" Rambut adalah satu contoh. Banyak lagi benda lain yang lelaki akan tengok.

Fahamilah, bila perkara ini terjadi sebenarnya jiwa kita dah rosak. Sepatutnya mata tak berhak memandang perkara haram, kecuali kepada mereka yang halal. Sehinggakan hati kita keras dan merasakan dosa adalah biasa. Hubungan dengan Allah bergantung dengan sejauh mana hati kita ikhlas dan bersih. Setiap kali kita terdedah kepada maksiat, satu titik hitam bertompok di hati dan begitulah seterusnya. Ingin aku tanyakan kepada kamu sahabat, bila kali terakhir kamu menangis (sebab Allah)..? Kalau lah kamu tahu, Saidina Umar dulu hari-hari menangis minta Allah ampunkan dia walaupun Nabi SAW dah beritahu yang dia ni dijamin syurga. Kamu tahu, jiwa orang beriman akan berdegup kencang setiap kali berdepan dengan perkara yang menyebabkan murka Allah. Orang beriman akan rasa terbeban sepertimana gunung terhempap atas dadanya. Kalau mereka yang behati keras, mereka akan merasakan dosa maksiat seperti lalat. Dia akan kibas-kibas lalat tu dan akan buat dek macam tak ada apa-apa berlaku.

Kembalilah ke Jalan Kebenaran

Dalam ayat 32 surah al-isra', Allah kata jangan dekati/hampiri zina. Macam-macam jalan yang boleh mendekatkan kita kepada zina: kawan-kawan, internet, persekitaran dan macam-macam lagi. Mendekatkankan pun Allah dah larang, apatah lagi zina! Ketahuilah apa yang membawa boleh membawa kita terjerumus ke kancah maksiat. Kita harus jauhi. Kita harus lari, tinggalkan dia.


Ada satu benda yang aku tertarik. Kalaulah kamu perasan, apakah ayat selepas ayat 32 ni? Ayat dia adalah berkenaan ayat bunuh. Dalam ayat ni Allah nak beritahu jangan "bunuh" manusia yang tak bersalah. Jadi, Allah menceritakan tentang dosa maksiat kemudian tentang dosa bunuh manusia lain.

Apakah kita perasan, bilamana kita menzalimi maruah manusia lain (dengan melihat) itulah fahisyah! Kita melihat dalam perasaan bernafsu telah menyebabkan kita menzalimi diri sendiri dan maruah mereka. Dan bilamana kita membunuh manusia lain, kita telah menzalimi hak mereka untuk hidup. Jadi di sini, kita ada pembunuhan spiritual/rohani (فاحشة) dan juga pembunuhan fizikal (قتل). Ada dua jenis pembunuhan, tetapi Allah ceritakan tentang pembunuhan spiritual dulu.

Standard kita sebenarnya sudah semakin rendah apabila kita bercakap soal maksiat ni. Movie sebagai contoh. Apa yang sepatutnya 18 SX sepuluh tahun dulu, sekarang dah jadi PG 13. Apa yang jadi PG 13 dulu, sekarang dah jadi PG/U. Mereka meletakkan babak-babak keji dalam kebanyakan movie sama ada yang ringan-ringan atau yang berat-berat. Begitu juga dengan internet yang kita surf. Apatah lagi apabila surfing, ketika itu cuma hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.

Harga yang perlu dibayar oleh seorang Muslim apabila maksiat ini mula menyerang?

Roh kita tergadai!
Doa kita terhijab!
Akhlak kita rosak!
Hidup kita porak-peranda!
Tetapi kita masih tak peduli.. Kita tetap tersenyum dan berkata: "Biasalah tu.."

Solusi Kepada Masalah

Ni ubat pertama kepada ketagihan maksiat. Allah pesan siap-siap dalam surah al-Anakabut ayat 45:


"Solat dapat cegah perbuatan keji (فاحشة)"

Itulah ubatnya. Solat. Tapi bukan sembarangan solat. Solat yang disertakan dengan khusyuk (fokus) dan diawal waktu (rujuk surah al-mukminun). Solat merupakan gold standard for management of zina.

Ubat kedua adalah menjaga mata. Pernah suatu ketika, Nabi SAW terus menolak pipi seorang sahabat yang muda apabila ada seorang muslimat melintas dihapannya kerana sahabat tersebut tak tundukkan pandangan. Jadi, kita seharusnya menjaga diri kita dengan menahan diri daripada melihat perkara-perkara terlarang. Mereka juga makhluk Tuhan dan perlu dijaga maruahnya. Kita perlu memberi respect kepada diri kita supaya tidak memandang manusia lain sebagaimana binatang. 

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita rohani yang kuat dan menghindarkan kita daripada masalah yang berpunca daripada kurangnya menundukkan pandangan. Moga mata ini tak membawa kita ke neraka. 

Sumber Rujukan:
Ustaz Nouman Ali Khan

Tuesday 20 January 2015

Tok Guru Nik Aziz



Setiap kali nervous/stress, aku akan cari video/mp3 Tok Guru. Aku rasa tenang sikit dpt dengar suara Tok Guru. Walaupun dia tak pernah melawak dalam kuliah dan sentiasa nampak tegas, tapi aku sentiasa suka cara dia explain guna contoh-contoh mudah yang senang untuk orang kebanyakan faham. Orang kata Tok Guru ni ada ilmu mantik yang tinggi, makna nya boleh buat perbandingan sesuatu dengan sesuatu yg lain utk memudahkan orang faham.

Contoh:
Orang yang buat kuih tahu apa bahan yang ada dalam kuih. Begitu juga Tuhan, yang buat manusia tahu peraturan terbaik utk manusia.

Dulu masa form five, alhamdulillah aku dapat peluang untuk pergi umrah (ganti mak cik aku yg tak dapat pergi). Kat sana ayah aku beritahu yang Tok Guru pun ada sekali masa tu. Punya lah excited aku dengar ayah aku cakap macam tu..


Aku doa sungguh-sungguh supaya dapat jumpa Tok Guru, tak kisah lah sama ada kat Madinah atau kat Mekah. Dan alhamdulillah sebab Allah jumpakan aku dgn Tok Guru kat dua-dua kota suci ni.

Kat Madinah, aku jumpa dia kat tepi jalan. Dia jalan kaki dgn seorang teman. Tak ada body guard pun. Aku cepat-cepat pergi salam dengan dia. Masa kat Mekah pulak, ada sorang pakcik pakai baju putih duduk sebelah aku. Rupa-rupanya Tok Guru! Habis je solat, aku tunggu dia solat rawatib. Then terus aku minta izin peluk dia.

Semoga Allah sentiasa panjangkan umur Tok Guru terutama ketika zaman fitnah macam sekarang. Umat ni masih perlukan Tok Guru sebagai penyatu.