Saturday 2 August 2014

Hantu (Teknologi)





Jujur aku katakan, pengalaman berada dalam “short sem” tak seindah yang dijangka. Namun aku merasakan itu adalah anugerah yang terindah yang dikurniakan Tuhan kepada aku. Aku belajar apa itu maksud “ilmu”. Aku tak mahu berfalsafah dengannya, cukuplah kalau aku bercerita melalui pengalamanku yang ringkas.

Bertebarlah ke mana-mana menara gading, kita pasti akan menjumpai sang mahasiswa. Malangnya, ciri-ciri ideal seorang mahasiswa semakin sirna (hilang) dalam diri mereka. Jiwa mereka seperti dicuri oleh sesuatu hantu. Hantu itu mereka panggil teknologi. Teknologi ini bersifat maya, kerana itulah ia tak dapat dicapai indera yang lima: disentuh, dihidu, dilihat, dirasa dan didengari. Layaknya seperti hantu.
Aku tidaklah menyalahkan teknologi sepenuhnya kerana teknologi sebenarnya tercipta bukan sahaja untuk membantu kita menyelesaikan masalah, tetapi ia juga mewujudkan kesenangan baru. Apabila manusia hidup dalam kesenangan, lama-kelamaan ia mula memakan diri. Seperti otot yang tidak digunakan, ia akan mula mengecut. Begitu juga otak di kepala, jika ia tidak dimaksimakan penggunaannya, lama-kelamaan ia akan mengecil. Pada mulanya masalah ini cuma sekecil tumor yang boleh dibuang mudah, namun lama-kelamaan ia mula menular dan membarah.

Benda yang mudah didapati akan kurang dihargai. Itu kesimpulan hasil eksperimentasi manusia. Begitu juga ilmu. Ilmu yang mudah dicari di laman sesawang akan mudah hilang daripada ingatan manusia. Ulama masa dulu begitu jerih dalam mencari sesuatu ilmu. Mereka akan mengembara sejauh beribu batu hanya untuk mendapat ilmu yang satu.

Masalah apakah yang melanda umat, teknologi yang hebat, info yang bersepah tetapi umat semakin punah?