Monday 31 January 2011

Ikrar Doktor Muslim



Percaya



Semoga aku, sahabat-sahabat dan seluruh doctor-to-be dapat bersama-sama menghayati ikrar yang bakal dilafazkan empat tahun daripada sekarang.




IKRAR DOKTOR MUSLIM
 
Saya bersumpah demi Allah Yang Agung

Bahawa saya akan mengingati Allah di dalam menjalankan tugas saya

Bahawa saya akan melindungi nyawa manusia disemua peringkat dan di dalam semua keadaan, melakukan dengan seberapa daya saya untuk menyelamatkannya dari maut, penyakit, kesakitan dan kegelisahan.

Bahawa saya akan menjaga kehormatan semua orang, melindungi perkara-perkara peribadi dan mengunci rahsia mereka.

Bahawa saya akan sepanjang masa memperhambakan diri kepada belas kasihan Allah, memberikan khidmat perubatan saya kepada yang dekat dan yang jauh, yang baik dan yang berdosa serta kawan dan lawan. 

Bahawa saya akan berusaha di dalam mengejar pengetahuan dan menggunakannya untuk manafaat dan bukan untuk merosakkan manusia.

Bahawa saya akan menghormati guru saya, mengajar doktor dibawah saya dan menjadi saudara kepada pengamal perubatan lain dan bekerjasama di dalam semangat ketaqwaan dan kebajikan.


Bahawa saya akan menghidupkan keimanan saya semasa berseorangan atau dikhalayak ramai, mengelakkan perkara yang boleh mencemarkan saya pada pandangan Allah, RasulNya dan orang beriman yang lain. 


Semoga Allah menjadi saksi kepada ikrar ini.

Semoga kita bersama-sama memartabatkan profesion ini pada landasan nya!




Persidangan Antarabangsa Perubatan Islam Pertama 
Januari 1981 (Rabiul Awal 1401)
Dokumen Kuwait



Kredit kepada website Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia: http://www.papisma.org/

Mesir, Bumi Pelbagai Cerita


Demonstran di Dataran Tahrir


Sekurang-kurangnya beribu orang ditangkap di Mesir sejak gelombang protes menentang Presiden Hosni Mubarak yang berawal Selasa lalu (25 Januari 2011). Ini adalah protes paling serius selama pemerintahan Mubarak 30 tahun terakhir.

Demonstrasi Mesir ini terinspirasi hasil daripada protes yang sama di Tunisia (Revolusi Jasmine) yang akhirnya menggulingkan pemerintahan Presiden Zine El Abidine Ben Ali.

TAKTIK PENYELAMAT

Namun seperti biasa, pastinya terdapat pelbagai taktik bagi memburuk-burukkan para revolusionis daripada menggulingkan Presiden Tirani (Husni Mubarak).
 
Antara taktik yang digunakan:
1 – para mukabharat (sb) telah membunuh 11 orang kampong
2 - mukhabarat memakai topeng dan merompak
3 – mukhabharat memakai topeng dan bersenjata merompak kereta di jalan raya
4 – merompak kawasan perumahan
5 – memecah muzium mesir

Semua ini dilakukan dengan niat jahat.
Ini agar orang ramai akan ketakutan dan menuduh para demonstran sebagai punca semua ini.
 
Dengan menggunakan taktik ini Presiden Tirani dan para sb nya berharap warga Mesir akan membenci demonstrasi kerana mengganggu jalan raya serta menyebabkan warung dan kedai ditutup.

KEHEBATAN SUARA RAMAI

Inilah nasib Sang Presiden Tirani: 

Anggota keluarga Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah keluar dari Mesir menuju ke kediaman keluarga itu di London.

Anak lelaki presiden itu, Gamal, 47, dikatakan bertolak dengan pesawat peribadi bersama keluarganya dan 97 beg besar
Keluarga itu kini menginap di rumah agam enam tingkat milik mereka bernilai £8.5 juta (RM41 juta) berdekatan pusat beli-belah terkemuka Harrods di Knightsbridge, barat London.  
 
(akhbar The Sun, 31/1/2011)

PERUBAHAN MESIR ADALAH PERUBAHAN GAZA

Penduduk Gaza senantiasa menunggu perubahan di Mesir kerana negara jiran itu adalah peparu yang membantu mereka bernafas.

Mereka memerhati dengan rapi perkembangan di negara jiran Mesir mengharapkan perubahan kerajaan akan membawa kepada dasar kawalan sempadan yang lebih longgar, manakala Israel pula berkempen untuk mempengaruhi negara kuasa besar agar terus menyokong Presiden Hosni Mubarak. 

Kementerian luar Israel memberitahu diplomatnya bahawa kestabilan rejim di Mesir adalah utama bagi kepentingan Barat dan rantau Asia Barat.

“Kita harus membendung kecaman awam terhadap Presiden Hosni Mubarak,” kata kementerian luar itu.
Akhbar Israel, Haaretz

Bersama-sama membebaskan Mesir


Mesir akan meneruskan perjuangannya membebaskan Palestin daripada nista. Kita...?


Sunday 30 January 2011

Hatiku Raja

Mencari ketenangan


Hati ibarat tuan dan jasad adalah hambanya. 


Hati juga bertindak selaku pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah pusat yang mengatur dan menggerakkan semua kegiatan. 


Jika hati baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu. Jika sebaliknya, maka buruklah peribadi seseorang itu.



Rasulullah SAW bersabda:
Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

GELISAH

Terkadang kita merasakan sangat gelisah. Dan tertanya-tanya, mengapa aku begini..?

Atau kita juga merasa sepi walaupun ditengah gelak tawa ramai.
Mengapa..?

Mungkin antara sebab yang menjadi punca adalah HATI.

Hati yang tidak diberi keperluan rohani yang secukupnya akan memberontak, mogok kepada diri.

Kesannya dirasai oleh kita tanpa mengetahui punca sebenar. Pada ketika itulah, kita akan lebih beremosi, hatta kawan yang melawak terasa ingin disepak.


Mencari erti hidup

SALAH SIAPA?

Kita.
Tiada jawapan lain yang boleh diberikan melainkan perkataan "kita".

Dengan amalan yang sepatutnya menjadi santapan rohani sering ditinggalkan. 
Zikir-zikir yang membasahi bibir disepikan.
Akal yang berfikir mengagumi ciptaan Tuhan ditidurkan.

Kehebatan Sang Raja ini yang tidak berpuas hati dengan diri, lantas mengucar-kacirkan hidup.
Arghhh... Stress sekali.

Di manakah posisi terbaik diri seperti ini di disisi Tuhan sehingga menyebabkan hati menjerit?

KEMBALI KEPADA FITRAH


Keadaan hati yang merasai nikmatnya bertuhan perlu segera dikembalikan.
Agar kita tidak dikeronyokkan dengan penyeksaan yang dilakukan oleh hati yang berduka.


Hati yang berduka tandanya bernoda dosa, manakala hati yang suci merasai nikmat yang tak terperi.

Tuhan, pada-Mu ada kedamaian, oleh itu turunkanlah ia kepada hati ini.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ . ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! 

Surah al-Fajr (27-28)
 
Wahai hati...
Hilanglah duka, kembalilah ceria.

Senyuman Yang Hilang




Hayley bersama ibunya


Bukan satu cereka hiburan mahupun novel kehidupan.

Suatu realiti hidup.
 
Nikmat itu masih tidak disedari kehadirannya selagi ia belum hilang.
Seorang gadis bernama Hayley Harbottle menderita menghidapi masalah genetik yang jarang ditemui yang membuatkan wajahnya lumpuh.

Kesannya?
Tiada lagi perasaan yang dapat diekspresikan.  
Tiada lagi senyum tawa, tangis sedu atau amarah memuncak.

“Hayley memiliki kehidupan yang sukar. Orang-orang berfikir dia adalah seorang pemurung... Saya sangat berharap dapat melihatnya tersenyum suatu hari nanti” kata ibunya.

Menurut diagnosis doktor, Hayley tidak memiliki saraf penting yang penting untuk membentuk ekspresi wajah.

Maka, bersyukurlah kita masih boleh tersenyum.
Teruskan senyuman anda! 
=)

Saturday 29 January 2011

Belajar Erti Syukur



Mana lebih hebat?


Sang itik itu memiliki bulu yang putih kapas. Paruhnya kuning keemasan menambahkan lagi kecantikannya.

Hari ini, sang itik terlihat raja helang berlegar-legar di ruang angkasa. Kagum. Ketangkasannya mencecah langit di samping badan yang merah tegap.
Sang itik juga kelihatan sangat teruja melihat saudaranya itu terbang bebas di langit.

"Alangkah bagusnya jika aku mampu terbang seperti raja helang...".
"Boleh terbang ke sana kemari, melihat penduduk bumi", sambil berenang-renang perlahan di suatu tasik yang tenang sambil berlalu kecewa kepingin terbang bak raja helang.

Awan biru, raja helang berterbangan membelah angkasaraya. Terlihat sang itik tenang berenang-renang menikmati keindahan perut tasik.

"Oh, indahnya sang itik bergembira menikmati keindahan tasik. Andainya aku mampu berenang-renang, indah nian..."

INILAH DRAMA MANUSIA

Manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimilikinya.
Hanya melihat segala nikmat orang lain sambil hati terasa pedih, iri hati. Ah, hati yang membusuk ini hanya tunggu masa untuk bernanah melempiaskan dengkinya.

Alangkah hebatnya raja helang mampu terbang ke langit tinggi.
Hebat juga sang itik berenang-renang di kolam tasik kedamaian.

Adakah tidak hebat menjadi raja helang?
Adakah tidak hebat menjadi sang itik?

Wahai diri, Tuhan telah berpesan:
"Sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur"
(Surah As-Saba’: 13)


Mari menjadi golongan yang "sedikit" itu.

Katak Melompat Lagi



Comelnya katak ni


Andai dapat kupotong kaki katak itu dari terus melompat.


Kenapa?
Kerna katak ini akan terus melompat selepas turunnya hujan pilihan raya.


Kadang-kadang seekor, bahkan biasanya lebih.
Yang bestnya boleh masuk paper.. Seronok..

Inikah pilihan kita?
Memilih kerajaan sang katak.

Semoga mukmin Islam terus istiqamah meneruskan perjuangan menegakkan Islam di dunia.

p/s: Aku bukan penyokong politik ini. Cuma letih berita N. Gobalakrishnan (keluar pkr) diulang lebih 3 kali dalam berita awani malam ni.. Tapi terfikir juga. Siapa katak selepas ni? =)
Menunggu katak

Kuatkanlah Ikatan Itu



Menenangkan jiwa


Dunia sedang tersenyum.
Menyaksikan insan-insan yang bertemu dan berpisah kerana - Nya.

Perasaan yang lain ketika meninggalkannya, si sahabat itu.

Terkadang air mata tertumpah walaupun telah diseka, kerana itulah erti hati yang telah tertaut kerana cinta kepada Sang Pencipta.

Terima kasih sahabat, hanya Allah menjadi saksi erti perjuangan kita walaupun manusia lain menganggap kita berbuat sia-sia.

Maaf jika ada sebarang kekasaran yang ku lakukan - mungkin sudah sifat semulajadi yang sedikit keras.

Namun apabila terkenang akan segala mimpi lampau dan angan-angan mendatang, pastinya bibirku terkoyak senyum.

Tempat mencurah rasa walau sesekali pandangan kita berbeza. Namun hati yang telah jitu tidak mampu diranapkan oleh perasaan was-was dalam bersahabat.


Ketika menyambut birthday Afif Azzeri bersama-sama sahabat perubatan

Terima kasih sahabat-sahabatku. 
Semoga kita menapak ke syurga dalam perjuangan yang dilingkari duri-duri dendam.


~ sedang kerinduan ~

Bercerita Mengenai Kesepian


Alangkah indahnya di sini, nyaman.

Kosong.
Rasa tidak dapat meluahkan perasaan duka nestapa mahupun girang ceria. Satu perasaan yang sangat aneh di dalam diri. Bak jarum-jarum yang memilukan.

Siapa sangka, di tengah ramai itu kita rasa kesunyian?
Siapa sangka, tika keseorangan dunia terasa begitu menggembirakan?

Rasa kesunyian dalam diri ini tidak dapat diubati tanpa mengambil penawar nya, bukan ubat-ubatan sang doktor. Tetapi ianya adalah zikir kepada Tuhan.
Manusia adalah gabungan daripada dua unsur yang berbeza yakni daripada langit dan bumi. Roh asalnya daripada langit manakala jasad adalah lumpur yang berasal daripada bumi.

Allah sesekali tidak akan menjadikan seseorang  dua hati dalam rongganya.”
(al-Ahzab: 4)

Dalam kesunyian, roh seakan-akan berjaya menguasai tubuh badan anak Adam itu. Lantas ingin ‘terbang ke langit’ ke tempat asal kejadiannya. Maka kekacauan berlaku. Hati merana.

Rasa kesepian dan ditinggalkan haruslah segera diisi dengan makanan asal bagi roh, iaitu zikir kerana jika terlambat, pastinya benda asing lain segera bertapak. Syaitan pasti tidak akan melepaskan peluang ini dengan begitu sahaja. Pastinya bala tentera yang besar sedia mengeronyokkan hati yang sedang bergelojak lemah itu.


SENYUMLAH

Yakinlah sebenarnya kita tidak pernah kesunyian.

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya
(Qaff : 16)

Allah sentiasa bersama kita. Bagaimana kita tahu tahap sayangnya Allah kepada kita?
Ukurannya mudah - tanya kembali kepada diri kita sejauh mana kita mengingati Allah.

Adanya di sekeliling kita makhluk-makhluk yang berpesta berzikir kepada Allah. Marilah bersama-sama menyertai ‘pesta zikir’ yang begitu menghiburkan ini.

“Aku kalau zikir bukan faham pun. Tak khusyuk!”

Maka, kita lebih gemar mendendangkan lagu-lagu berbanding zikir ini? Ah, alangkah besarnya penyesalan ini.

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."
(Ar Ra'du : 28)

Pernahkah kita terfikir bahawa berzikir (yang tidak khusyuk itu tadi) lebih baik berbanding dengan tidak berzikir?

Konsep berzikir tidak lah sesukar yang kita bayangkan. Bacalah kalimah "Bismillah" diawal kerja dan "Alhamdulillah" diakhir kerja.

Mudah bukan?

Panjang Umur Dengan Membunuh



Pedang pembunuh


Selama ini, aku sering menyatakan kepada teman-teman bahawa aku tidak akan menyertai dunia blog. 

"Menyusahkan", kataku. 

Namun maaf kepada kalian kerana jiwaku sudah tidak mampu melihat durjana mendera hati. 

Aku sangat terkesan dengan kematian Syed Qutb, matinya di tali gantung kerana pedang itu. Aku mengimpikan nukilan pena Pak Hamka ketika dipenjara. 

Ah, jalan ini kurasakan nyaman sekali walaupun ku tahu ketajaman pedang ini bakal dibalas dengan libas tetak pedang-pedang lain. Aku juga tahu, panahan-panahan berbisa yang menujam bertalu pasti berlaku. Persetankan segalanya, selagi nafas dihela. 

Kuhunuskan pedang memasuki gelanggang.
Umur terus memanjang dengan tajamnya pedang pena ini.

Semoga pedang tidak tumpul berkarat.

p/s: Semoga umurku panjang dengan adanya tulisan ini. Tulisan itu pedang yang mampu membunuh dan memanjangkan umur.