Wednesday 24 July 2013

Sydney


Aku akan ke Sydney dahulu, tanpa dijemput oleh sesiapa. Tiga puluh ribu kaki daripada aras permukaan laut melintasi lautan pasifik.  Lapan jam, diam dan terapung-apung  di awangan. Di dalam kapal terbang, kelihatan ramai muka yang sama dan sukar untuk dibezakan. Semuanya kelihatan seperti Prince William dan Kate Middleton sahaja. Anda tahu kan? Selebriti diraja Britain yang baru mendapat anak itu.

Malang bagiku, kerana aku duduk di hadapan seorang Caucasian dalam 190 sentimeter tingginya. Berbadan sasa seperti seorang penggusti professional dan kakinya juga sangat besar. Mungkin kerusi yang disediakan syarikat penerbangan sangat kecil baginya, sehingga aku tidak boleh untuk menolak kerusiku ke belakang. Beberapa kali kerusiku disondol kuat oleh kakinya yang tegap itu. Ditambah dengan gegaran kapal terbang yang maha dahsyat, aku tak dapat tidur dengan tenang.

“Excuse me. Could you give me some space to have a seat?” begitulah ingin kukatakan kepadanya. Namun, terfikir akan mendapat lebam di mata, aku simpan sahaja kata-kata itu. Jadi, aku hanya sempat terlelap sekejap. Bakinya, mataku hanya tercelik menunggu sehingga sampai ke destinasi.

Tiba di Lapangan Terbang Kingsford Smith, kami diperiksa dengan begitu ketat, seperti ada penjenayah yang baru terlepas daripada penjara terdekat. Namun, itulah polisi mereka, bagi mengelakkan sebarang penyakit menular kerana mereka begitu melindungi kehidupan di sana. Kata mereka, kerana pulau Australia terpisah daripada mana-mana benua besar, jadi mereka agak tersisih daripada pendedahan penyakit.

Usai pemeriksaan, aku dan Luqman segera keluar daripada bangunan lapangan terbang. Kelihatan ramai yang berbaju tebal, dan ada juga yang berbaju fesyen musim panas. Mungkin sudah biasa dengan cuacanya. Seperti kebiasaan, di Malaysia kita akan rasa sejuk di dalam bangunan dan panas di luarnya. Berbeza di Sydney, di dalam lapangan terbang terasa agak panas dan di luarnya begitu dingin seperti aku sedang berada di dalam pendingin hawa. Sangat selesa. Tetapi di mana salji yang aku bayangkan menimpa bumi seperti imaginasi kanak-kanakku? Bukankah ini musim salju?

*****


Aku meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api. Kereta apinya ada tiga tingkat, sukar untuk aku ceritakan kepadamu kawan. Antara tingkat dan tingkat yang lain, ia dihubungi tangga pendek. Pintu masuknya berada di tingkat tengah. Namun harga tiketnya tetap sahaja mahal seperti perjalanan bas Kuala Lumpur ke Kelantan, walaupun kereta api itu kami naiki hanya selama 15 minit.

Daripada International Airport, kereta api meluncur laju melintasi Domestic airport, Mascot dan Green square sebelum sampai ke Central Station. Aku dan Luqman perlu ke sini dahulu sebelum ke tempat penginapan, untuk mencari tiket bas ke Melbourne keesokan harinya.

Tiba di Central Station, kami terpinga-pinga. Tidak kelihatan seperti tempat menjual tiket bas. Yang ada hanya ramai orang yang berjalan laju seperti mengejar sesuatu. Kami menaiki tangga, keluar daripada bangunan Central Station. Tiba-tiba kami disapa oleh sekumpulan manusia yang memakai baju biru. Tertera logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di atas dada mereka.

“Hello, where are you come from?” Salah seorang lelaki daripada kumpulan itu menyapa. Dia mula menyalami kami, mesra. Bola matanya berwarna biru dan kulitnya putih kemerah-merahan. Tetapi bahasa Inggeris lelaki itu kelihatan sedikit berbeza, ada sedikit dialek Perancis.

“Oh, we’re from Malaysia.” Aku cuba membalas.

“Malaysia? Negara yang menarik itu. Jadi kamu mahu ke mana?”

“Kami sebenarnya nak mencari kaunter tiket bas. Dekat mana agaknya ya?”

Dia kelihatan berfikir sebentar. Kemudian membalas, “Kamu sebenarnya dah keluar jalan yang salah. Sepatutnya semasa kamu keluar, kamu perlu keluar ke pintu kiri. Bukan di pintu kanan ini.”

Alamak. Rasanya tadi kami sudah mengikut arah yang betul, simbol bas ke kanan.

“Tak apa, macam ni. Kamu ambil jalan lurus ni. Dan di akhir simpang nanti, kamu ambil ke kiri. Nanti, cuba tanya orang di sana.”

Nampaknya kami terpaksa berjalan jauh. Rasanya seperti kami mengelilingi Central Station itu. Keluar di pintu timur, dan harus ke pintu barat. Dalam perjalanan, kami terjumpa monument-monumen kepala manusia yang diukir cantik. Sederet tegak dan berwarna gangsa. Kelihatan nama-nama orang Argentina, Portugis dan Sepanyol di bawah patung-patung mereka. Orang-orang penting mungkin.


Akhirnya kami tiba di Sydney Coach Terminal. Dan kami berjaya mendapatkan tiket bas ke Melbourne, AUD 60. Mungkin angka kelihatan 60 kelihatan kecil dalam matawang Dollar Australia, tetapi dalam kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia, ianya berjumlah RM180.

Dalam masa sama, kami juga membeli tiket MyBus, berharga AUD28.50 bagi 10 kali guna. Sistem pengangkutan bas di sana sangat cekap dan mesra pengguna. Tetapi kalau ditukar kepada duit Malaysia, ianya berharga kira-kira RM10 sekali guna. Sangat mahal.

1 comment:

  1. Aku ibarat menari2 dalam kedinginan winter di klinik ENT ini. First time pakai jeannnnn. Hheheh

    ReplyDelete