Saturday 27 July 2013

Bas


Bangunan Central Station sangat persis dengan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bezanya, ia tiada kubah bersamanya. Seni bina tinggalan kolonial British di sini sangat banyak. Seperti sahaja kami sedang berada di kota London.

Di hadapan Bangunan Central Station, ada sebuah taman cantik yang aku tak berapa pasti namanya. Belmore Park mungkin. Ia dipenuhi burung putih yang sibuk mematuk makanan. Ada juga mereka yang hanya berjalan-jalan senang, tanpa ada masalah. Ada juga mereka yang berkelahi, lagak seperti sedang bergaduh dalam mengawan bagi memenangi hati si betina.

Aku dan Luqman menunggu bas di satu bus stop, berdekatan taman itu. Di sana, ada dua jenis bas, percuma dan berbayar. Bas percuma akan membawa ke tempat-tempat terkenal dan tempat-tempat yang lain akan dikenakan bayaran. Di samping itu, untuk ke sesuatu tempat, kami perlu tahu jalan yang dilalui bas tersebut. Dan aku sekarang ingin ke Darlinghurst Road, di kawasan King Cross. Di situ adalah tempat penginapan kami, tempat kami melepaskan penat, kesan daripada jet leg yang belum sirna.


*****

Akhirnya bas yang kami tunggu-tunggu kunjung tiba. Di dalam bas, setiap pengguna perlu memasukkan kad MyBus yang telah dibeli ke dalam satu mesin berwarna hijau. Kemudian, mesin itu akan mencetak masa dan tarikh perjalanan di belakang kad tersebut.

Aku dan Luqman masih belum biasa dengan sistem ini. Jadi, kami agak kelam-kabut. Di dalam bas itu, cuma ada kami dan seorang wanita tua, berbaju sejuk kelabu dan ada blouse ungu di dalamnya. Dia juga bercermin mata besar, gaya retro 60an, sambil warna putih memenuhi rambutnya. Bersama-sama dengan wanita tua itu ada satu beg besar berwarna hitam, kotak.

“Where’re you goin’ boys?” wanita tua menegur kami, mesra. Kedut-kedut tua di mukanya hilang apabila dia mula berbicara kepada kami.

“We want to go to King Cross, near Darlinghurst Road” kata Luqman, dengan sedikit gaya Malaysian English.

“Tetapi kamu sebenarnya dah tersalah ambil bas.”

Kami mula kehairanan. Tadi kami sudah mengkaji laluan bas, dan bertanya kepada salah seorang lelaki di bus stop bagi mendapatkan kepastian.

“Sekejap. Kamu tak tersalah jalan, tetapi saya yang tersalah ambil bas. Saya ingat ini bas 301, rupa-rupanya ini bas 311." Dia sedikit mengeluh dan terkilan.

"Tak apa, nanti bas ni akan belok ke kiri, dan dalam 100 meter bas ini akan ke kanan. Daripada simpang itu, cuba cari King Cross Station, dan berhenti di situ.”

Beliau cuba menerangkan jalan tersebut kepada kami. Aku lebih suka memanggilnya mak cik ramah. Ya, kalau kamu bersama-samaku ketika itu, pasti kamu akan terlihat cara beliau berinteraksi dengan kami dengan gaya yang begitu menyenangkan dan peramah, ditambah loghat Australian English yang agak pekat.

Di Taylor Square, makcik tersebut turun daripada bas dan dia berpesan sesuatu kepada pemandu bas,

“Sorry. These boys are goin’ to King Cross Station. Please drop them there, huh.”

Pemandu bas hanya mengangguk faham. Mak cik ramah berpaling kepada kami, tersenyum sambil berkata, “Have a lofly day, boys.”

Senyuman di mukaku terkoyak sama. Hingga ke pipi. Jasamu mak cik ramah tak akan aku lupa.

******

Di Sydney, pemandu bas tidak dipanggil sebagai bus driver, tetapi lebih dikenali sebagai transport officer (pegawai pemandu). Hebat bunyinya bukan?

Di sini, pemandu bas tidak boleh bercakap semasa memandu. Maka, mereka hanya boleh berkomunikasi ketika bas sedang berhenti. Manakan tidak, kamera litar tertutup (CCTV) terpasang 24 jam di atas kepala mereka bagi mengelakkan mereka daripada hilang fokus semasa memandu, atau kelewatan tiba di destinasi.

“Here you are, mate” sambil pemandu bas itu memalingkan mukanya memandang kami. Sebutan ‘mate’ nya agak berlainanan, seakan-akan kita mendengar sebutan ‘maid’.

Kami sudah sampai di King Cross. Turun daripada bas, kami terngaga luas.

Rupa-rupanya, tempat penginapan kami berdekatan tempat hiburan, atau bak kata pak ustaz: tempat maksiat! Bar dan pub berselang seli di antara kedai. ‘Hiburan dewasa’ juga turut mengambil tempat. Ianya sah dan berlesen. Kami turut dijemput masuk sama. Ya Tuhan, aku menepuk dahi.

Kami masih tercari-cari destinasi utama – tempat penginapan kami. Ia agak sukar dijumpai kerana cuma ada satu pintu masuk kecil, berwarna putih tanpa ada sebarang papan tanda yang jelas. Yang ada hanya nombor 66-A. Di dalamnya, kami disambut mesra wanita penjaga kaunter yang tertera Brando's Backpackers Hostel di dinding belakangnya. Wanita penjaga kaunter itu berambut blonde dan mukanya tak ubah seperti Gwyneth Paltrow, heroin filem Iron Man.

Kemudian kami diberikan kunci dorm dan penerangan ringkas. Sampai di dalam dorm, aku dapat melepaskan bebanan beg besar yang lama mencengkam kuat di bahu. Dan badanku terasa meringan secara tiba-tiba seperti kura-kura tercabut cengkerang. Lega!

No comments:

Post a Comment