Thursday 13 March 2014

Kesedaran



Jerebu yang memenuhi bumi HUKM menyebabkan aku terbatuk-batuk. Mata meradang merah dan tekak terasa panas. Di kala ini, penglihatanku hanya seperti orang yang sedang kelemasan dalam asap. Rupa-rupanya, indeks pencemaran udara mencanak naik ke paras 170. Sangat tidak sihat.

Minggu ini juga, kecoh dan heboh tentang berita kehilangan kapal terbang MH370 Kuala Lumpur – Beijing . Rakyat Malaysia menunjukkan belang, bertarung mengetap papan kekunci menjadi keyboard warrior. Pada aku, doa lebih penting daripada bising.

*****

Malam. Bulan seperti segan sipu untuk keluar menceritakan kisah gembiranya. Aku tercari-cari kelibat bulan, mengagumi kecantikan dan keputihan yang sering menghiasai dirinya. Namun bulan tak muncul tiba. Aku menunggu sang bulan sehingga kepanasan. Ditambah awan kumulonimbus yang tebal memenuhi strata langit menyebabkan haba panas terkumpul, sehingga mencetuskan fenomena pulau haba di Kuala Lumpur. Akhirnya aku akur. Setelah sekian lama menunggu bulan, aku putus asa.

Aku kemudiannya membatalkan temu janjiku dengan sang bulan dan keluar makan bersama dengan pendidik yang aku kagum dan teman-teman lainnya. Susuk tubuh pendidik ini 5’7”. Berdada bidang, kulit sawo matang.  Dia memang terkenal di seantero dunia, namun sayang bumi Malaysia tak cukup menghargai kepakarannya.

Kami berbual-bual. Gendang perbincangan mula dipalu. Tapi tiba-tiba topik kapal terbang MH370 terpacul keluar. Aku tak dapat pastikan siapa yang mula memukul perkara ini ke dalam diskusi.

“Cuba bayangkan, masa naik kapal terbang kita biasanya tidur kan? Tiba-tiba bila bangun, tengok-tengok duduk dalam kubur.”

Satu ayat yang keluar daripada mulut pendidikku.

Aku tergamam. 

Rasa takut. Mati.

*****

Mati adalah pintu yang menghubungkan antara hamba dan tuannya. Ketika inilah kita akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan di atas bumi.

Aku tahu kawan, kita terlupa yang kita akan mati. Kita leka dan terus terleka dengan nikmat. Seharusnya, nikmat itu kita hirup seadanya. Bukan sehingga mabuk dan terlupa jalan pulang ke syurga, rumah asal tok nenek pertama.

Mati adalah suatu makhluk Tuhan yang dicipta untuk memisahkan roh dari badan. Kamu faham kan kawan? Kerana di akhirat nanti, mati ini akan “disembelih” dan makhluk bernama mati ini sudah tiada. Jadi, ketika itu kepala boleh berkecai berulang-ulang-ulang-ulang tanpa ada kematian.

Ingin aku kongsikan kawan, tentang kematian. Panglima Perang Islam, Khalid al-Walid Sang Pedang Allah pernah berteriak lantang ketika berjumpa musuh:

“Kami cintakan kematian sepertimana kamu mencintai hidup!”

Ali bin Abu Talib yang dimuliakan Allah pun berbicara tentang kematian. Katanya:

"Manusia ini sebenarnya sedang tidur. Mereka cuma terjaga apabila telah mati".

Allahurabbi.

Begitu jauh aku dengan paradigma hidup sahabat Nabi ini. Ya Allah, cabutlah rasa cintaku pada dunia dan kembalikanlah rasa cintaku kepada akhirat. Jauhkan kami dari fitnah dunia dan rasa takut mati (al-Wahn).

Semoga kita sentiasa mendapat hidayah daripada Allah, Tuhan dan Tuan sekalian bangsa alam.


P/s: Sampai sekarang aku terfikir. Sebenarnya orang takut hantu, atau takut mati sebab kena cekik dengan hantu?

No comments:

Post a Comment