Monday 17 March 2014

Teguran Pensyarah



Sekarang aku di titik penghujung posting surgeri. Tinggal seminggu berbaki sebelum meninggalkan wad tingkat 5 hukm. Jangan ditanya apa yang aku dapat, sebab aku merasakan masa seperti sangat laju berlari meninggalkan aku. Aku merasakan Teori Relativiti yang diperkatakan Einstein tak menyokong jalur hidupku. Walaupun aku tak pernah ambil pusing segala formula fizik yang ditunjukkan teori ini, tetapi kefahaman aku tentang teori ini mudah. Satu jam tidur lebih sekejap berbanding satu jam membaca buku ilmu. Walhal keduanya kalau diukur akan membutuhkan 60 minit untuk melengkapkan satu pusingan jam. 

*****

Satu makhluk Tuhan masuk ke dalam bilik seminar dalam keadaan tangannya memegang cawan putih yang mengeluarkan aroma haruman kopi pekat. Mungkin sudah tercatat di Luh Mahfuz, makhluk Tuhan ini akan menjadi pensyarah yang akan mengajar kami pagi ini.

Aku ternampak kad matrik di dadanya tertera nama Dr Mustafa. Bermuka tipikal Arab - kulitnya putih, hidungnya mancung, berbulu di muka dan tinggi sedang-sedang. Usai masuk, kelas bermula. Topik perbincangan kami pagi ini: acute abdominal pain. Gelanggang di buka. Satu persatu pelajar dijemput masuk perbincangan, dan semuanya hanya mampu duduk sepi. Takut dengan Dr Mustafa yang bersuara kuat itu.

Jangan kamu salah faham. Aku tak mengatakan Dr Mustafa ini garang. Jangan dibayangkan begitu. Dia ini sebenarnya sangat mesra, dan kadang-kadang mungkin terlampau mesra. Namun mungkin cara gurau arabnya agak berbeza dengan norma masyarakat melayu yang lebih konservatif dalam berkomunikasi.

Kelas diteruskan, tapi kurang mendapat respons yang baik.

Akhirnya, terkeluar mutiara-mutiara hikmah dari mulutnya. Dia  keluar dari tajuk dan mula menjadi motivator, atau boleh aku katakan orator. Kami seramai 55 kepala ditegur.

"The quality of young doctors nowadays is very bad. You must differentiate what is the different between polite and shy. I know you Malaysian are very shy, but for the sake of study this attitude can't be continued." Ayat muqaddimah, sebelum beliau mula berkhutbah.

"You know, we lecturer are happy to answer if you're happy to ask. Trust your brain and be confidence.  There are no difference in our brain, except that I analyze what I read while you young doctors don't. Then, try to understand your reading, don't just read from your book blindly. You know, you will become a good doctor if you can answer the question of 'why'. At the same time, we lecturers will train you how to become a safe doctor for the future."

Safe doctor huh? Satu terma baru yang mula melekat di otak depanku, yang berfungsi untuk menyimpan memori. Untuk masa sekarang, aku mulai faham. Sebagai pelajar perubatan klinikal, itu sepatutnya menjadi target kami. 

Pada hari graduasi nanti, kami akan dianugerahi satu lesen yang besar - lesen untuk membunuh. Kamu faham bukan? Lesen ini datang dengan tanggungjawab yang besar dan tidak boleh dipakai sesuka hati. Oleh itu, aku tak seharusnya mengambil mudah tentang semua ini.

Sebelum aku menyambung perjalanan hidupku untuk menjadi mekanik manusia yang membaiki tubuh badan, aku harus pastikan yang aku sudah dipateri dengan cop SAFE DOCTOR UKM. Semoga dengan menjadi safe doctor, aku bukan hanya dapat menyelamatkan nyawa manusia yang kesakitan, bahkan dapat menyelamatkan jiwa-jiwa manusia yang mula kehilangan Tuhan.

No comments:

Post a Comment