Friday 30 May 2014

Ingat Hingga Akhir Hayat




Kembali ke rumah sangat meyenangkan. Cuti pertengahan antara posting dapat melegakan hati aku daripada kebisingan kota Kuala Lumpur yang menyesakkan. Rumahku di kampung saiznya sedang-sedang. Namun pemandangannya yang hijau mampu meruntun jiwa orang kota yang hanya mampu melihat bangunan konkrit dan jalan bertar.

Makan malam. Seperti biasa, aku akan lepak-lepak dengan emak di dapur, mendengar emak bercerita pelbagai pengalaman sebagai seorang cikgu sekolah menengah. Emak mengajar subjek biologi dan sains 22 tahun lamanya. Sudah faham perangai budak-budak sekolah yang bermacam ragam. Emak bercerita seperti seorang tukang cerita terkenal. Ada gaya yang tersendiri. Ketika bercerita, mimik muka serius dimainkan, kadang-kadang sedih dan kami ketawa bersama-sama. Tangannya bergerak bagi menunjukkan ketegasan ekspresi.

Emak mula mengajar di sebuah sekolah di daerah pedalaman di Terengganu. Kawasannya dikelilingi kelapa sawit. Jarak ke bandar terdekat berjarak 40 km. Capaian untuk buku sangat susah dan internet ketika itu masih belum tersebar luas. Jadi, pelajar hanya mampu berharap atas usaha guru untuk membuat kelas tambahan dan komitmen guru untuk mengajar.

Tapi emak sangat seronok dan berdedikasi dalam mengajar anak muridnya. Mengajar adalah minat dan keghairahannya. Aku masih ingat, setiap kali hari guru, emak akan dapat hadiah setinggi bukit. Sungguh, aku tak menipu. Berkotak-kotak bungkusan hadiah memenuhi meja. Berjambak bunga pelbagai warna memenuhi ruang. Aku yang melihat ketika itu kehairanan. Apa sebenarnya rahsia emak sehingga menjadi guru popular di sekolah.

Bila usia sudah memasuki usia alam awal dewasa, aku baru mula mendapat jawapan. Kata kuncinya adalah "keikhlasan". Emak memberitahu aku bahawa kita buat kerja bukan untuk mendapat balasan manusia, tetapi untuk mendapat balasan Tuhan. Sebab kalau kita buat kerja kerana manusia, kalau tak mendapat penghargaan kita akan sedih. Tetapi kalau kita buat kerja untuk Tuhan, Allah akan kurniakan satu karekter dalam diri kita iaitu integriti. Integriti adalah satu karekter yang kita buat kerja secara jujur dan amanah tanpa peduli apa kata orang. Aku rasa perkataan ni sama macam apa yang Nabi ucap dulu:

“Hendaklah menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu.”
*****

Aku teringat emak pernah bercerita tentang seorang anak muridnya yang nakal amat. Boleh dikatakan semua benda telah dicuba. Meludah depan cikgu, merokok, buli, ponteng dan bermacam perkara lain. Suatu hari emak panggil pelajar nakal tu ke bilik guru.

“Haikal nah ambil ni. Cikgu hadiahkan untuk awak”, sambil tangan emak menghulurkan sejadah kepada anak muridnya.

Haiqal terkebil-kebil. Seperti tak percaya.

“Kenapa cikgu bagi saya sejadah ni? Padahal saya selalu buat jahat dekat cikgu.”

“Cikgu bagi hadiah ni sebab cikgu nak awak t
ahu walaupun semua orang kata awak nakal, tapi cikgu yakin yang suatu hari nanti awak akan jadi pelajar cemerlang.”

Semasa hari guru, Haiqal ini berjumpa dengan emak. Dia memberikan emak bunga yang dipetik di sekeliling sekolah sampai habis rosak pokok-pokok di sekolah. Emak tersenyum. Faham erti keikhlasan anak muridnya walaupun nakal.

Kemudian apa yang emak katakan benar. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, dia menjadi salah seorang pelajar yang cemerlang di sekolah. Emak adalah orang pertama yang dijumpa. Aku tahu emak pasti tersenyum bangga.

*****


Emak pernah jatuh sakit. Teruk. Sehingga tak mampu untuk bangun. Apabila anak-anak muridnya tahu yang emak sakit, setiap malam mereka buat solat hajat khusus untuk emak. Apabila terdengar cerita ini, aku terharu. Adakah aku akan mampu mencapai tahap emak yang sangat kuat berbakti sehingga orang rasa berbudi.

Emak bukan hanya mengajar mereka ilmu subjek sekolah, emak juga selalu berada untuk memahami dan mendengar masalah pelajarnya. Sepanjang hidup aku hingga hari ini, jarang aku lihat emak akan balik rumah  sebelum pukul tiga, walhal sekolah tamat pukul satu. Kadang-kadang malamnya disambung dengan kelas tambahan dan kami adik-beradik akan di bawa sama.

Emak aku ada berpesan kepada aku, “Ada dua pekerjaan dekat dunia ini yang orang akan ingat sampai ke mati. Pertama cikgu dan kedua doktor.”

Aku seperti merasai benarnya apa yang dikatakan emak. Dua pekerjaan ini pekerjaan yang bermakna. Tapi sayangnya sekarang ia mula dicemari dengan unsur-unsur materialistik yang melampau. Tuisyen yang sangat mahal. Ubat dan rawatan yang merapu meraban. Pendidikan dan kesihatan aku rasakan hanya untuk orang kaya. Siapa yang berduit, mereka yang diutamakan. Yang tidak, disisihkan.

Jadi, aku berazam untuk cuba menjauhi hospital-hospital swasta yang sangat rakus dalam menekan pesakit untuk melakukan prosedur yang mengarut, kemudian mengenakan bil yang sangat tinggi. Emak juga berpesan, duit tak boleh membeli kegembiraan. Jangan anggap kaya itu tenang dan bahagia. Bahagia itu adalah dapat buat apa yang kita suka.

Emak akan terus berbakti mendidik anak pertiwi. Menyemai budi dalam mozek-mozek kehidupan. Budi-budi itu akan bercambah menjadi satu kenangan yang indah.

2 comments:

  1. moga diteruskan mewarnai kanvas blog ini akhh.

    sebak.

    ReplyDelete
  2. eh. sy tau blogger ni. ok. i wont be a silent reader. haha

    ReplyDelete