Tuesday, 10 March 2020

Mencari Pasangan Hidup (Bahagian 1)

Langit yang biru, hari yang cerah. Bunyi burung-burung bersiul gembira menandakan hari baru bermula. Cahaya matahari juga menyapa lembut ke kulit. Udara dingin pagi begitu menyegarkan ruang dada, sungguh menenangkan.

Berbeza sungguh suasana di sini berbanding di kota. Halaman desa ini sangat melapangkan jiwa, jauh daripada teriakan hon dan debu-debu kotor yang memenuhi udara. Desa ini walaupun sukar untuk sampai, tetapi indah nian dan damai.

Kelihatan sepasang merpati dua sejoli bercanda di ruang beranda rumah kampung. Lagaknya seperti pengantin baru, namun usianya sudah meniti senja. Cakap-cakapnya hanya berbual kosong, tiada yang serius. Tetapi aku dapat rasakan yang mereka mempunyai chemistry yang kuat ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. 

Mereka berdua adalah paktok dan maktok, dua manusia yang telah menjaga aku sejak aku kecil. Ah, tak usah aku ceritakan kemana pergi ayah dan ibuku, kerana itu hanya akan membuatkan otakku memutarkan kembali kepahitan yang susah aku telan. Paktok dan maktok lah yang menjagaku sejak aku berusia lima tahun, tepat setelah peristiwa itu berlaku. 

Cuti semester yang sekejap ini membuatkan aku pulang ke desa. Dalam perkiraan aku merancang untuk menginap selama tiga hari dua malam. Ada hal besar yang ingin aku bicarakan berkenaan hidup bersama-sama paktok. Orang tua separuh abad ini walaupun sepanjang hayatnya hanya tinggal di kampung, namun falsafah hidupnya sangat mendalam. 

"Paktok, Akim nak tanya sikit boleh?", aku mula membuka bicara sambil paktok memerhatikan gelasnya dituangkan air kopi hitam pekat oleh maktok.

Sambil memerhatikan aku sepenuh perhatian, paktok membalas lembut
"Ya, kenapa Akim? Nampak macam ada hal yang penting bila kamu buat muka begitu."

"Muka macam mana pulak ni?", aku berfikir. Mungkin aku kelihatan agak kaget dan kekok ketika ini. Sambil peluh membasahi dahi.

"Kamu nak bincang pasal kahwin ke?"

Tepat. Tekaan atuk mengena, seperti seorang sniper menembak tepat sasaran.

"Paktok kenal sangat kamu. Sekilas ikan di air, paktok dah tahu jantan betinanya".

"Macam ni paktok. Akim ada minat seorang perempuan satu kuliah. Orangnya cantik, bertudung litup. Gayanya macam perempuan melayu terakhir, lembut dan sejuk mata memandang. Cuma satu yang Akim tak berkenan, dia ni agak keras kepala. Suka cari gaduh. Cuma rasa pendapat dia adalah yang terbaik. Dia pun sebenarnya suka bergosip. Jadi Akim nak tanya.."

Tanpa sempat aku menghabiskan ayat, paktok terus memotong laju,

"Tinggalkan dia"

Tergamam.

Sebelum ini aku dah terbayang bahawa gadis ini bakal menjadi ibu kepada anak-anakku. Kami bersama-sama bermain di taman ketika waktu petang. Namun kaca angan-anganku dipecahkan begitu sahaja oleh paktok. Aku tak mampu menerima hakikat, apa alasan disebalik semua ini?

"Kamu kena tahu Akim, mencari isteri bukanlah mudah. Kamu membesar selama lebih kurang 15 tahun dengan paktok dan maktok. Tapi baki umur kamu akan hidup bersama-sama dengan pasangan. Jikalau baik pasangan kamu, maka bahagialah seluruh hidup kamu. Jikalau tidak, maka ia akan menjadi ujian berat untuk diri kamu."

Sambil menghirup kopi, paktok menyambung,

"Perempuan itu ibarat pakaian bagi lelaki. Menghangatkan ketika sejuk, meneduhkan ketika panas. Dalam mencari pasangan isteri, paktok rasa seorang isteri harus mempunyai rasa hormat kepada suaminya. Rasa hormat ini bukan terbina sendiri Akim, dia adalah pembentukan karakter sejak kecil. Sebelum mampu menghormati orang lain, dia seharusnya perlu hormat akan dirinya sendiri."

"Tapi paktok, Akim rasa dia secocok dengan Akim. Kawan-kawan satu kuliah ada juga usik Akim dengan dia, dan Akim dapat rasakan Akim tak bertepuk sebelah tangan", aku mula tak bersetuju dengan pendapat paktok. Masakan tidak, ketika ini setiap pembuluh darahku membawakan rasa kasihku pada dia. 

"Akim.." 

Paktok menarik nafas dalam. Dilihatnya maktok disebelah. Masih setia bersama paktok tanpa mencelah perbicaraan kami.

"Kalau kamu tengok, kami suami isteri tak pernah bergaduh. Kamu tahu kenapa, sebab maktok hormat dekat paktok. Hormat itu membuahkan kesetiaan. Maktok tak pernah persoalkan kalau paktok terpaksa tinggal maktok selama berminggu untuk paktok cari hasil hutan." Paktok mula menjalin kata.

"Paktok bukanlah orang bijak pandai yang belajar tinggi seperti orang bandar. Tetapi untuk hal ini, paktok dah lama makan garam. Daripada kesetiaan itulah aib pasangan terjaga. Kamu tidak akan diburukkan di depan khalayak, bahkan cuma kebaikan sahaja diceritakan walaupun hakikatnya kamu itu manusia yang penuh cela."

Maktok senyum tersipu malu. Tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan kekasih hidupnya. Paktok membalas semula senyuman maktok sambil mengenyit mata kirinya, nakal seperti zaman muda!

"Kamu mungkin pernah berjumpa macam-macam tips yang boleh dibaca. Tapi paktok berpendapat, rasa hormat ini penting bagi seorang lelaki. Rasa ini yang membuatkan lelaki dihargai oleh pasangan. Rasa hormat ini yang membuatkan lelaki adalah ketua keluarga. Perasaan ini membuatkan lelaki menjaga keluarganya sebagaimana singa menjaga kawasannya daripada diceroboh singa lain." 

"Bukanlah paktok ni anti-femism (paktok salah sebut sebab sebenarnya adalah perkataan feminism), ala yang kamu orang bandar asyik duduk bising. Tapi inilah hakikatnya yang dah lama terjadi daripada zaman batu dulu lagi."

Aku mula membuka hati untuk mendengar pendapat yang dilontarkan paktok. Ideanya sangat simple dan mudah difahami. Kemungkinan aku sudah dikaburi oleh hormon cinta oksitosin dan dopamin yang meresapi seluruh tubuhku. Aku susah sebenarnya untuk melihat kekurangan gadis yang aku minati itu. Orang kata kentut pun boleh berbau wangi.

Kopi didalam gelas semakin surut dan hanya kelihatan sedikit baki. Mata paktok seolah-olah bercakap dengan maktok dan segera difahami maktok supaya mengangkat gelasnya ke dapur.

"Paktok cuma nak kamu tahu, mata lelaki suka kepada kecantikan sedangkan kecantikan itu menipu. Kamu rasa kenapa perempuan bermake-up? Sebab kecantikan dapat menambat hati lelaki. Bagi paktok yang dah hidup dengan maktok lebih 40 tahun ni, cantik akan datang kedalam hati kita kalau isteri hormatkan kita. Sebab tu kalau kamu perasan kami masih bergurau seperti budak-budak. Sebab bagi paktok, maktok kamu sangat cantik walaupun kulitnya sudah berkedut. Tapi, disitulah kecantikan perempuan. Pada hatinya, pada rasa hormatnya dia kepada kita. Jadi, carilah perempuan yang hormatkan kita sebagai lelaki, sebagai suami."

Sedar tak sedar, jam di dinding sudah pukul 9 pagi. Aku rasa untuk ini, aku seperti bersetuju dengan pendapat paktok.

Paktok mula bangun dan turun daripada tangga beranda. Kemudian dihidupkannya enjin motor vespa lama kesayangannya, perlahan-lahan meninggalkan aku. Aku? Masih terapung-apung dengan fikiran aku. Teruskan atau putuskan perasaan yang lama disimpan.

Monday, 9 March 2020

Berjalan Semula


Sekarang adalah tahun terakhir aku berumur 20-an, sebelum aku menginjak ke usia 30 tahun. Kalau kau perasan dalam blog ini, aku campurkan semua hasil penulisan aku dalam 5 blog yang berbeza. Ya lah, jiwa muda hanya mahukan perfection. Semangat yang membara cuma datang sekejap-sekejap seperti asap mendap.

Jadi aku kembali untuk menulis semula. Kerana menulis ini memanjangkan usia. Maksudnya tulisan yang aku coretkan pada ketika ini akan boleh dibaca semula untuk tatapan aku dan orang lain pada masa hadapan.

Setiap aksara aku gabungkan membentuk perkataan. Perkataan itu aku cantumkan membentuk ayat-ayat. Dengan ayat-ayat itu aku mula cambahkan benih idea untuk disampaikan kepada ramai.

Tulisan ini juga boleh mengingatkan semula diri aku tentang nasihat yang aku berikan, suatu ketika nanti.

Baki Umur

Umur aku mungkin berbaki sekitar 30-40 tahun lagi, jadi aku tak pasti apa sumbangan yang aku boleh beri. Aku berharap dapat meninggalkan legasi yang baik dan fullfill tujuan aku hidup.

Setelah aku reset semula matlamat hidup aku, aku jumpa the ultimate goal hidup aku:
Mati dalam keadaan yang baik (Husnul Khatimah)
Mati dalam keadaan yang baik bukanlah semudah cakap-cakap di mulut sahaja. Bukan juga menanam tebu di tepi bibir belaka. Husnul khatimah yang aku impikan supaya kelak nanti aku dapat bertemu dengan Tuhan pencipta diri aku dalam keadaan terbaik.

Aku impikan lautan manusia hadir ketika aku meninggal nanti. Aku tahu aku tak akan dapat lihat semua manusia yang datang pada masa itu. Tapi aku puas sebab dah berjaya "menjemput ramai tetamu sepanjang hidup aku" untuk ke majlis pengebumian.

Kau rasa, orang-orang biasa ke yang akan dapat Husnul Khatimah ni? Cuba kau sebutkan nama-nama ahli syurga, semuanya jenis yang extra-ordinary dan luar biasa hebatnya.

Aku impikan sebelum aku bertemu Rabb-ku, aku dapat tinggalkan footprint dan legacy yang terbaik di dunia ini.

Aku dah set dan lock matlamat hidup aku. Kau yang membaca ni dah ada matlamat hidup? Ke cuma follow the flow? Kalau macam tu kau boleh hanyut sama-sama atau hidup kau cuma akan mengikut acuan matlamat orang lain.


K. Aliff
HPUPM
10.03.2020

Tuesday, 7 July 2015

Politik-King



Kalau kau tak minat politik tak apa, sebab politik sentiasa minat dengan kau. Dalam hidup, semua benda adalah politik. Kau sebenarnya berpolitik dngan diri sendiri untuk tentukan kau itu macam mana. Kau yang mentadbir diri sendiri. Sebab itu Nabi beritahu yang setiap manusia adalah pemimpin. Macam mana kau nak memimpin kalau kau tak tahu makna politik?

Aku sebut politik, dan orang muda akan kata, "Politik itu Kotor". Tapi kau kena tahu, politik tu adalah usaha satu pihak secara bersama untuk capai satu tujuan. Kalau perkataan arabnya, politik diterjemahkan kepada siasah atau kata asalnya daripada perkataan “Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai ( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah). Politik ini tujuan asalnya adalah untuk membentuk masyarakat yang terang dan aman daripada kacau-bilau. Mengawas manusia daripada melepasi sempadan yang ditetapkan.

Bila aku sebut politik, kau cuma boleh bayang Pro-Mahasiswa dan Aspirasi, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Democrat dan Republican. Itu sahaja. Sedangkan skop politik itu lebih besar. Aristotle pun ada cakap yang politic science is master for all sciences. Sebab? Politiklah yang ada decision-making power untuk tentukan ilmu apa yang masyarakat perlu dan ilmu apa yang utama. Sebagai contoh, era kepimpinan Tun Mahathir, beliau meletakkan Sains dan Matematik di tempat yang lebih kedepan berbanding ilmu lain. Budak lepasan SRP/PMR/PT3 yang cemerlang akan dinasihatkan supaya meneruskan pelajaran dalam kelas-kelas Sains Tulen. Apakah keparat ini? Kau tahu, bright student tak sepatutnya dipaksa ke kelas Sains sebab dia mendapat keputusan yang cemerlang. Tapi atas desakan keluarga, nasihat cikgu dan pandangan masyarakat, maka anak pintar ini terpaksa juga berada di kelas itu. Jadi kau nak salahkan siapa? Sedangkan kita perlu manusia pintar untuk mendalami bidang agama agar tak jadi macam sekarang. Kita juga perlukan manusia pintar untuk mengembangkan bakat dalam art.

Tapi itulah politik. Policy maker have power to decide. Tapi dalam sistem demokrasi, kita adalah tuan kepada policy maker. Cuma kita kena cerdik sikit. Kena selalu update isu semasa, tahu apa yang terjadi dalam negara, review sikit bajet negara. Tak susah mana. Tapi ingat, ada beza sembang kopi dengan pemerhatian teliti. Kalau setakat sembang kopi, fitnah sana-sini, aku tak rasa itu yang kita persetujukan kat sini.

Aku impikan satu benda. Aku harap politik di Malaysia bukan lagi berdasarkan politik perkauman. Aku dah rasa muak dan bosan. Hak istimewa rakyat bumiputera dah termaktub dalam perlembagaan dan kau perlukan banyak "kunci" untuk membukanya. Jadi, kenapa rasa takut sangat? Atau kita memang dah dimomokkan yang DAP ni Cina dan mereka ni jahat sebab warisan PAP Lee Kuan Yeuw? Atau Pas ni parti extremist yang lebih kurang Taliban di Afghanistan? Haha. Kelakar. 

Dalam politik zaman moden, satu benda yang sangat dititikberatkan. Apa dia? Persepsi.

Siapa yang berjaya menang persepsi rakyat, mereka akan menang. Tengok macam mana Pak Lah menang bergaya PRU 2004 apabila rakyat diberi persepsi yang dia adalah orang yang "bersih", nak-nak ayat dia, "Bekerjalah bersama saya, bukan untuk saya" dengan ayat "Cemerlang, Gemilang, Temberang Terbilang". Pergh, mahu tak respek orang dengar. Kau tengok juga macam mana persepsi masyarakat berubah apabila Pak Lah dikatakan memberikan muka kepada menantunya KJ tall, dark and handsome dan orang jatuhkan imej Pak Lah dengan kata dia kaki tidur. Itu tak termasuk campurtangan Dr M. Akhirnya tahun 2008, terus letak jawatan (walaupun Najib lagi teruk daripada dia).

Aku sangat kesal bilamana rasa politik di IPTA dicabut dan disentap dengan penggantian Student Union kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Kerajaan juga memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mengekang pelajar daripada terlibat aktif dalam politik untuk menjaga kantung emas mereka. Apabila mahasiswa dipisahkan dengan politik, secara tak langsung mereka berpisah dengan masyarakat. Tak dinafikan, operasi khidmat masyarakat masih ada. Tapi ia cuma ada pada tahap volunteerism. Bukan mengubah policy dan menggugat sang penguasa raksasa.

Tapi syukur. Kes UKM4 pada tahun 2011 memberikan sedikit ruang kepada mahasiswa untuk bergiat sama. Mereka berempat telah mencabar constitulity peraturan AUKU di Mahkamah Tinggi kerana melanggar kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Akhirnya, kerajaan terpaksa membuang Seksyen 15 dalam AUKU kerana melanggar prinsip perlembagaan.

Kalau kau masih rasa politik ini layak dibakulsampahkan, baik kau bersedia sebelum kau akan bau busuknya.

Monday, 22 June 2015

Mujahid Agung Fadzil Noor




Ketika aku menulis ini, hatiku terhiris pilu seperti merindukan sosok-sosok tubuh yang aku tak pernah berjumpa, tapi kenal melalui nama. 

Khulafa' ar-Rasyidun ada Umar al-Khattab sebagai reformis dan rasionalis. Ijtihad Umar menjadi rujukan dalam membuat percaturan. Bani Ummayah ada Umar Abdul Aziz, yang mana serigala dan haiwan buruan dapat hidup aman. Empayar Agung Abbasiyyah munculnya Harun ar-Rasyid, sang pencinta ilmu pengetahuan. Daripada rahim kerajaan seljuk yang membentuk Dinasti Uthmaniah, lahirnya putera nakal yang akhirnya menakluk kota kebal Constantinople. Kerajaan kecil Mesir Fatimiyyah yang mencatatkan seorang raja yang tidak duduk di singgahsana tetapi berada di kem tentera untuk perjuangan jihad -Salahuddin al-Ayyubi namanya.

Apa yang ku pasti, dalam Parti Islam Se-Malaysia juga terukir satu sejarah yang mencatatkan seorang mujahid agung dilahirkan agung untuk memikul amanah mengepalai gerakan Islam di Malaysia - Ustaz Fadzil Noor.

Ku belek semula nama ini dalam sirah perjuangannya. Boleh aku katakan dia ini the true playmaker, the unsung hero and the genius politician. Pandangan dan ijtihadnya melepasi zaman. Peel dan fikiran orang Pas (melayu) berada dalam genggaman.

Kelemahannya usah dikira. Semua ahli Pas tahu, dia seorang pelambat bahkan lebih lambat daripada isterinya dalam bersiap sehinggakan Tok Guru Nik Aziz pernah meminta Subky Latif untuk menegurnya, tapi tidak ada siapa yang mampu mengubahnya. Sehinggakan kapal terbang terakhir untuk haji juga beliau telat, pekerja MAS melihatnya dan berkata, "Macam ni baru betul pemimpin. Dia buat tak tahu saja. Semua orang tunggu dia." Semua tahu tabiat lambatnya. Kelemahan ini bukanlah mengaibkan kerana rahsia ini diketahui umum. Malah sesiapa sahaja akan tertawa mendengarkan cerita kelewatannya. Walaupun kadang-kadang ada yang marah, tapi merka tidak mempedulikan kelemahan yang satu itu, bahkan rasa kasih kepadanya tidak berkurang.

Pakatan Rakyat adalah natijah daripada idea beliau yang menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) seterusnya pemuafakatan parti pembangkang Malaysia dalam menubuhkan Barisan Alternatif yang mana Ustaz Fadzil Noor adalah arkiteknya. Cuba kau bayangkan, macam mana dua kutub yang sama sifatnya dapat bercantum? Satu ultra-Islamis, satu lagi dimomokkan dengan parti kaum Cina yang mengamalkan Malaysian Malaysia. Ustaz Fadzil sangat pakar dalam menarik rambut dalam tepung. Beliau tahu sensitifnya masyarakat Melayu (terutamanya Pas) dalam mendepani DAP. Akhirnya pada pilihanraya 1999, Allah telah mengangkat seorang ulama ke dalam Dewan Parlimen untuk mewakili rakyat sebagai ketua pembangkang. Takdir Allah juga menentukan pada pilihanraya itu, ketua pembangkang sebelumnya, Lim Kit Siang kalah bertanding di tempatnya. Maka, Ustaz Fadzil Noor dengan rasa amanah menggalas tanggungjawab itu selama 2 tahun 7 bulan. Berkat hasil idea beliau juga, Konsep Negara Berkebajikan dalam Pas dibawakan ketengah medan masyarakat membuka mata ramai pihak. Tapi sayangnya, aku nampak pimpinan sekarang seolah-olah lupa dengannya dan terus bercakaran sesama sendiri. 

Kau tahu, berapa banyak agaknya aliran fikrah yang terdapat dalam Pas? Tapi boleh tak kau bayangkan macam mana Ustaz Fadzil Noor mencantumkan puzzle fikiran ini sehingga menjadi satu hasil yang menakjubkan, seperti batu tersusun kukuh.

Lewat tahun 80an, idea Kepimpinan Ulama dilontarkan oleh Dewan Pemuda Pas, yang mana secara tepatnya datang daripada Haji Mustafa Ali, Mutalib Embong dan Subky Abdul Latif. Beliau diam. Nak kata sokong pun tidak, nak kata tolak pun tidak. Tapi strategi beliau menjadi. Ketika mana idea itu dibawa ke dalam kelompok masyarakat Islam yang mana mendapat tempias daripada Revolusi Iran, apa agaknya rasa hati ahli Pas yang mendiami kelompok Profesional? Adakah mereka berkecil hati (seperti yang berlaku sekarang)? Tidak! Bahkan beliau berjaya mengintegrasikan ulama dan profesional sehinggakan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Tidak tergambar sedikit pun keresahan antara ahli tentang hal ini, bahkan mereka bersatu setuju. Aku merasakan keajaiban seorang tokoh dalam mengikat hati masyarakat waima berbeza pendapat. Ingin kutambahkan rencahnya, bahawa pendaftaran keahlian yang datang daripada golongan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan profesyen lain berduyun-duyun mendaftarkan diri ke dalam Pas. Pas bukan lagi parti kampungan, bahkan menjadi sumber rujukan.

Kalaulah kamu bisa tahu, apa bukti Ustaz Fadzil Noor merasakan Pas bersedia memerintah Malaysia yang berbilang kaum ini? Beliau mengeluarkan arahan agar ibu pejabat pas yang banyak bergiat di Taman Melewar, Gombak bermajoriti Melayu dibawa ke tengah ibu kota Jalan Raja Laut Kuala Lumpur supaya Pas belajar untuk duduk bersama-sama masyarakat majmuk. 

Aku suka juga mendapatkan cerita bagaimana beliau menangani isu "Hak Istimewa Orang Melayu". Ketika ramai pihak terkejut dengan isu tiada hak istimewa dalam Islam, Ustaz Fadzil Noor dengan yakin dan kukuh bertanya, "Adakah tak ada hak istimewa dalam Islam? Adakah sudah dikaji betul-betul? Kita kaji betul-betul dulu."

Beliau membawakan sirah ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, dakwah tersebar luas sehingga ke Parsi. Orang Arab yang ke Parsi pada ketika itu adalah golangan kaya dan berharta di mana mereka banyak membeli tanah-tanah orang Parsi yang miskin. Jadi, pada pandangan Saidina Umar, orang Parsi perlu dilindungi, jadi Saidina Umar membuat peraturan larangan membeli tanah orang Parsi. Tujuannya adalah untuk melindungi orang Parsi. Itulah hak istimewa orang Parsi!

Aku merasakan hujahnya logik, mantiknya sentap dan kata-katanya menyengat. 

Ketika Anwar Ibrahim difitnah dengan tuduhan liwat, beliau dengan segeranya menemui Anwar tanpa diketahui sesiapa pun hatta isterinya. Beliau mahukan penjelasan daripada mulut Anwar sendiri. Aku sekali lagi tak dapat membayangkan apa respons orang-orang Pas ketika itu. Kau lihat sahaja isu Unity Government, sampai sekarang pahat masih berbunyi. Tapi tidak untuk Ustaz Fadzil Noor. Ahli tunduk dan akur dengannya. Mereka mempunyai rasa hormat yang tinggi kepadanya.

Tarikh 23 Jun 2002, beliau pergi meninggalkan manusia yang masih memerlukan kalibernya dalam mentadbir hidup masyarakat yang masih carca-merba. Pemergiannya bukan sahaja ditangisi penduduk langit, bahkan 300,000 lautan manusia membanjiri segenap ruang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau. Seperti padamnya cahaya pelita, bumi terasa gelap. Dan aku masih menunggu Fadzil Noor yang seterusnya untuk menerangi semula bumi yang kian kelam. Walaupun aku tak pernah berjumpa dengan beliau, tapi aku rasa rindu dengan kredibilitinya sebagai penyatu ummat. 

Sunday, 14 June 2015

Mengubah Tabiat Dalam Ramadhan




Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan. Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).

Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan sebagai neuroplasticity. Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia, ia sering dikaitkan dengan neuroplasticityBasal ganglia sebenarnya bertindak sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya  melibatkan aktiviti rutin, tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia, kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita. 

Hadiah Tuhan kepada Kita

Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.

Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.

Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?

Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah, maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.

Eidulfitri Hari Graduasi

Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk. Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)

Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.

Pindah



Aku dah pindah rumah lain. Jemput datang. Ni alamat baru:

http://atifect.blogspot.com/

Saturday, 13 June 2015

Jatuh dan Bangun Semula


Berada dalam dunia maya membuatkan kau terapung-apung leka sehingga menghabiskan masa dan usia. Sebenarnya kau itu lemas! Otak kau dihujani beribu-beribu info tanpa tapisan kewarasan, yang ada hanyalah emosi yang membakar diri daripada keyboard warrior. Sesak dan cengkam membungkam jiwa sehingga kau rasa dada mendesak ketat. Cuba kau bandingkan dirimu dengan pak cik lewat usia senja yang kelihatan lebih tenang ke masjid tanpa mempedulikan hal dunia. Bandingkan dengan dirimu yang kusut, tak terurus dan seolah-olah mengetahui semua maklumat. Tapi kamu itu kosong. Umpama rumah tak berpenghuni. Fizikal wujud, rohnya kelaut.

Aku? Turut larut sama dalam apungan yang menyebabkan diriku lemas. Masakan tidak, hidup seperti lembu yang terikat tali. Yang membezakan cuma aku terikat dengan wayar charger gadget. Tapi masih terikat dan tertambat seperti lembu itu.

Ini adalah pecubaan kali keempat dalam membangunkan idea aku melalui wadah blog. Yang pertama, aku lupa passwordnya. Yang kedua, rasa namanya buruk benar. Isinya kontang, updatenya kurang. yang ketiga aku dah rasa jauh hati. Maka, aku berharap yang keempat ini menjadi. Berbunga seri kembang pagi. Orang Jepun kata, "Jatuh tujuh kali, bangunnya lapan."

"Atifect" adalah satu pinjaman kata perkataan inggeris "artifact" yang bermaksud tinggalan lama. Cuma aku bezakan sedikit ejaannya supaya perkataan "atif" terletak molek di situ. Aku banyak berdiskusi idea dengan mereka yang aku rasakan punyai kebebasan berfikir, tidak tersorok dibawah tempurung, tidak terkurung di dalam kotak. Lagi seronok ideaku dicabar, supaya ia menghasilkan idea yang lebih mapan. Orang berjiwa kecil mengata, orang berjiwa biasa berbicara peristiwa, orang berjiwa besar berbincang idea. Idea-idea ini aku tak mahu ia terlepas ke udara dan hilang dalam zarah-zarah halus, jadi aku tuliskan supaya ia membeku di dalam alam yang dapat menjadikan aku "kekal". Aku seperti masih hidup walaupun jasadku di dalam perut bumi.

Aku merasakan tulisan itu adalah lukisan kata-kata. Dan kadang-kala, cuma kertas yang mendengarkan aku. Ianya indah dan puitis. Setiap aksara kususun menjadikan satu perkataan. Perkataan itu kucantumkan agar menjadi satu prosa ayat dan akhirnya ayat itu kuhimpunkan membentuk pemikiran. Pemikiran inilah yang menggerakkan tubuh dan menggembleng kudrat untuk beramal. Pohon tanpa buah apalah guna, sama seperti ilmu-idea tanpa amal. Sia-sia.

Semoga kali ini aku berjaya. Doa-doakan. Aku tak perlu tembakan doa, aku hanya perlu doa yang ikhlas daripada kamu.