Berada dalam dunia maya membuatkan kau terapung-apung leka sehingga menghabiskan masa dan usia. Sebenarnya kau itu lemas! Otak kau dihujani beribu-beribu info tanpa tapisan kewarasan, yang ada hanyalah emosi yang membakar diri daripada keyboard warrior. Sesak dan cengkam membungkam jiwa sehingga kau rasa dada mendesak ketat. Cuba kau bandingkan dirimu dengan pak cik lewat usia senja yang kelihatan lebih tenang ke masjid tanpa mempedulikan hal dunia. Bandingkan dengan dirimu yang kusut, tak terurus dan seolah-olah mengetahui semua maklumat. Tapi kamu itu kosong. Umpama rumah tak berpenghuni. Fizikal wujud, rohnya kelaut.
Aku? Turut larut sama dalam apungan yang menyebabkan diriku lemas. Masakan tidak, hidup seperti lembu yang terikat tali. Yang membezakan cuma aku terikat dengan wayar charger gadget. Tapi masih terikat dan tertambat seperti lembu itu.
Ini adalah pecubaan kali keempat dalam membangunkan idea aku melalui wadah blog. Yang pertama, aku lupa passwordnya. Yang kedua, rasa namanya buruk benar. Isinya kontang, updatenya kurang. yang ketiga aku dah rasa jauh hati. Maka, aku berharap yang keempat ini menjadi. Berbunga seri kembang pagi. Orang Jepun kata, "Jatuh tujuh kali, bangunnya lapan."
"Atifect" adalah satu pinjaman kata perkataan inggeris "artifact" yang bermaksud tinggalan lama. Cuma aku bezakan sedikit ejaannya supaya perkataan "atif" terletak molek di situ. Aku banyak berdiskusi idea dengan mereka yang aku rasakan punyai kebebasan berfikir, tidak tersorok dibawah tempurung, tidak terkurung di dalam kotak. Lagi seronok ideaku dicabar, supaya ia menghasilkan idea yang lebih mapan. Orang berjiwa kecil mengata, orang berjiwa biasa berbicara peristiwa, orang berjiwa besar berbincang idea. Idea-idea ini aku tak mahu ia terlepas ke udara dan hilang dalam zarah-zarah halus, jadi aku tuliskan supaya ia membeku di dalam alam yang dapat menjadikan aku "kekal". Aku seperti masih hidup walaupun jasadku di dalam perut bumi.
Aku merasakan tulisan itu adalah lukisan kata-kata. Dan kadang-kala, cuma kertas yang mendengarkan aku. Ianya indah dan puitis. Setiap aksara kususun menjadikan satu perkataan. Perkataan itu kucantumkan agar menjadi satu prosa ayat dan akhirnya ayat itu kuhimpunkan membentuk pemikiran. Pemikiran inilah yang menggerakkan tubuh dan menggembleng kudrat untuk beramal. Pohon tanpa buah apalah guna, sama seperti ilmu-idea tanpa amal. Sia-sia.
Semoga kali ini aku berjaya. Doa-doakan. Aku tak perlu tembakan doa, aku hanya perlu doa yang ikhlas daripada kamu.
No comments:
Post a Comment