Friday 14 March 2014

Kahwin Muda



Aku tersesat dalam kesejukan malam. Kesejukan yang dipenuhi dengan ais-ais tebal. Ditambah dengan kesunyian dinihari membuatkan mataku kelat. Otakku mula terasa huyung-hayang, lagaknya seperti peminum mabuk di tepi jalan. Tapi aku tak dapat menidakkan keinginan aku untuk memecahkan ais-ais idea tentang subjek yang menjadi perhatian ramai muda mudi sekarang. 

"Kahwin muda"

Oh, aku akui aku ada cita-cita untuk kahwin muda, dulu semasa usiaku belasan tahun. Semasa melihat dunia dari horizon yang bersudut darjah kecil. Tidak aku katakan sekarang horizonku melebar besar, namun cikgu pengalaman banyak mengajar aku seni rumah tangga perkahwinan. Satu pintu yang sekarang ini aku sangat berhati-hati dengannya walaupun aku belum pernah mengetuk pintunya.

*****

Kawan, kamu tahu apa itu wali? Wali itu konsepnya adalah penjaga kepada seseorang. Itulah untungnya wanita perempuan, hidupnya sentiasa dalam perlindungan. Ketika seorang perempuan lahir ke dunia, dia itu tertakluk di bawah penjagaan seorang lelaki yang bernama bapa. Si bapa ini bertanggungjawab untuk mengasuh si anak perempuan, melindungi keselamatannya, mengambil cakna makan minum kesihatan, memahami emosinya dan mentatukan iman ke dalam hati anak perempuannya. Lantas apabila anak itu besar, dia akan disunting oleh si jejaka teruna. Dan mereka akan melafazkan aqad.

Aqad itu bukan suatu perkara remeh. Hebatnya iman atas perjanjian. Maka akad itu adalah satu perjanjian yang memindahkan tanggungjawab seorang bapa ke atas lelaki yang akan menjadi suami kepada anak gadisnya. Jadi , sekarang tanggungjawab untuk melindungi seorang wanita itu terbeban ke atas pundak si suami.

Justeru itu, suami harus belajar sesuatu. Jangan menjadi jahil tukil. Ketahuilah sesungguhnya wanita itu apabila telah berkahwin dengan seseorang lelaki, seluruh hidupnya diserahkan kepada suaminya. Itu adalah fitrah, seorang isteri akan sentiasa bersedia untuk berkorban untuk si suami. Sebab itulah suami harus faham pengorbanan seorang isteri. Aku sememangnya belum berkahwin, tapi aku dapat rasakan betapa besar pengorbanan seorang isteri.

Isteri itu akan meninggalkan rumahnya untuk tinggal bersama suami.
Isteri itu akan melahirkan zuriat daripada benih suami.
Isteri itu akan mentaati suami sebagaimana dia dulu mentaati ibubapanya.
Dan berbagai pengorbanan yang mungkin aku akan jumpa jawapan apabila aku menjadi suami pada masa depan.

Oleh itu bagi pihak suami, layanlah isterimu sebaiknya. Hormatilah dia sebagaimana kamu menghormati ibumu. Lindungilah dia sebagaimana kamu melindungi adik/kakakmu. Dan sayangilah dia seperti kamu sayang dirimu. Aku akan sentiasa mengingatkan diriku bahawa perempuan itu bukan untuk difahami, tetapi untuk dicintai. 

Kepada yang berkahwin muda, berpijaklah di bumi nyata. Ketahuilah, kamu itu bukan berkahwin dengan satu nyawa, tetapi kamu sebenarnya telah berkahwin dengan satu keluarga. Kalau dulu ibumu satu, sekarang ibumu menjadi dua. Bapamu juga bertambah sama. Jangan ditanya bilangan adik beradik, semua kena dijaga hatinya.

*****

Hidup manusia ini perlukan contoh. Maka suami contoh, suami mithali boleh dianugerahkan kepada nabi. Muhammad bin Abdullah. Sosok peribadi mulia ini senantiasa memuliakan isteri. Memahami.

Kamu tahu kawan, nabi kita ini sangat romantik? Bermain kejar-mengejar bersama isteri. Meringankan beban isteri di dalam kerja-kerja rumah. Minum air pada tempat bekas mulut isterinya. Berlemah lembut dalam komunikasi. Berdiplomasi dan berdiskusi. Jejak telah nabi tinggalkan, cuma tinggal kita melalui jalan yang sama. 

Semoga aku nanti dapat menjadi seorang kepala keluarga yang baik. Banyaknya ayat Quran menekankan berbuat baik kepada keluarga. Namun aku cuma mampu membiarkan iman untuk menjawabnya.

Sebelum ku pecahkan bongkah ais terakhir, ingin ku kongsikan kisah kehidupan. Kisah betapa dalam berkeluarga kita tak boleh untuk meletakkan harapan, bahkan kita yang perlu memberi sumbangan. Kalau dalam bahtera perkahwinan itu kita layarkan dengan meletakkan harapan setinggi langit, maka ombak yang menggulung tinggi akan menghempas bahtera kita di tengah lautan. Kita kelemasan.

Maka sebelum belayar, letakkan target. Apa yang kita akan beri sebanyak-banyaknya? 

Mudah-mudahan bahtera yang kita kemudi sampai ke destinasi. Bersama-sama isteri. Dan ahli keluarga di sisi. Destinasi yang terpacak namanya: jannah taman yang indah.


p/s: persiapan menjadi suami lebih penting daripada menggatal mencari calon isteri.

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt,

    Nice entry Aliff. Akak suka
    Moga menjadi anak, suami, ayah dan doktor yang terbaik kelak :)

    ReplyDelete