Friday 28 June 2013

Harapan Membuatkan Kita Hidup



Sekarang aku berada di apartment kolej. Datang bagi melangsaikan beberapa hal. 

Pagi tadi aku terburu-buru hadir meeting untuk pesta konvo akan datang. Sebelum ke tempat meeting di library, aku berjumpa Em di apartment aku.

Apartment kami dipanggil blok 6. Mempunyai tiga bilik tidur beserta bilik air (yang tak sempurna), disinilah kami seramai 9 orang pelajar menginap setiap rumah. Walaupun namanya apartment, namun sebenarnya ia tidaklah sehebat namanya. Apartment ini begitu uzur, usang dan yang paling penting didirikan di atas tapak kubur mayat yang tidak dituntut. Haha. Best juga kan tempat ni..?

Aku agak terkejut dengan kehadiran Em sebab beliau bukanlah pemastautin tetap bagi apartment kami. Namun dia masih kelihatan tenang dan ramah seperti biasa sambil membelek sesuatu yang pada pandanganku adalah nota.

"Em, macam mana exam?", soalan cliche aku lontarkan sesuai dengan suasana selepas keputusan peperiksaan diumumkan.

“AA. Aku kena repeat tahun.”

Dumm! Berdegar telinga aku seperti bunyi petir yang menyambar kuat.

“Er.. Ulang tahun? Bukan ulang kertas (resit paper)?”

“Mm. Ulang tahun.”

Begitulah sistem di universiti aku terbina. Kalau pointer seseorang itu bawah daripada apa yang ditetapkan, maka secara automatiknya mereka perlu mengulang tahun tanpa perlu resit paper.

Namun Em tetap dengan wajah tenang dan seakan Daniel Radcliffe, pelakon Harry Potter ketika bermimpikan ibunya.

*****

Selepas solat jumaat, aku masuk ke rumah.

Melihat Em tercongok senyap di hadapan skrin komputer. Aku meletakkan kopiah di atas meja.

“AA, walau apa pun terjadi. Aku tetap yakin dengan bantuan Allah. Aku tahu Allah ada untuk bantu aku.”, bicaranya bermula. Dan intonasinya meyakinkan.

“Tadi semasa solat jumaat, imam tu ada baca ayat yang sangat mengesankan hati aku, maksud ayat tu; mintalah dengan sabar dan solat. Rasa macam Allah tengah cakap dekat aku: Em, meh sini aku nak tolong hang. Ada problem aku akan tolong settlekan.”

Dan mukanya masih setenang biasa, tanpa ada riak-riak wajah menyedihkan.

Aku salute padamu sahabat. Ketika aku diuji situasi sama beberapa tahun dulu, bergenang air mata aku ketika melihat result exam yang tertera. Aku tak bisa diuji sebegini rupa. Dalam solat, akhirnya empangan air mataku pecah. Aku rasa longlai dan lemah.

Namun Em, masih tabah dan percaya yang dia tetap ada harapan.

Kerana Harapan Kita Hidup

Kalaulah Tuhan tidak menciptakan makhluknya yang bernama harapan, pastinya umat manusia awal-awal lagi sudah menyerah kalah. Namun kerana kasih sayangNya kepada kita, maka kita sentiasa yakin bahawa apa yang terjadi adalah yang terbaik dan Tuhan pasti akan menolong kita.

Harapan jugalah yang memacu hidup kita untuk menongkah masa hadapan yang tidak pasti kerana kita tahu bahawa kebaikan akan menjelma jua.

Aku teringat satu kata-kata yang dilontarkan di dalam kelas oleh sang murabbi:

You may lose everything. But never lose hope!

Buat Em dan rakan-rakan yang lain, aku faham perasaan kalian.

Jangan biarkan diri kalian dihanyutkan dengan emosi kesedihan. Tetapi, jika kalian tetap bersedih, aku tahu satu ubat yang mampu mengubatinya.

Ubat itu adalah masa. Hanya masa yang akan melenyapkan kesedihan, secara perlahan-lahan.

No comments:

Post a Comment