Ketika aku menulis ini, hatiku terhiris pilu seperti merindukan sosok-sosok tubuh yang aku tak pernah berjumpa, tapi kenal melalui nama.
Khulafa' ar-Rasyidun ada Umar al-Khattab sebagai reformis dan rasionalis. Ijtihad Umar menjadi rujukan dalam membuat percaturan. Bani Ummayah ada Umar Abdul Aziz, yang mana serigala dan haiwan buruan dapat hidup aman. Empayar Agung Abbasiyyah munculnya Harun ar-Rasyid, sang pencinta ilmu pengetahuan. Daripada rahim kerajaan seljuk yang membentuk Dinasti Uthmaniah, lahirnya putera nakal yang akhirnya menakluk kota kebal Constantinople. Kerajaan kecil Mesir Fatimiyyah yang mencatatkan seorang raja yang tidak duduk di singgahsana tetapi berada di kem tentera untuk perjuangan jihad -Salahuddin al-Ayyubi namanya.
Apa yang ku pasti, dalam Parti Islam Se-Malaysia juga terukir satu sejarah yang mencatatkan seorang mujahid agung dilahirkan agung untuk memikul amanah mengepalai gerakan Islam di Malaysia - Ustaz Fadzil Noor.
Ku belek semula nama ini dalam sirah perjuangannya. Boleh aku katakan dia ini the true playmaker, the unsung hero and the genius politician. Pandangan dan ijtihadnya melepasi zaman. Peel dan fikiran orang Pas (melayu) berada dalam genggaman.
Kelemahannya usah dikira. Semua ahli Pas tahu, dia seorang pelambat bahkan lebih lambat daripada isterinya dalam bersiap sehinggakan Tok Guru Nik Aziz pernah meminta Subky Latif untuk menegurnya, tapi tidak ada siapa yang mampu mengubahnya. Sehinggakan kapal terbang terakhir untuk haji juga beliau telat, pekerja MAS melihatnya dan berkata, "Macam ni baru betul pemimpin. Dia buat tak tahu saja. Semua orang tunggu dia." Semua tahu tabiat lambatnya. Kelemahan ini bukanlah mengaibkan kerana rahsia ini diketahui umum. Malah sesiapa sahaja akan tertawa mendengarkan cerita kelewatannya. Walaupun kadang-kadang ada yang marah, tapi merka tidak mempedulikan kelemahan yang satu itu, bahkan rasa kasih kepadanya tidak berkurang.
Pakatan Rakyat adalah natijah daripada idea beliau yang menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) seterusnya pemuafakatan parti pembangkang Malaysia dalam menubuhkan Barisan Alternatif yang mana Ustaz Fadzil Noor adalah arkiteknya. Cuba kau bayangkan, macam mana dua kutub yang sama sifatnya dapat bercantum? Satu ultra-Islamis, satu lagi dimomokkan dengan parti kaum Cina yang mengamalkan Malaysian Malaysia. Ustaz Fadzil sangat pakar dalam menarik rambut dalam tepung. Beliau tahu sensitifnya masyarakat Melayu (terutamanya Pas) dalam mendepani DAP. Akhirnya pada pilihanraya 1999, Allah telah mengangkat seorang ulama ke dalam Dewan Parlimen untuk mewakili rakyat sebagai ketua pembangkang. Takdir Allah juga menentukan pada pilihanraya itu, ketua pembangkang sebelumnya, Lim Kit Siang kalah bertanding di tempatnya. Maka, Ustaz Fadzil Noor dengan rasa amanah menggalas tanggungjawab itu selama 2 tahun 7 bulan. Berkat hasil idea beliau juga, Konsep Negara Berkebajikan dalam Pas dibawakan ketengah medan masyarakat membuka mata ramai pihak. Tapi sayangnya, aku nampak pimpinan sekarang seolah-olah lupa dengannya dan terus bercakaran sesama sendiri.
Kau tahu, berapa banyak agaknya aliran fikrah yang terdapat dalam Pas? Tapi boleh tak kau bayangkan macam mana Ustaz Fadzil Noor mencantumkan puzzle fikiran ini sehingga menjadi satu hasil yang menakjubkan, seperti batu tersusun kukuh.
Lewat tahun 80an, idea Kepimpinan Ulama dilontarkan oleh Dewan Pemuda Pas, yang mana secara tepatnya datang daripada Haji Mustafa Ali, Mutalib Embong dan Subky Abdul Latif. Beliau diam. Nak kata sokong pun tidak, nak kata tolak pun tidak. Tapi strategi beliau menjadi. Ketika mana idea itu dibawa ke dalam kelompok masyarakat Islam yang mana mendapat tempias daripada Revolusi Iran, apa agaknya rasa hati ahli Pas yang mendiami kelompok Profesional? Adakah mereka berkecil hati (seperti yang berlaku sekarang)? Tidak! Bahkan beliau berjaya mengintegrasikan ulama dan profesional sehinggakan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Tidak tergambar sedikit pun keresahan antara ahli tentang hal ini, bahkan mereka bersatu setuju. Aku merasakan keajaiban seorang tokoh dalam mengikat hati masyarakat waima berbeza pendapat. Ingin kutambahkan rencahnya, bahawa pendaftaran keahlian yang datang daripada golongan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan profesyen lain berduyun-duyun mendaftarkan diri ke dalam Pas. Pas bukan lagi parti kampungan, bahkan menjadi sumber rujukan.
Kalaulah kamu bisa tahu, apa bukti Ustaz Fadzil Noor merasakan Pas bersedia memerintah Malaysia yang berbilang kaum ini? Beliau mengeluarkan arahan agar ibu pejabat pas yang banyak bergiat di Taman Melewar, Gombak bermajoriti Melayu dibawa ke tengah ibu kota Jalan Raja Laut Kuala Lumpur supaya Pas belajar untuk duduk bersama-sama masyarakat majmuk.
Aku suka juga mendapatkan cerita bagaimana beliau menangani isu "Hak Istimewa Orang Melayu". Ketika ramai pihak terkejut dengan isu tiada hak istimewa dalam Islam, Ustaz Fadzil Noor dengan yakin dan kukuh bertanya, "Adakah tak ada hak istimewa dalam Islam? Adakah sudah dikaji betul-betul? Kita kaji betul-betul dulu."
Beliau membawakan sirah ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, dakwah tersebar luas sehingga ke Parsi. Orang Arab yang ke Parsi pada ketika itu adalah golangan kaya dan berharta di mana mereka banyak membeli tanah-tanah orang Parsi yang miskin. Jadi, pada pandangan Saidina Umar, orang Parsi perlu dilindungi, jadi Saidina Umar membuat peraturan larangan membeli tanah orang Parsi. Tujuannya adalah untuk melindungi orang Parsi. Itulah hak istimewa orang Parsi!
Aku merasakan hujahnya logik, mantiknya sentap dan kata-katanya menyengat.
Ketika Anwar Ibrahim difitnah dengan tuduhan liwat, beliau dengan segeranya menemui Anwar tanpa diketahui sesiapa pun hatta isterinya. Beliau mahukan penjelasan daripada mulut Anwar sendiri. Aku sekali lagi tak dapat membayangkan apa respons orang-orang Pas ketika itu. Kau lihat sahaja isu Unity Government, sampai sekarang pahat masih berbunyi. Tapi tidak untuk Ustaz Fadzil Noor. Ahli tunduk dan akur dengannya. Mereka mempunyai rasa hormat yang tinggi kepadanya.
Tarikh 23 Jun 2002, beliau pergi meninggalkan manusia yang masih memerlukan kalibernya dalam mentadbir hidup masyarakat yang masih carca-merba. Pemergiannya bukan sahaja ditangisi penduduk langit, bahkan 300,000 lautan manusia membanjiri segenap ruang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau. Seperti padamnya cahaya pelita, bumi terasa gelap. Dan aku masih menunggu Fadzil Noor yang seterusnya untuk menerangi semula bumi yang kian kelam. Walaupun aku tak pernah berjumpa dengan beliau, tapi aku rasa rindu dengan kredibilitinya sebagai penyatu ummat.