Bertebarlah ke mana-mana menara gading, kita pasti akan
menjumpai sang mahasiswa. Malangnya, ciri-ciri ideal seorang mahasiswa semakin
sirna (hilang) dalam diri mereka. Jiwa mereka seperti dicuri oleh sesuatu
hantu. Hantu itu mereka panggil teknologi. Teknologi ini bersifat maya, kerana
itulah ia tak dapat dicapai indera yang lima: disentuh, dihidu, dilihat, dirasa
dan didengari. Layaknya seperti hantu.
Aku tidaklah menyalahkan teknologi sepenuhnya kerana
teknologi sebenarnya tercipta bukan sahaja untuk membantu kita menyelesaikan
masalah, tetapi ia juga mewujudkan kesenangan baru. Apabila manusia hidup dalam
kesenangan, lama-kelamaan ia mula memakan diri. Seperti otot yang tidak
digunakan, ia akan mula mengecut. Begitu juga otak di kepala, jika ia tidak
dimaksimakan penggunaannya, lama-kelamaan ia akan mengecil. Pada mulanya
masalah ini cuma sekecil tumor yang boleh dibuang mudah, namun lama-kelamaan ia
mula menular dan membarah.
Benda yang mudah didapati akan kurang dihargai. Itu kesimpulan hasil eksperimentasi manusia. Begitu juga ilmu. Ilmu yang mudah dicari di laman sesawang akan mudah hilang daripada ingatan manusia. Ulama masa dulu begitu jerih dalam mencari sesuatu ilmu. Mereka akan mengembara sejauh beribu batu hanya untuk mendapat ilmu yang satu.
Masalah apakah yang melanda umat, teknologi yang hebat, info yang bersepah tetapi umat semakin punah?
No comments:
Post a Comment