Thursday, 13 October 2011

Cerita Cita-cita



Jangan takut untuk bercita-cita kawan!
Lakarkan cita-cita tanpa rasa ragu-ragu kerana minda kita secara subconscious akan meng”install” hajat itu menjadi realiti.

Ketika mana kita mengidamkan untuk memakan buah jambu, maka otak kita akan merangsang diri kita untuk menggerakkan kaki mencari-cari kedai yang menjual buah jambu. Setelah beberapa ketika, kita masih tidak menjumpai buah jambu tersebut. Tiba-tiba, kawan kita datang dan memberikan kita buah jambu tersebut. Ajaib bukan..?

Perkara ini telah banyak dikaji dan dieksperimentasikan oleh sarjana-sarjana Barat.
Akhirnya, mereka membuat satu kesimpulan bahawa keinginan yang kuat mampu membuatkan kita mendapat apa yang kita hajati.
Menariknya mereka menamakan perkara ini sebagai "Law of Attraction" (perkara ini mungkin akan kita bincangkan dalam post akan datang).

Bayangkan kita adalah orang yang positif. Tidakkah anda perasan kawan-kawan disekeliling anda juga adalah orang yang positif? Orang-orang negatif hanya akan menjengah kehidupan anda cuma beberapa ketika. Namun, cuba bayangkan sebaliknya jika anda orang yang negatif..?

Penutup

Sekali lagi ditekankan, jangan takut untuk bercita-cita.

Jika Thomas Alva Edison takut untuk bercita-cita menghasilkan mentol, nescaya komputer tidak akan wujud. Pelik bukan? Tetapi bukankah computer juga menghasilkan cahaya sepertimana mentol memancarkan cahaya (walaupun keamatan warna yang berlainan). Kawan, bercita-cita tinggilah. Nescaya cita-cita akan berlari mengejarmu!

Wednesday, 12 October 2011

Harap-harap Mengharap



Hey kawan..
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menghadapi peperiksaan. Memang perit, memang menjemukan. Sekejap berdiri,  kemudian bangun. Begitulah silih berganti yang menunjukkan betapa hati kita rasa semacam bosan yang amat.

Aku pernah merasai peristiwa itu. Malahan lebih teruk kufikir. 
Namun dengan kekuatan motivasi dan keyakinan kepada Allah, aku masih berusaha. Dan sekarang beginilah aku. Masih terus berjalan tanpa henti.

Pesananku kepada kamu sahabat-sahabatku, jangan berputus asa. Jangan menyerah! Itu yang terpenting. Kalau kamu menyerah, ketahuilah kamu sebenarnya telah kalah. Jangan jadi bodoh kawan. Ketika inilah syaitan berduyun-duyun datang menghasut, analoginya mungkin sepertimana ketika kita nazak.

Letak dalam minda subconscious yang kalian akan berjaya.
Sebab sekarang bukan sahaja kalian berperang dengan usaha, tetapi kalian berperang dengan emosi. Jika emosi stabil dan bersemangat, usaha akan semakin meninggi. Semacam graf berkadar terus, paksi x melawan paksi y.

Lagu ini adalah salah satu peneman setia aku ketika aku lemah semangat dahulu:



Selamat berjuang sahabat!

"You may lose everything, but never lose hope"

Tuesday, 11 October 2011

Henshin!



Manusia sentiasa berubah.

Mungkin sebelum ini dia kurus, tetapi hari ini kita berjumpanya dia sudah semakin “sihat”. Mungkin semalam kita bergelak-tawa bersama, esok dia telah tiada.

Dalam hidup, kita akan berubah disebabkan oleh dua perkara utama:
(i) inspirasi
(ii) terpaksa

Inspirasi

Corak perubahan hidup kita banyak disebabkan oleh inspirasi, atau perkataan mudahnya terpengaruh. Pengaruh rakan, pengaruh idola, pengaruh media massa dan sebagainya. Perubahan disebabkan inspirasi menyebabkan manusia meniru-niru gaya seseorang.

Sebagai contoh:
Anda kenal Presiden Amerika Bill Clinton? Dia telah menjadikan John F. Kenedy sebagai idolanya. Jadi, beliau telah meniru segala tindak-tanduk J F Kennedy daripada hujung rambut sehingga hujung kaki termasuk skandalnya (secara tidak langsung). Sebab itu, di dalam Islam, kita disarankan menjadikan Muhammad SAW sebagai contoh dan sumber inspirasi. Maknanya, segala cara Nabi bergaul, Nabi bergurau, Nabi berkomunikasi perlu kita tiru. Bukankah manusia memang suka meniru..?

Terpaksa

Perubahan disebabkan paksaan telah banyak menjadikan manusia lebih kuat berbanding sebelumnya. Jika sebelum itu dia seorang yang gopoh, namun disebabkan terpaksa, dia telah menjadi efisyen.

Perubahan ini terjadi oleh desakan kuat dan tamparan hebat dalam hidup manusia. Cerita mudah dapat kita fahami adalah bagaimana abang sulung kepada beberapa orang adik-beradik berjaya mejadi ibu dan bapa kepada adik-adiknya setelah ibu bapa mereka tiada. Dan perubahan ini amat, amat menyakitkan bagi kita.

Kesimpulan

Sebelum anda “terpaksa” untuk berubah, persiapkan diri untuk menuju kearah kebaikan tanpa bertangguh.
Dan yang paling penting, kita bukan sahaja perlu mencari inspirasi sejati, namun perlu berusaha kuat untuk menginspirasikan orang sekeliling.

*Henshin dalam bahasa Jepun adalah bertukar. Ia digunakan oleh Masked Rider untuk berubah kedalam bentuk supehero. Maklumat lanjut: Jey Jihad.

Monday, 10 October 2011

Mari Malas



Malas..
Malas..

Memang itulah kita, seorang manusia.
Apabila otak tak berminat untuk melakukan kerja, dengan mudahnya kita akan jawab, “Malaslah..”

Tetapi pernahkah kita menggunakan unsur negatif ini untuk dikawankan dengan perkara negatif.
Bukankah hukum matematik membuktikan bahawa unsur negatif apabila berjumpa negatif akan menjadi positif?


Negatif + Negatif = Positif

Jadi?

Mari kita malas terhadap perkara negatif.
Malas mengumpat.
Malas membenci.
Malas untuk jadi pemalas (er…???)

Mungkin idea ini kelihatan pelik, tapi tak salah kalau mencuba kan?

Sunday, 29 May 2011

Saturday, 21 May 2011

Surat Untuk Superhero







Salam Dunia.

Setelah sekian lama aku mencari seseorang untuk terus menyokong aku,
rupa-rupanya Allah telah mendampingkan aku seorang penyokong tegar. 
Dan insan itu pastinya akan aku selalu doakan kebahagiaan dunia dan akhirat untuknya.

Dialah penyokong, hero dan idola sebenar. 

Sentiasa ada dan mendengarkan aku. Mempamerkan bahasa kasih-sayang dengan tingkah lakunya tanpa aku sedari. Terima kasih buat insan yang aku akan terus sayang selama-lamanya: Ayah

Agaknya berapa kali aku telah mengguris hati Ayah tanpa aku sedar? Terkadang khilaf manusia yang tidak disengajakan. Dan Ayah akan terus diam dan memendam untuk anaknya yang nakal ini. Maafkan aku Ayah.

Ayah, semoga aku sempat membawakan kepada Ayah segulung kertas yang tertera di atasnya:

"Tahniah Prof Dr Aliff Khairuman."

Pasti senyuman manis Ayah akan terkoyak,
dan pastinya Ayah akan bangga dengan anaknya yang sering degil ini.

Sedangkan baju yang aku hadiahkan untuk Ayah, lusuh Ayah pakai.
Inikan pula jika aku hadiahkan skrol ini, pasti Ayah akan ceritakannya kepada satu dunia sebab terlalu bangga.

Sebelum mata Ayah terpejam, 
sebelum kain putih membaluti badan Ayah,
aku akan berusaha dan berjuang untuk manusia yang paling bangga melihat aku berjaya: Ayah.

Itulah ayah, orangnya biasa-biasa sahaja. Namun bagi aku, dia luar biasa. Dia superhero.

Aku beruntung mendapat ayah yang bernama Khairuman Hashim di dunia. Semoga Allah sentiasa sayangkan Ayah. Amin...

Ayah

ketika kejauhan
masihku rasa 
hangat kasihmu ayah
betapaku rindukan redup wajahmu
hadir menemaniku

terbayang ketenangan
yang selalu kau pemerkan 
bagaikan tiada keresahan

walau hatimu sering terluka
tika diriku terlanjur kata
tak pernah sekali kau tinggalkan
diriku sendirian

ketikaku dalam kedukaan
kau mendakap penuh pengertian
disaat diriku kehampaan
kau setia mengajarku 
erti kekuatan

terpancar kebanggaan 
dalam senyummu
melihatku berjaya
bilaku kegagalan

tak kau biarkan
aku terus kecewa
dengan kata azimat
engkau nyalakan semangat
restu dan doa kau iringkan

tak dapatku bayangkan 
hidupku ayah 
tanpa engkau disisi
semua kasih sayang 
yang kau curahkan 
tersemat dihati.....

Thursday, 19 May 2011

Memusuhi Malas


5 tips bagaimana mengatasi sikap malas. Perasaan malas adalah lawan kepada sikap rajin. Ianya satu sikap negatif yang perlu diubati. Rasa-rasa anda, bagaimana ingin membuang sifat malas? Di sini saya senaraikan 5 tips yang boleh digunakan.
1. Tanya pada diri anda dan jawablah sejujurnya. Fikirkan sejenak mengenainya.
Apakah faedah daripada sikap malas aku ini?”
2. Senaraikan kesan dan akibat sikap malas yang ada pada diri anda. Ini bertujuan untuk menyedarkan minda anda bahawa sikap ini tidak berfaedah langsung. Selain itu, ia membuat minda anda ‘sakit’ dengan sikap ini.
3. Kekalkan momentum kerajinan anda. Jika anda sedang melakukan sesuatu dan ingin berhenti berehat, pastikan anda berhenti tidak lama. Kekalkan momentum tersebut. Semakin lama anda berhenti atau berehat, semakin kurangnya semangat anda menerusnya.
4. Membayangkan kesan positif yang anda perolehi kesan daripada sikap rajin anda. Contohnya anda membayangkan anda mendapat keputusan yang cemerlang atas kerajinan anda, lalu ibu bapa anda menghadiahkan anda RM500. Disayangi teman dan diminati ramai..Hoho..
5. Akhir sekali senaraikan mengapa anda ingin membuang sikap malas.Tampalkannya. Untuk berubah, manusia perlu mempunyai sebab. Jadi tuliskan sebab itu.

Monday, 16 May 2011

Sukses Tertunda



Kegagalan bukan akhir dari suatu perjalanan, kerana ia hanya sebatas ujian dalam kehidupan. Kejayaan selalu didapatkan bagi seorang yg berfikir bahawa hidup adalah ujian.
Kegagalan…. sebuah kata yang kita tidak ingin mengalaminya, tapi seringkali datang menghampiri. Sebuah kata yang tidak ingin kita temui, tapi sering kali kita hadapi.
Berbagai wajah menampakkan kegagalan. Target yang tidak tercapai, keinginan yang tidak terlaksana, atau doa yang tak kunjung dikabulkan. Dilihat dari sudut pandangan fakta, kegagalan memang terasa pahit bahkan mungkin menyakitkan.
Betapa tenaga yang telah dikeluarkan, waktu yang telah terkorbankan, segenap usaha yang runtuh tetapi tidak mendatangkan hasil. Semua itu jelas bukan sesuatu yang boleh dipersepsikan sebagai sebuah kejayaan yang tertunda dimana seseorang boleh tersenyum semasa melihat kemunculannya.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
(Al baqarah : 216)
“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan”
(Al-Insyirah :6)
Perkataan “Berjaya dan Gagal” diibaratkan sebagai makanan asa manusia. Kata tersebut yang mencetuskan peribahasa “sudah banyak makan garam” iaitu sebutan bagi orang yang telah berpengalaman menjalani hidupnya. Kegagalan adalah proses berkali-kali menuju keberjayaan.
Dalam hidup ini, banyak orang yg gagal kerana tidak menyedari betapa mereka sudah mendekati sukses di saat mereka menyerah. (Thomas A. Edison)
Thomas Edison dikenali dari kegagalan pada mulanya disebalik kejayaannya dalam membuat lampu. Orang yang sukses adalah orang yang mahu berubah kerana orang yang sukses bersedia berkorban jiwa dan raga untuk menemukan seribu cara untuk tidak gagal.
Kegagalan yang tidak boleh berulang untuk yang kesekian kalinya. Mereka memiliki tekad yang gigih untuk meraih apa yang diinginkan mereka. Seperti pepatah mengatakan bahawa berakit rakitlah ke hulu, berenang kemudian yang berarti bersakit sakit dahulu, bersenang senang kemudian. Peribahasa itulah yang sesuai sekali untuk istilah Gagal dan Sukses.
“Do it repeatly”.
Perkara terpenting adalah proses menuju kejayaan. Jangan pernah berhenti pada kegagalan yang ke-1000 kalinya, kerana yang ke-1001 kalinya kemungkinan adalah kesuksesan anda. Jika anda berhenti, maka anda akan menyesal selama lamanya.
Itulah yang disebut dengan fokus pada mimpi indah, tujuan hidup atau impian anda sendiri.Dan jangan meremehkan satu atau dua langkah anda, kerana tanpa satu atau dua langkah, takkan pernah ada seribu langkah anda.
Syukurilah apa yang ada, kerana hidup adalah anugrah terindah dari Tuhan. Anda harus yakin bahawa apapun yang diberikan Tuhan. pada kita adalah yang terbaik bagi kita semua.
Anda tidak akan pernah menyedari bahawa yang tadinya ulat berbulu, kini menjadi kupu kupu indah yang terbang ke sini sana. Anda juga tidak pernah menyedari bahawa kaktus dan pohon mawar yang awalnya berduri kini mengembang bunganya. Bunga yang indah yang dihinggapi kupu-kupu cantik. Itulah makna dari sebuah kegagalan dan kejayaan.
Yakinlah kesukaran itu akan berlalu, masa-masa susah itu tidak akan sia-sia jika kita lalui dengan jiwa perkasa dan hati yang teguh. Bahkan, kita akan menjadi orang-orang yang matang dan bijak melebihi usia kita. Kita hanya perlu menghadapinya dengan tabah dan hati yang mantap.
Apa yang dulu yang pernah kita cita-citakan dalam hidup, yakinlah bahawa suatu saat nanti kita pasti boleh meraihnya. Percayalah akan kemampuan diri kita. Kita hanya perlu bersabar menjalani untuk sampai pada tujuan kita.
Tapi percayalah, jika hari ini kita belum boleh meraihnya, yakinkan diri bahawa esok kita pasti boleh meraihnya. Jika esok belum dapat diraih, jangan pesimis, selama kita masih hidup, selama kemahuan itu masih kita jaga dan pertahankan, Insya Allah suatu hari nanti, kita akan tampil juga di puncak kegemilangan seperti yang pernah kita citakan dahulu.
“Selama cita-cita dan kemahuan kuat untuk mencapainya masih anda jaga, yakin dan percayalah bahawa suatu hari nanti cita-cita itu akan berada dalam genggaman anda.”

Monday, 9 May 2011

Pemimpin Sebenar

Baca dan hayatilah kisah pemimpin (spiritual and political leader) sebenar sehingga terpahat namanya pada 100 manusia yang paling berpengaruh sepanjang zaman. Susuk tubuh Umar al-Khattab menceritakan segalanya.




Peperangan Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine di Jordan. Ketika itu, 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 battalion Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri. 


Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat Islam terhadap Baitul Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al Quds. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang protagonis uskup yang mempertahan Jerusalem, enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam dengan pertumpahan darah.

Sophronius memberikan syarat supaya Khalifah Islam iaitu Umar ibn al Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Iliya’ (Iliya’, nama Jerusalem ketika itu) dengan jaminan keselamatan. 

Pada sangkaan Sophronius, umat Islam akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjarahan terhadap Kota al Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan mereka silap.

Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu sudah mengepung Jerusalem, dengan sikap toleransi memenuhi permintaan Sophronius dan rakyat Iliya’. Beliau menerima syarat tersebut dan menjemput Khalifah Umar al Khattab menuju ke Kota Jerusalem.

Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju ke Jerusalem, Umar telah bermusyawarah bersama Para Sahabatnya tentang permintaan Sophronius. Uthman ibn Affan radhiAllahu anhu mencegah Khalifah Umar dari menuruti kehendak uskup tersebut, 

tetapi Saidina Ali memberikan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; Iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga merupakan salah satu bandar suci bagi kepercayaan umat Islam selain Yahudi dan Nasrani.

Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagaimana sabdanya;

“Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya.”

Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke Baitul Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan ditemani oleh seorang P.A (personal assistant)/ khadamnya sahaja. Perjalanan Umar dan khadamnya dari Madinah ke Kota al Quds, hanya cukup berbekalkan air, roti dan kurma.

Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya pula akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya yang naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati untanya. 

Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga sampai ke Kota al Quds.

Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah seorang Sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang dijanjikan syurga. Turut bersama Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin al Walid.

Apabila tentera-tentera Islam menyedari kedatangan Umar al Khattab, mereka menyambutnya dengan penuh penghormatan. Ketika itu Umar yang memimpin pedati unta yang dinaiki oleh khadamnya. Berkali-kali khadamnya meminta agar Umar berada di atas unta sebelum sampai ke perkhemahan tentera, tetapi hal itu ditolak oleh Umar kerana kerendahan hati dan ketinggian budinya.

Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds.

“Wahai Amiral Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah”

Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah, salah seorang panglima Islam yang menewaskan tentera-tentera Rom Byzantine itu dengan wajah yang sangat murka atas apa yang diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepada Abu Ubaidah;


“Demi Allah. Jika bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran buat ahli keluarga Baginda Muhammad salallahualaihi wasalam! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.”

Saidina Umar menolak cadangan Abu Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog bersamanya. Umar bersama khadamnya terus berlalu pergi meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya.

Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta sambil menghabiskan bacaan surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus kekal menaiki unta, sementara dia yang akan memegang pedati unta yang dinaiki Umar. Tetapi Umar tegas melarang dan mengarahkan pembantunya agar terus mengikut tempoh gantian yang ditetapkan. Kebetulan, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke gerbang Kota al Quds, waktu itu giliran Umar memegang tali pedati unta tersebut.

Kerumunan tentera-tentera Rom dan rakyat al Quds beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah peradaban dunia. 



Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Umar sebagai khalifah, pemimpin terunggul yang berjaya menundukkan keangkuhan Rom, datang dengan baju kasar yang kurang kualitinya, lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya berlumpur.

Umar berhenti apabila menjejaki gerbang Damsyik, salah satu pintu masuk ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan meninggalkan unta dan khadamnya di situ, dengan penuh kehambaan kepada Allah Taala wajahnya bersemarak sinar keizzahan Islam.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat ketibaan Umar radhiAllahu anhu. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi dan namanya. Mereka terpedaya dengan sangkaan, sebaliknya Khalifah Umar hanya ditemani oleh seorang khadam setibanya di Jerusalem. Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar yang menarik tali pedati yang ditunggang khadamnya. 

Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini.

Seluruh rakyat Iliya’ dan pembesar-pembesar di Jerusalem memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras.


“Alangkah malangnya kamu semua! Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Allah.”

Patriarch Sophronius bersama uskup-uskup lain memakai pakaian yang mewah-mewah bergemerlapan, sedangkan orang yang ingin diberikan penghormatan hanya memakai pakaian seperti rakyat biasa. Sophronius malu melihat penampilah Khalifah sungguh sederhana, dalam hatinya berkata,



"Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas".

Saat Sophronius teruja dan menitiskan air mata melihat kesederhanaan Umar, dia termanggu apabila teringat tanda-tanda pemilik sebenar Kota al Quds sebagaimana yang disebut di dalam Injil. Sophronius mara bertemu Umar sambil di tangannya memegang kunci Kota al Quds. Kemudian Sophronius berkata kepada Umar.

“Sesungguhnya orang yang akan aku serahkan kunci kota al Quds, seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki tiga tanda. Petanda-petanda tersebut jelas disebutkan di dalam kitab Injil kami.

“Pertama, orang itu akan berjalan manakala khadamnya menunggang kenderaan miliknya. Kedua, orang itu datang dalam keadaan kedua-dua kakinya diselaputi debu-debu tanah (lumpur). Ketiga, orang itu datang dalam keadaan bajunya penuh dengan tampalan.

Setelah Sophronius melihat tanda-tanda tersebut ada pada Khalifah Umar al Khattab, kemudian dia meminta izin kepada Umar untuk mengira berapakah tampalan yang ada pada baju yang dipakainya. Ada 17 jahitan yang menampal pada baju Umar, dengan perasaan penuh debaran dan ta’ajub Sophronius berkata;

“Inilah tanda yang ketiga, ya Tuhan. Tidak diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali kepada seorang pemimpin yang memiliki tiga tanda keagungan di mana tanda-tanda inilah yang paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak ternilai harganya (seperti yang disebut di dalam Injil), (1) Khadamnya yang menunggang kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah. dan (3) Tampalan pada baju.”

Menurut Sophronius, tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan yang diperintah oleh Umar adalah kerajaan yang akan relevan sepanjang zaman, tidak akan musnah ditelan peredaran. Kemudian dia menambah lagi;


Aku tidak sedih (memberikan kunci kepada Umar) kerana kalian masuk ke kota ini sebagai orang yang memiliki kriteria tersebut (dalam Injil kami sebagai pembuka Kota Jerusalem), (aku tidak gelisah) kamu menakluki perbendaharaan dunia ini sedang kami dalam kawalan kalian. Kamu tentu menguasai kota ini selamanya dengan aqidah Islam, pentadbiran Islam dan juga akhlak Islam”

Khalifah Umar menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan keamanan penganut Kristian yang akan tetap tinggal di Jerusalem (penduduk Iliya’).


“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya'. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali. Demikian juga tidak boleh mengganggu salib dan harta benda mereka. Tidak boleh memaksa mereka meninggalkan agama dan tidak boleh mengganggu mereka...”

Inilah sebahagian dari jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam wajib membayar zakat. 



Kota al Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat Iliya’ untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Perjanjian antara penganut Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).

Setelah selesai upacara menandatangani perjanjian perdamaian, Khalifah Umar berangkat menuju ke Baitul Maqdis, salah satu tempat yang menjadi wasiat Baginda salallahualaihi wasalam kepada umat Islam agar menziarahinya. 



Sehinggalah tiba waktu solat, Sophronius mempelawa Saidina Umar melaksanakannya di Holy Sepulchure/ Gereja al Qiamah (tempat maqam suci Jesus yang didakwa oleh penganut Kristian). Tetapi ajakan itu ditolak kerana Umar khuatir perbuatan tersebut akan menjadi hujjah generasi Islam selepasnya untuk mengubah gereja menjadi masjid. 

Saidina Umar kemudian meninjau sekitar kawasan Gereja al Qiamah dan berjalan sepanjang 500 meter menuju ke selatan, lalu beliau melakukan solat di tempat perhentiannya. Kawasan tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam pada 21 Ogos 1969. Apa yang dilakukan oleh Umar ini juga merupakan tauladan dari Baginda salallahualaihi wasalam. Semasa peristiwa Isra' dan Mikraj, apabila Baginda tiba di Baitul Maqdis, Baginda turut berjalan sekitar 500 meter lalu melakukan solat sunat di sana.

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan menunaikan qiyam dan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis. Lalu salah seorang bertanya kepada Umar,"Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Ya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringat Baginda salallahualaihi wasalam pernah bersabda: Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada diri kalian semua sebagaimana yang diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kamu semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan (kerana kelalaian terhadap dunia).”

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju Madinah.

Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata.

sumber: Qutuz's Legacy

Aku Lari Rumah





"Argh....!", bentakku kepada ibu.
Hari ini aku nekad. Aku akan lari dari rumah. Ibu tidak pernah memahami aku.
Semua yang aku buat salah. Itu salah. Ini salah.


Pintu rumah aku kuak tanpa menoleh ke belakang, meninggalkan semua. Sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa.

"Mad... Jangan pergi nak.", sayup-sayup kedengaran suara seorang perempuan tua merayu iaitu ibuku.


 Aku tidak menghirau apa-apa. Darah mudaku mendidih sehingga menyebabkan aku hilang kawalan, hilang pertimbangan.


Aku terus berjalan dan berjalan. Sehinggalah aku sampai ke pekan.


Perutku yang masih belum terisi mula membuat pelbagai ragam. Jus gastrik dirembes hanya untuk mengoyakkan perutku, bukan mencerna makanan seadanya.


"Aduh, laper banget sih...".
Aku kehairanan bagaimana tiba-tiba terkeluar loghat Indonesia. Lapar mungkin.


Dihadapan warung Pak Jais, kelihatan orang ramai berpusu-pusu memenuhi segenap ruang. Memang warungnya terkenal dengan masakan berlauk yang enak.


Aku terpaku di hadapan kedai sambil menenung setiap inci juadah yang disediakan.
Kelenjar air liur mula membuat hal.
Penghasilan aktifnya menyebabkan pengumpulan air liur yang terlalu banyak.


"Gulp!".
Segan perut yang lapar, ditambah kesedapan masakan dan bau yang menusuk hidung, aku mula menapak untuk memasuki kedai.


"Eh, aku tak bawa apa-apa tadi? Beg duit pun takde? Adusss...!"


Nampaknya terpaksalah aku terus tercegat di depan kedai.
Memohon simpati dengan membuat muka seposen.


"Oh, kamu Mad. Kenapa tercogok kat depan kedai ni je? Dah makan ke belum? Ambil nasi ni, pilih je lauk mana yang kamu suka. Hari ni Pak Jais belanja.". Pak Jais secara tiba-tiba muncul sambil menghulurkan nasi. Percuma tanpa bayaran.






"Kamu ni dari mana?"


"Saya sebenarnya lari rumah.", sambil air mata mula melimpah dari takungan mata.


"La... Kenapa menangis? Takkan dah menangis?".


"Sebenarnya tak pernah orang belanja saya kecuali Nawatoo kawan saya tu je."


Pak Jais menghela nafas. Perlahan.


"Kamu silap Mad. Sebenarnya ibu kamu dari kamu kecil sampai kamu lari dari rumah bagi kamu makan percuma. Siap disuapkan kamu..."


Tersedak.


Benar apa yang dikatakan Pak Jais. 
Ya Allah, aku berdosa besar dengan ibu.


Benarlah kata orang, Apabila seseorang itu sudah tiada, barulah kita mula menghargainya..


Dan aku nekad untuk kembali ke rumah untuk memohon maaf kepada ibu.







Sunday, 8 May 2011

Segalanya Percuma

Amaran: jangan baca dikhalayak ramai. Boleh mengundang malu kerana anda mungkin menangis.






Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si Ibu segera mengesatkan tangan di apron , menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:

Tolong pergi kedai RM1.00

Tolong jaga adik RM2.00

Tolomg buang sampah RM1.00

Tolong kemas bilik RM2.00

Tolong siram bunga RM2.00

Tolong sapu sampah RM2.00


JUMLAH RM15.00 

Selesai membaca si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berligar-ligar di mindanya. Si Ibu mencapai sebatang pen, lalu menulis di belakang kertas yang sama.
Kos mengandungkanmu 9 bulan-
PERCUMA


Kos berjaga malam kerana menjagamu-
PERCUMA


Kos air mata yang menitis keranamu-
PERCUMA


Kos kerungsingan karana bimbangkanmu-
PERCUMA


Kos menyediakan makan, minum, pakaian serta keperluanmu-
PERCUMA


JUMLAH KESELURUHAN KASIHKU-
PERCUMA
Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang ditulis oleh si Ibu.
Si anak menatap wajah Ibu, memeluknya dan berkata,“Saya sayangkan Ibu”
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis “TELAH DIBAYAR” pada muka surat yang di tulisnya.


Diriwayatkan seseorang telah bertemu Rasulullah saw dan bertanya ,Wahai Rasulullah,“ siapakah yang paling berhak mendapat layanan baik dari ku?”Rasulullah menjawab , ibumu(dan di ulang sebanayk 3 kali), kemudian ayahmu.





SELAMAT HARI IBU MAK. =)

Saturday, 7 May 2011

Henshin!


Henshin ( = bertukar.
Kenapa tiba-tiba henshin?
Harapan baru agar aku dapat bertukar menjadi seorang yang lebih baik daripada semalamnya...


Alangkah seronoknya jika dapat menukar habit diri seperti Masked Rider meng"henshin"kan diri beliau.
Malangnya, tak semudah itu.


Terima kasih Haji **** yang telah melaser aku dengan sewenang-wenangnya sambil aku disalatep mulut.


Aduh...


Memang pedih, tapi terima kasih. Aku tak kan main-main lagi!

p/s: Tobat dah.....

Sunday, 1 May 2011

Silap Tafsir



"Esok saya nak awak serahkan assignment! Awal pagi!", sergah Prof X.


Tersedak. 
Pastinya jika kita berada pada situasi itu, kita akan tersangat gelabah sedangkan kita masih belum menyiapkannya.


Maka kita akan melakukan tugasan yang diberikan tanpa berlengah, tanpa bertangguh.


Esoknya...

"Mana assignment awak?", tanya Prof X.


"Saya dah hafal Prof... Begini, assignment saya ada 53 muka surat. Muka surat pertama........."


Agak-agak, apa yang Professor akan jawab. Bukankah kita disuruhnya membuat assignment?
Bukannya menghafal assignment.


Begitu jugalah dengan kehidupan kita.


Kita diberikan satu manual terhebat sepanjang abad yakni al-Quran yang agung.
Tetapi dengan hanya melagu-lagukan al-Quran tanpa pengamalan yang sempurna, adakah kita telah melaksanakan tugas kita sebagai hamba?


Kita hanya menghafal membabi buta, tetapi berperangai seperti kera di rimba.
Seharusnya isi al-Quran itu dijadikan pedoman di dalam setiap hati insan agar daulah Islamiyyah kembali menjulang. Dan terjemahkan apa yang dihafal itu ke dalam bentuk perbuatan bagi membuktikan kita ini makhluk tuhan, selama-lamanya.