Berbeza sungguh suasana di sini berbanding di kota. Halaman desa ini sangat melapangkan jiwa, jauh daripada teriakan hon dan debu-debu kotor yang memenuhi udara. Desa ini walaupun sukar untuk sampai, tetapi indah nian dan damai.
Kelihatan sepasang merpati dua sejoli bercanda di ruang beranda rumah kampung. Lagaknya seperti pengantin baru, namun usianya sudah meniti senja. Cakap-cakapnya hanya berbual kosong, tiada yang serius. Tetapi aku dapat rasakan yang mereka mempunyai chemistry yang kuat ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya.
Mereka berdua adalah paktok dan maktok, dua manusia yang telah menjaga aku sejak aku kecil. Ah, tak usah aku ceritakan kemana pergi ayah dan ibuku, kerana itu hanya akan membuatkan otakku memutarkan kembali kepahitan yang susah aku telan. Paktok dan maktok lah yang menjagaku sejak aku berusia lima tahun, tepat setelah peristiwa itu berlaku.
Cuti semester yang sekejap ini membuatkan aku pulang ke desa. Dalam perkiraan aku merancang untuk menginap selama tiga hari dua malam. Ada hal besar yang ingin aku bicarakan berkenaan hidup bersama-sama paktok. Orang tua separuh abad ini walaupun sepanjang hayatnya hanya tinggal di kampung, namun falsafah hidupnya sangat mendalam.
"Paktok, Akim nak tanya sikit boleh?", aku mula membuka bicara sambil paktok memerhatikan gelasnya dituangkan air kopi hitam pekat oleh maktok.
Sambil memerhatikan aku sepenuh perhatian, paktok membalas lembut
"Ya, kenapa Akim? Nampak macam ada hal yang penting bila kamu buat muka begitu."
"Muka macam mana pulak ni?", aku berfikir. Mungkin aku kelihatan agak kaget dan kekok ketika ini. Sambil peluh membasahi dahi.
"Kamu nak bincang pasal kahwin ke?"
Tepat. Tekaan atuk mengena, seperti seorang sniper menembak tepat sasaran.
"Paktok kenal sangat kamu. Sekilas ikan di air, paktok dah tahu jantan betinanya".
"Macam ni paktok. Akim ada minat seorang perempuan satu kuliah. Orangnya cantik, bertudung litup. Gayanya macam perempuan melayu terakhir, lembut dan sejuk mata memandang. Cuma satu yang Akim tak berkenan, dia ni agak keras kepala. Suka cari gaduh. Cuma rasa pendapat dia adalah yang terbaik. Dia pun sebenarnya suka bergosip. Jadi Akim nak tanya.."
Tanpa sempat aku menghabiskan ayat, paktok terus memotong laju,
"Tinggalkan dia"
Tergamam.
Sebelum ini aku dah terbayang bahawa gadis ini bakal menjadi ibu kepada anak-anakku. Kami bersama-sama bermain di taman ketika waktu petang. Namun kaca angan-anganku dipecahkan begitu sahaja oleh paktok. Aku tak mampu menerima hakikat, apa alasan disebalik semua ini?
"Kamu kena tahu Akim, mencari isteri bukanlah mudah. Kamu membesar selama lebih kurang 15 tahun dengan paktok dan maktok. Tapi baki umur kamu akan hidup bersama-sama dengan pasangan. Jikalau baik pasangan kamu, maka bahagialah seluruh hidup kamu. Jikalau tidak, maka ia akan menjadi ujian berat untuk diri kamu."
Sambil menghirup kopi, paktok menyambung,
"Perempuan itu ibarat pakaian bagi lelaki. Menghangatkan ketika sejuk, meneduhkan ketika panas. Dalam mencari pasangan isteri, paktok rasa seorang isteri harus mempunyai rasa hormat kepada suaminya. Rasa hormat ini bukan terbina sendiri Akim, dia adalah pembentukan karakter sejak kecil. Sebelum mampu menghormati orang lain, dia seharusnya perlu hormat akan dirinya sendiri."
"Tapi paktok, Akim rasa dia secocok dengan Akim. Kawan-kawan satu kuliah ada juga usik Akim dengan dia, dan Akim dapat rasakan Akim tak bertepuk sebelah tangan", aku mula tak bersetuju dengan pendapat paktok. Masakan tidak, ketika ini setiap pembuluh darahku membawakan rasa kasihku pada dia.
"Akim.."
Paktok menarik nafas dalam. Dilihatnya maktok disebelah. Masih setia bersama paktok tanpa mencelah perbicaraan kami.
"Kalau kamu tengok, kami suami isteri tak pernah bergaduh. Kamu tahu kenapa, sebab maktok hormat dekat paktok. Hormat itu membuahkan kesetiaan. Maktok tak pernah persoalkan kalau paktok terpaksa tinggal maktok selama berminggu untuk paktok cari hasil hutan." Paktok mula menjalin kata.
"Paktok bukanlah orang bijak pandai yang belajar tinggi seperti orang bandar. Tetapi untuk hal ini, paktok dah lama makan garam. Daripada kesetiaan itulah aib pasangan terjaga. Kamu tidak akan diburukkan di depan khalayak, bahkan cuma kebaikan sahaja diceritakan walaupun hakikatnya kamu itu manusia yang penuh cela."
Maktok senyum tersipu malu. Tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan kekasih hidupnya. Paktok membalas semula senyuman maktok sambil mengenyit mata kirinya, nakal seperti zaman muda!
"Kamu mungkin pernah berjumpa macam-macam tips yang boleh dibaca. Tapi paktok berpendapat, rasa hormat ini penting bagi seorang lelaki. Rasa ini yang membuatkan lelaki dihargai oleh pasangan. Rasa hormat ini yang membuatkan lelaki adalah ketua keluarga. Perasaan ini membuatkan lelaki menjaga keluarganya sebagaimana singa menjaga kawasannya daripada diceroboh singa lain."
"Bukanlah paktok ni anti-femism (paktok salah sebut sebab sebenarnya adalah perkataan feminism), ala yang kamu orang bandar asyik duduk bising. Tapi inilah hakikatnya yang dah lama terjadi daripada zaman batu dulu lagi."
Aku mula membuka hati untuk mendengar pendapat yang dilontarkan paktok. Ideanya sangat simple dan mudah difahami. Kemungkinan aku sudah dikaburi oleh hormon cinta oksitosin dan dopamin yang meresapi seluruh tubuhku. Aku susah sebenarnya untuk melihat kekurangan gadis yang aku minati itu. Orang kata kentut pun boleh berbau wangi.
Kopi didalam gelas semakin surut dan hanya kelihatan sedikit baki. Mata paktok seolah-olah bercakap dengan maktok dan segera difahami maktok supaya mengangkat gelasnya ke dapur.
"Paktok cuma nak kamu tahu, mata lelaki suka kepada kecantikan sedangkan kecantikan itu menipu. Kamu rasa kenapa perempuan bermake-up? Sebab kecantikan dapat menambat hati lelaki. Bagi paktok yang dah hidup dengan maktok lebih 40 tahun ni, cantik akan datang kedalam hati kita kalau isteri hormatkan kita. Sebab tu kalau kamu perasan kami masih bergurau seperti budak-budak. Sebab bagi paktok, maktok kamu sangat cantik walaupun kulitnya sudah berkedut. Tapi, disitulah kecantikan perempuan. Pada hatinya, pada rasa hormatnya dia kepada kita. Jadi, carilah perempuan yang hormatkan kita sebagai lelaki, sebagai suami."
Sedar tak sedar, jam di dinding sudah pukul 9 pagi. Aku rasa untuk ini, aku seperti bersetuju dengan pendapat paktok.
Paktok mula bangun dan turun daripada tangga beranda. Kemudian dihidupkannya enjin motor vespa lama kesayangannya, perlahan-lahan meninggalkan aku. Aku? Masih terapung-apung dengan fikiran aku. Teruskan atau putuskan perasaan yang lama disimpan.
No comments:
Post a Comment